Wednesday, December 31, 2008
Monday, December 22, 2008
Terbaru Dari Ku .... ;-D ---> JANGAN KAU TANGISI : Fasa Yang Pertama
Sudah lama ingin kekanda meluahkan bicara hati namun tiada kesampaian kerana adinda sering sahaja mengelak daripada bertemu. Apakah menjadi kesalahan jika tali persahabatan ingin kekanda hulurkan buatmu adinda? Tidak sudikah adinda menyambut salam perkenalan ini? Kekanda amat berharap agar adinda sudilah menerima huluran salam perkenalan ini kerana kekanda begitu ikhlas ingin mengenali adinda dengan lebih dekat lagi disebabkan hati kekanda sudah pun terikat pada adinda sejak pertama kali kita bersua wajah. Cuma kekanda tidak tahu bagaimana hendak memulakan perkenalan ini kerana adinda dulunya tidak gemar pada lelaki. Kekanda berharap adinda tidak akan menghampakan hasrat suci di hati kekanda ini.”
Salam Ikhlas : Zahamizal’
Sebaik sahaja ayat terakhir warkah itu dibacanya, lalu satu letusan ketawa yang agak kuat keluar dari rongga tekaknya. Haifa Hezzy ketawa bersungguh-sungguh sehingga berair matanya. Walaupun demikian, Fezra dan Yuzawati tidak turut serta dengan Haifa Hezzy dalam menyemburkan ketawa malah mereka semakin terpinga-pinga.
“Seronok sangat ke dapat surat tu sampai ketawa macam orang sasau?” Yuzawati akhirnya bertanya namun tidak tahu pada siapa soalan itu ditujukan sebab matanya tidak tertuju pada Haifa Hezzy mahupun Fezra.
“Entah! Musyikil aku!” Fezra pula menjawab pertanyaan Yuzawati sedangkan matanya masih terpaku pada Haifa Hezzy.
“Aduii! Ya Allah ya tuhanku! Kelakar gila surat ni. Zahamizal ni tak ada taste baru langsung! Macam ni ke nak pikat aku. Cara pemikatan yang dibuatnya macam orang dulu-dulu tak sesuai dengan zaman teknologi sekarang. Cakap dekat dia, cara dia ni dah lapuk macam zaman bapak aku melamar mak aku. Kalau kau orang nak tahu sebiji macam ni lah gaya bapa aku melamar mak aku sehingga membawanya ke jinjang pelamin. Tapi aku sorrylah tak kan terpikat dengan cara yang macam ni. Cubalah perbaharui sikit cara lamaran tu ... Nah, kau orang bacalah. Entah-entah kau punya idea kot, Yuza?” Haifa Hezzy menggeleng-gelengkan kepalanya sambil mengunjukkan surat Zahamizal kepada Fezra dan Yuzawati. Mereka menyambutnya dengan rasa tidak puas bersarang di sanubari masing-masing. Haifa Hezzy kemudiannya bangun daripada tempat beradu, mencapai tuala hendak menuju ke bilik mandi. Sebelum dia keluar, sempat lagi buah bicara dihulurkan buat teman-temannya itu.
“Lepas kau orang baca, bagi balik surat dan bunga tu pada Mizal. Katakan pada dia, cara dia masih belum kuat untuk menawan hati aku. Teruskan usaha hingga mencapai kejayaan.” Ujar Haifa Hezzy dalam sisa ketawa yang masih melekat. Berpandangan kedua sahabatnya itu seketika sebelum membalas bicara Haifa Hezzy.
“Tak kan kau nak bagi balik surat ni Effa? Kecik hati dia nanti. Simpan ajelah. Kesian dia telah berusaha keras untuk pikat hati kau.” Fezra mula menaruh simpati pada Zahamizal.
“Suka hati kau oranglah. Aku nak pergi mandi ni.” Haifa Hezzy terus menghayun langkah ke destinasi yang terencana di mindanya. Sementara itu, Fezra dan Yuzawati menghabiskan pembacaan surat Zahamizal. Kemudian, mereka juga turut menyemburkan ketawa sebelum perbincangan dibuka semula.
“Patutlah dia gelak macam orang sasau. Gaya penulisan ni rupanya yang digunakan oleh Mizal. Betullah kata Effa, Mizal ni tak ada taste langsung. Buat malu aku saja Si Mizal ni tau. Dahlah ayat jiwang karat! Rosak idea original aku.” Yuzawati menghela keluhan berat.
“Padan dengan muka kau. Lain kali bagi lagi idea yang macam tu. Si Mizal tu, manalah reti karang surat cinta? Surat rasmi tahulah dia. Apa punya mamatlah dia ni. Nak pikat tapi tak reti. Dahlah tu, idea yang orang bagi pun tak tau nak guna.” Fezra juga menggelengkan kepala memikirkan idea kolot Zahamizal. Tiba-tiba Yuzawati bangun daripada tempat duduknya membawa kaki keluar dari bilik Haifa Hezzy. Fezra juga mengikuti langkah Yuzawati dengan teragak-agak.
“Kau nak ke mana Yuza?” Soal Fezra ingin tahu.
“Aku nak fon Mizal. Nak cakap pada dia yang cara dia guna tu langsung tak berkesan untuk mencairkan hati batu Si Effa. Aku nak bagi mulut sikit biar dia terang. Aku yakin, dia tentu tengah tunggu panggilan aku di rumah sewanya untuk mengetahui apa keputusan Effa.” Yuzawati melangkah laju menuju ke destinasi yang terencana di akalnya. Fezra tetap setia membuntuti di belakang Yuzawati kerana dia juga ingin tahu reaksi Zahamizal setelah usahanya tidak dilayan oleh Haifa Hezzy. Gagang diangkat, panggilan dibuat. Seketika kemudian, terdengarlah suara berbalas suara.
“Mizal, apa punya dungulah kau ni! Aku bagi idea sikit punya baik kenapa kau rosakkannya? Hah?” Yuzawati mula hendak membancuh Zahamizal. Pemuda yang sedang melayan panggilan daripada Yuzawati sedikit terpinga-pinga apabila dipanggil dungu.
“Apa pula? Karangan aku tu tak cukup bagus ke? Penat tau aku cari idea untuk karang surat cinta macam tu. Ingat senangkah?” Zahamizal mula melenting di hujung talian.
“Hmmm, kalau cukup bagus aku tak panggil kau dungu!” Yuzawati ketawa buat-buat. Zahamizal semakin pening.
“Kenapa? Dia tak terima ke?”
“Kau nak tahu apa dia cakap?” Jolok Yuzawati lagi untuk membangkitkan rasa ingin tahu Zahamizal.
“Apa dia cakap?” Zahamizal semakin tidak sabar.
“Dia cakap, cara kau memikat dia sama macam cara bapa dia pikat mak dia dulu. Cara kau tu dah lapuk dan tak mampu hendak mencairkan hati dia. Kau ni kan Mizal, tak ada taste langsunglah. Boleh kau tulis adinda kekanda. Hei Mizal, kau ingat kita ni berada di era enam puluhan ke nak guna bahasa macam tu? Rosak idea aku tau! Penat aku bagi!” Yuzawati sudah mula senada dengan Zahamizal. Terkedu Zahamizal disebelah sana.
“Kau baca ke surat aku?” Jika boleh dilihat, wajah Zahamizal sudah pun merona kemerahan menahan malu.
“Bacalah! Kalau tak macam mana aku tahu? Dungu! Lepas baca surat kau, dia gelak terbahak-bahak. Ingatkan ayat power apa kau tulis, rupanya ayat orang dulu-dulu. Tak bolehkah kau perbaharui cara pemikatan mengikut era zaman teknologi terkini? Boleh karang surat cinta macam tu ... Tak kan itu pun aku kena ajar?” Yuzawati semakin menggila membancuh Zahamizal.
“Habis tu macam mana? Tak jalan juga ke aku nak kenal dengan dia? Aku tak retilah nak karang surat-surat cinta ni. Mana pernah aku hantar surat cinta sebelum ni.” Nada Zahamizal nampak begitu kecewa sekali kerana usahanya masih gagal untuk menempatkan diri di hati Haifa Hezzy.
“Haaa, tulah kau ... Lain kali cedok lagi ayat orang dulu-dulu. Kau ingat Si Effa tu lahir di zaman enam puluhan ke? Nantilah aku fikirkan cara apa pula nak guna.” Balas Yuzawati lalu terus meletakkan gagang telefon memandangkan duit syiling yang dibawanya sudah pun habis untuk berbual lama dengan Zahamizal. Fezra melontarkan pertanyaan sebaik sahaja Yuzawati tamat perbualannya dengan Zahamizal.
Thursday, December 18, 2008
Bahasa Dari Dalam ...
Jiwa: Hati, kenapa engkau sering saja menangis tanpa mengira waktu. Kadang-kadang aku terdengar engkau ketawa tapi itu hanya untuk sementara waktu sahaja. Ceritalah pada aku, sekurang-kurangnya pedih di dalam engkau akan berkurangan.
Hati terdiam seketika tatkala mendengar suara itu. Dia mengesat air matanya yang tidak mahu berhenti malah terus mengharap walaupun dia tidak pasti dengan apa yang dialaminya. Ya, memang benar kata suara itu, kadang kala dia berasa cukup gembira kerana yakin apa yang dinantikan selama ini hampir menjadi kenyataan. Namun ia tidak semudah itu apabila dirinya diuji dengan pelbagai ujian sebelum bahagia itu menjadi miliknya yang abadi sehingga dia tidak yakin lagi dengan apa yang dirasa.
Hati: Siapa kau? Kenapa tiba-tiba menegur? Kau dapat dengar tangisan aku?
Hati menyoal kembali. Dia mendengar suara itu menarik nafas sedalam yang mungkin.
Jiwa: Aku jiwa. Jiwa yang sepi. Jiwa yang sunyi. Aku juga seperti kau .. kadang kala menangis sendirian namun cuma esakan aku tidak kedengaran kerana aku menangis dari dalam. Ya. Aku dapat dengar dengan jelas tangisan kau hati. Kongsilah dengan aku sekiranya kau sudi mahupun sedia kerana nasib kita sama sahaja.
Hati terdiam seketika. Air mata yang tumpah terus dikesat.
Hati: Aku tidak tahu ... kadang kala aku berasa sedih. Aku sudah lama terkurung di sebalik kamar usang ini. Tiada siapa yang mempedulikan aku. Tiada siapa yang menghiraukan aku. Kadang kala, aku terdengar ketukan dari luar namun tiada siapa yang berjaya masuk disebalik pintu yang berkunci rapat ini. Kenapa mereka hanya singgah saja jiwa? Kenapa kunci yang hilang sejak bertahun dulu masih belum ditemui walaupun aku sudah bersedia untuk berdepan dengan apa jua rintangan, ujian mahupun dugaan. Apakah aku tidak layak untuk dimiliki?
Luahan hati amat menyentuh jiwa. Jiwa terasa kepedihannya.
Jiwa: Siapa kata engkau tidak layak untuk dimiliki? Engkau layak untuk sesiapa jua hati. Mungkin mereka yang tidak layak untuk kau. Mungkin jua rasa itu masih belum betul meresap ke dalam mereka sebab itu mereka hanya singgah namun masih belum berjaya mengeluarkan engkau dari kurungan kamar usang itu. Kadang-kala aku teringin sekali untuk bersatu dengan engkau agar rasa bahagia itu menjadi milik bersama. Namun apakan daya, engkau tetap disebelah sana dan aku tetap disebelah sini. Masa belum mahu menyatukan kita. Sabarlah hati. Mungkin suatu hari nanti ada yang memahami dan dapat mencari kunci yang hilang serta mengeluarkan engkau dari kurungan itu.
Semakin lebat tangisan hati yang lara. Air matanya tidak pernah kering walaupun dia kelihatan ceria di hadapan cermin rindu Rindu itu ada tapi mungkin masih belum wujud untuk dirinya. Dia ingin lari dari terus dipanah rasa rindu namun cermin rindu seakan-akan tidak mahu pecah dari terus menghantuinya. Setiap kali dia melihat cermin rindu yang berada di hadapannya, dia terasa dekat sekali namun hakikatnya terlalu jauh ... sehingga dia tidak sanggup untuk terus terkurung daripada bayangan yang semakin mendakap erat dirinya membuatkan dia resah sepanjang waktu. Dia cuba menyentuh cermin rindu itu tetapi kenapa tangannya tidak tercapai walaupun cermin itu tidak pernah tinggalkan dirinya sendirian. Cermin itu sentiasa ada menemaninya namun cermin itu masih belum boleh menjadi miliknya. Kenapa begitu sukar sekali untuk keluar daripada bayangan yang semakin sebati? Adakah cermin itu sekadar cermin yang hanya merefleksikan dirinya sahaja? Hati tidak pasti kerana cermin itu hanya kaku membisu.
Hati: Maafkan aku jiwa kerana masih membiarkan kau sendirian di luar sana dengan sepi dan laranya. Aku tidak mampu untuk bersatu dengan kau lagi. Aku tidak tahu berapa lama lagi aku harus terkurung di dalam sini tanpa kepastian yang hakiki. Mungkinkah untuk selamanya .... aku tidak tahu. Aku pasrah jiwa, dengan apa yang ditakdirkan untuk ku. Andai aku tidak bisa bersatu dengan engkau untuk selama-lamanya ... maafkanlah aku kerana aku sendiri tidak mampu berdiri untuk terus berharap. Biarlah kuburku di sini sahaja ditemani dengan bayangan cermin cinta yang mampu menceriakan walaupun tak bisa memiliki ...
Jiwa yang mendengar bermuram durja. Itulah hakikat yang terpaksa dirinya terima kerana dia juga tidak mampu berharap lagi akan ada sinar untuk dirinya. Semuanya kelam, semuanya kabur. Sinar yang semakin meneranginya tidak mampu untuk terus mengekalkan cahayanya walaupun mereka sudah bersedia untuk menghadapi sebarang rintangan mahupun kemungkinan.
Jiwa: Tidak mengapalah hati sekiranya engkau tidak mampu bersatu dengan ku... biarlah aku terus menanti agar yang hadir walaupun tidak sempurna, namun cukup membahagiakan. Itu saja yang aku perlu dalam menghabiskan sisa usiaku yang semakin sampai ke penghujungnya. Aku pergi dulu hati ... Aku dah letih ... Aku dah penat untuk terus berharap. Hanya doa yang mampu menyatukan kita walaupun bukan di saat ini, walaupun bukan di sini. Mungkin kita akan jumpa di alam sebelah sana.
Hati yang mendengar terus mengalun irama syahdu yang datang dari dalam.
Itulah bahasa dari dalam yang tidak semua tahu mahupun mengerti .... Bahasa yang tidak sempurna bicara mereka.
Wednesday, December 17, 2008
Bahagia Itu Masih Jauh ....
Semakin Kita Menghampiri Kebahagiaan Itu,
Semakin Jauh Ia Meninggalkan Kita.
Kenapa ...
Semakin Kita Mengecapi Kegembiraan Yang Tiba-Tiba Hadir,
Namun Ia Hanyalah Bersifat Sementara.
Kenapa Ia Tidak Boleh Kekal?
Kenapa Taufan Yang Harus Melanda?
Apakah Itu Lumrah Dalam Kehidupan?
Mungkin!
Tiada Siapa Yang Tahu Ketentuannya.
Hanya Kepasrahan Dalam Meniti Hari
Hanya Ketabahan Dalam Mengharungi Dugaan
Hanya Kesabaran Dalam Menempuhi Hari Muka.
Biarlah Takdir Dan Waktu Yang Menentukan
Andai Suatu Hari Nanti,
Kebahagiaan Dan Kegembiraan Itu
Hanya Milikku Untuk Selamanya ....
15.12.2008
Wednesday, December 10, 2008
Feedback Mahakarya Cinta From Clarice
Ikutilah komennya ke atas MAHAKARYA CINTA:
Hi kak..slmt pg/ptg/tghmlm/subuh...mana2 yang sesuai la masa akak baca mail ni. pertama-tama tq sbb sudi meluangkan masa membaca mail ni. Tiba2 teringin nak bg komen selepas habis membaca novel terbaru akak..MAHAKARYA CINTA~klu x silap ni judul lagu Faizal Tahir kan. Saya suka membaca novel tapi jarang membeli novel ala2 jiwa2 @ cintan cintun. Saya lebih suka membaca novel berunsur misteri n thriller.
Masa masuk kat KEDAI BUKU POPULAR hari tu saya dok tercongok kat rak novel.. mencari buku yg best.. belek punya belek yang ada somanye novel cinta..ala..baca sinopsisnye saja sy dah fhm benar jalan ceritanya..memang akan sentiasa sama.
Masa tu sedikit hampa kerana x nampak satu buku pun yang best. tetiba nampak novel MAHAKARYA CINTA ni. Masa tu sy tertarik ingin membeli novel ni kerana tebal. bagi sy adalah satu kepuasan membaca novel yang tebal..lagipun harganya berbaloi. So, daripada melangkah keluar dari kedai tu dengan tangan kosong lebih baik sy beli novel ni, tanpa membaca sinopsisnya.
Esoknya lepas beli novel ni baru terbuka hati nak baca. membaca prolog novel ni hati masih x tertarik..tapi masuk saja bab 1 novel ni, ya..saya terhibur..penggunaan ayat dan kata2 yang akak guna spontan jer seolah berada dlm alam realiti. x jiwang dan memang x ada unsur jiwa2 dalam ayat2 penulisan akak. itulah yang menyebabkan sy tertarik sangat untuk menghabiskan pembacaan saya..suami saya d sebelah pun x terlayan kerana asyik dengan membaca novel akak ni. siap tergelak sorang2 lagi..ekekekek..mmg x rugi membeli buku ni. novel akak ni mmg best. saya boleh tergelak n saya boleh menitis kan airmata..
Ya..saya bila membaca akan menghayati cerita yg saya baca..saya akan meletakkan diri saya di tempat watak utama novel tu.. sebab tu sy boleh menghayati novel akak ni. Tahniah dan semoga dapat terus menghasilkan karya yang x membosankan.
Saya ada masuk dlm blog akak..bila tgk novel2 karya akak banyak juga erk.. dan saya x perasan pun yang sy pernah membeli buku akak yg lain iaitu HANYA DIKAU. novel akak yang ini pun memang best..dgn pengolahan ayat yang spontan. klu mcm ni sy nak cuba cari buku akak yang lain..apapun 2 novel akak yg pernah saya baca mmg x memboringkan..
Wish u all da best..teruskan berkarya..
Kepada Clarice: Terima kasih kerana menyokong akak dan novel-novel yang pernah akak hasilkan. Walaupun akak tak dapat memuaskan hati semua pembaca di luar sana, namun kalau akak dapat memuaskan hati 50% daripada pembaca novel, itu sudah cukup memadai.
Karya santai memang menjadi pilihan hati ini kerana bagi saya novel merupakan sebuah unsur hiburan. Namun ada pengajaran dan pendidikan di dalamnya jika anda di luar sana berjaya mengupas apa yang tersirat dan tidak membaca novel saya hanya sebagai sebuah novel sahaja.
Terima kasih kepada semua penggemar MAHAKARYA CINTA!
Tuesday, December 9, 2008
Pemilihan Judul Novel EA
Hmm ... apa pula topik kali ini ... Okeylah, kali ni saya nak utarakan pemilihan judul untuk novel saya. Judul yang bagaimana saya suka dan tidak.
Sebenarnya, saya lebih suka memilih judul yang mampu menjentik perasaan dengan nilai-nilai romantik di dalamnya. Oleh yang demikian, saya lebih gemar menggunakan perkataan RINDU, KASIH, BAYU, dan yang sewaktu dengannya. Oleh itu juga, tajuk lagu-lagu yang ada nilai komersial sering saya ambil untuk dijadikan sebagai judul Novel saya. Jika dilihat dalam novel saya, hanya tiga buah novel saja yang menggunakan perkataan cinta iaitu DI KALA CINTA TERDETIK (Pilihan sendiri ketika mula berkarya),AKU CINTA KAMU (Pilihan penerbit sebenarnya) dan MAHAKARYA CINTA (yang terbaru kerana mengikut kehendak penerbit dan serasi plak dengan jalan citernya). Sebenar-benarnya saya tidak berapa gemar untuk memasukkan perkataan CINTA dalam judul novel saya. Entah ... saya memang tidak suka. Sebabnya:
1. Dah ramai yang memilih perkataan ini untuk dijadikan sebagai judul novel mereka.
2. Sudah terlalu biasa perkataan ini dan tak mampu menarik minat saya untuk dijadikan hiasan judul novel saya.
3. Tidak mempunyai unsur romantik (pendapat sayalah ... tak tahu bagi org lain. Lain orang lain citarasanya. Mana boleh sama ye tak ... haa .. jgn cuba2 nak komplen. Kehkehkeh)
4. Terlalu keras dan saya tidak menyukainya.(boring lerr ... Masih pendapat saya. Pendapat orang lain saya tak tahu.)
Sebab itu juga, apabila ada judul lagu terbaru di pasaran, saya catit dan jika sesuai saya jadikan sebagai judul novel saya. Kadang-kadang, saya punggah galeri kaset saya yang lama-lama kerana kadang-kadang terdapat judul yang menyegat jiwa terselit di dalamnya. Kadang-kadang apabila saya memberitahu judul novel saya, ada yang cakap,
“Eh, macam tajuk lagu saja wak. Betul ke tu novel awak?” Kehkehkeh ... lalu saya menjawab,
“Memang tajuk lagu pun. Saya memang suka ambil tajuk lagu untuk dijadikan judul novel. Memang saya selalu ambil tajuk lagu pun kerana ada nilai komersial di dalamnya.”
Itulah sejarah bagaimana saya memilih judul untuk novel-novel saya. Jadi, jangan terkejut jika ada lagi tajuk lagu yang hitz2 saya jadikan judul novel saya. Kadang-kadang saya ambil aura kejayaan penyanyi itu sendiri agar saya juga akan berjaya seperti mereka walaupun dalam bidang yang sama tetapi genre yang berlainan.
Kadang-kadang juga saya suka mereka sendiri dengan jalinan jiwa yang padat agar sedap orang yang membacanya .... hehehe.
Daaa ....
Wassalam ....
Friday, December 5, 2008
Salam Adiladha Untuk Semua Pengunjung Ruang Rindu
Dikesempatan ini, Abby ingin mengucapkan kepada semua pengunjung Ruang Rindu ....
Wednesday, December 3, 2008
DAKAPAN KASIH: Kenapa Awak Suka Dengan Bunga Teluki Irene? - Ayreil Eiszacwan
“Oh ... saya meminati bunga teluki kerana ia memberi banyak makna kepada saya. Jika awak perhatikan betul-betul, bunga teluki adalah bunga yang menyimpan banyak rahsia sekali. Tahu tak kenapa saya cakap begitu?” Irene Darvinna cuba memeriahkan konti perbualan mereka.
“Tak tahu dan saya ingin sekali mengetahuinya.” Balas Ayreil Eiszacwan sambil merenungi seraut wajah yang cukup menenangkan jiwa.
“Awak lihat saja pada kelopak-kelopak bunga teluki, ia tersusun dengan banyaknya sehingga kita tidak tahu apa yang berada di dalam bunga itu jika kita tidak menguaknya satu persatu. Bunga teluki cuba menggembirakan dan menenangkan mata dan hati manusia yang memandangnya sebab itu ia berkembang dengan cantik walaupun di dalam kembangannya yang rimbun tersembunyi sesuatu yang kita tidak pernah terduga. Begitu jualah dengan diri saya yang suka menggembirakan orang lain tetapi apa yang tersirat di hati saya tiada siapa yang tahu. Biarlah mereka lihat saya tersenyum selalu asalkan mereka bahagia. Sebab itulah bunga teluki menjadi pilihan saya.” Jelas Irene Darvinna mengkagumkan Ayreil Eiszacwan yang mendengar.
“Jadi, awak cuba menjadi lilin untuk menerangi hidup orang lain walaupun diri sendiri yang terbakar?”
“Tidak salahkan membakar diri sendiri asalkan orang yang berada di sekeliling saya sentiasa gembira?” Sayu sekali pandangan Irene Darvinna.
“Tapi itu tidak adil bagi diri awak sendiri, Irene. Sepatutnya kebahagiaan ini dikongsi bersama.” Ayreil Eiszacwan tidak bersetuju dengan pendapat Irene Darvinna.
“Walaupun tidak adil, tapi itulah yang berlaku sekarang dan saya pasrah dengan takdir yang ditentukan-Nya.” Irene Darvinna berkeras mempertahankan pendapatnya.
Dakapan Kasih: Tenungan Maut Itu Masih Lagi Menjadi Milikku Setelah Aku Menjadi Isteri Abahmu? - Irene Darvinna
Ayreil Eiszacwan perasan ketisakselesaan Irene Darvinna daripada tenungan yang dihantar, lalu perlahan-lahan Ayreil Eiszacwan mengukir senyuman. Dia suka setiap kali melihat Irene Darvinna gelabah. Ada keunikkan di situ.
“Irene, kenapa awak resah? Seperti tidak selesa berada di sisi saya? Sebagai seorang sahabat yang baik, awak harus menyelesakan diri di samping sahabat awak. Awak tidak boleh resah sepanjang masa ketika berada di sisinya kerana awak akan membuat dia berasa kurang senang dengan tingkah awak. Awak harus menerima sahaja kekurangan dan kelebihan dirinya.” Ayreil Eiszacwan memancing lagi reaksi Irene Darvinna. Irene Darvinna cuba mengawal perasaannya dengan menyimpul senyuman. Dia tidak mahu Ayreil Eiszacwan tahu resah yang bertandang di dalam hatinya kini.
“Awak menduga saya ye? Awak sendiri tahu saya memang tidak selesa dengan tenungan awak tetapi saya akan belajar untuk menerimanya demi sahabat saya.” Akhirnya Irene Darvinna berterus-terang. Senyuman Ayreil Eiszacwan semakin melebar.
Saturday, November 29, 2008
Best Ke Novel Awak?
Inilah soalan yang diajukan kepada saya buat pertama kalinya saya mengadakan sesi bertemu dengan novelis di gerai CESB semasa pesta buku yang diadakan di PWTC tahun 2006. Ketika soalan ini diajukan, saya terdiam, kaku membisu kerana saya tidak tahu jawapan apa yang ingin saya layangkan. Pada masa tu, blog pun belum saya miliki jadi ... saya tak tahu apa komen pembaca yang telah membaca novel saya. Nak tahu jawapan apa yang saya sedekahkan pada kakak yang mengajukan soalan ini pada saya? Hehehe .... Simple dan mudah!
Saya katakan .... semua penulis jika diajukan dengan pertanyaan ini, mestilah mereka menjawab novel/hasil karya mereka yang terbaik dan terbest. Namun, adakah pembaca yang telah membaca novel mereka mengiktirafkan novel mereka yang terbest? Ia satu soalan yang subjektif sebenarnya untuk dijawab kerana anda tak mungkin tahu corak hasil penulisan yang bagaimana menjadi pilihan pembaca untuk mengiktirafkan karya anda yang terbest/menarik. Saya katakan pada kakak itu, jika ingin tahu samada novel saya best atau tidak, dia haruslah bertanya kepada mereka yang telah membacanya. Kerana jika saya kata best, mungkin bagi kakak itu tidak best. Jadi, untuk mendapat kepastian yang nyata adalah lebih afdal menanya kepada mereka yang telah membacanya.
Apa pendapat anda tentang hasil karya saya selama ini? Best? Menarik? Membosankan? Membiulkan? Menegangkan urat sendi perasaan anda? Saya tidak tahu ... hanya anda yang boleh memberitahu kerana andalah yang menentukan di mana seseorang penulis/novelis itu harus berada dipersada seni penulisan ini. Andalah yang mengiktirafkan karya kami samada memenuhi selera citarasa anda ataupun tidak. Anda juga telah mempopularkan kami dengan meletakkan nama kami di puncak jaya. Tanpa anda pembaca di luar sana ... tak adalah kami yang akan bergelar penulis/novelis.
Saya hanyalah novelis yang tidak punya apa-apa, hanya melakarkan kisah yang terlukis dilayar mata dan tercoret di layar hati untuk dipersembahkan kepada mereka yang menghargai dan juga yang meminati karya saya. Dorongan anda adalah semangat saya untuk terus berdiri gah di sini. Dan semangat anda membaca karya saya adalah kejayaan yang akan saya genggam di dalam dunia seni penulisan yang penuh pancarobanya.
Terima Kasih untuk mereka yang menerima kehadiran saya di dalam industri ini. Terima Kasih kepada mereka yang meminati karya saya untuk saya terus berjuang dalam industri ini. Terima Kasih jua kepada mereka yang sering mengkritik hasil karya saya kerana kritikan anda merupakan suntikkan semangat buat saya untuk memperbetulkan kesilapan lalu agar saya tidak lakukan kesilapan yang serupa. Kritikan anda membuat diri ini dihargai dan disayangi. Kritikan anda juga membuatkan diri ini diterima oleh masyarakat yang gemar membaca.Terima Kasih semua ... MMWAHH!!
Pertemuan Yang Amat Manis .... ;)
Pada N3 kali ini saya ingin mengabadikan sebuah kenangan walaupun sepatutnya N3 ni saya masukkan beberapa minggu yang lepas tetapi oleh kerana tahap kemalasan yang menjalar diri membuatkan saya menangguhkan N3 ini. Saya ingin menceritakan pertemuan manis saya dengan .... siapa haa .... kehkehkeh ... haaa ...tu nak ingat yang bukan-bukanlah tu ... Pertemuan manis saya dengan Kak Eka Fahara penulis tersohor kelahiran Alaf21 dan Diary Alya penulis yang baru hendak menjinak-jinakkan diri dalam dunia penulisan yang penuh pancarobanya tersendiri .... Penulis baru ini jika tiada aral akan bernaung di bawah penerbitan CESB. Tahniah kak dan bersiap sedialah untuk mengharungi dunia yang tidak seindah biasa. Hehehe ... saja suka nak mengharukan .... sian akak ... nakalnnyaa sayaaaa ... nasiblaaa .....
Pada suatu hari, saya terima email daripada seseorang, sebetulnya dia menggunakan nama betul sebab itu saya kurang kenal tapi bila dah buka email yang dikirim .... Wooww ... dah lamanya saya nak jumpa face to face dengan dia ... akhirnya hajat saya termakbul. Kak Eka Fahara mengajak saya buat date, hahaha dengan Diary-Alya ... saya terus bersetuju setelah bertanya mama untuk program hari Sabtu itu. Walaupun saya terpaksa pergi Sungai Petani untuk kenduri arwah nenek saudara, namun pertemuan yang pertama kali ini berjalan dengan lancar sebab Kak Eka hendak bertemu pada awal pagi sedangkan kenduri arwah diadakan di sebelah petang. Alhamdulillah perancangan disusun dengan teratur.
Seperti yang dijanjikan waktunya, saya pun menunggulah Kak Eka di sekolah Menengah Hamid Khan (sekolah saya dulu dari tingkatan 1-5. Banyak kenangan manis walaupun dipelopori kaum cina waktu itu.) Saya memakai serba hitam sebab memang itu warna kegemaran utama saya selain warna maroon. Apabila Kak Eka hon je ... terus terukir senyuman di bibir saya. Macam dah kenal lama Kak Eka ni ... walhal baru pertama kali bersua wajah.
Mencecah sahaja saya ke dalam keretanya setelah bersalaman dan berpelukkkan ...
“Ebriza ni lebih comel di luar la daripada dalam gambar ...” wahahaha .... bikin malu kompeni je Kak Eka ni ... saya yang memang sedia pemalu terus menjadi tersipu ... Hahahaa .... Eleh, Kak Eka pun apa kurangnya ... lebih cantik diluar daripada dalam gambar .... cun wooo ... wa cakap lu ... betulll .....percayalah.
Selepas mengambil Diary-Alya, kami terus ke Restoran Kassim Mustafa yang berdekatan dengan rumah Kak Alya sebab senang nak balik sekiranya anak kecil Kak Alya menangis. Selepas order teh tarik dan roti canai kami melepak dan berbual di restoran itu (seperti kami yang empunya restoran. Kahkahkah ...) dari jam 10 sehinggalah 1 petang. Macam-macam ilmu yang saya dapat dan macam-macam cerita sensasi yang kami bualkan .... cerita apa ... hahaha ... cerita pengalaman kami laa sebagai penulis ... bukannnya cerita keburukkan orang lain ... No .... No ... No ... we are not like that. Kan Kak Eka Kan ....
Kami saling bertukar pendapat tentang bagaimana cara kami berkarya dan genre apa yang kami suka. Saya lebih suka bebas dalam menghasilkan pelbagai genre sebab saya mempunyai impian untuk mencapai status penulis serba boleh. Campaklah genre apa pun, pasti saya boleh melakukannya. Saya tidak mahu digelar penulis pada satu genre sahaja ... bosan tahu tak, hehehe ... Daannn .... korang pembaca di luar sana adalah semangat dan tulang belakang saya untuk membantu saya mencapai status itu. Bolehkan koranggg ... TQQQQ ..... Sayang korang!.
Selepas berbual panjang, kami pun pulang ke rumah dan sebelum itu sempat gak singgah di rumah Kak Alya sebelum dia berpindah ke Perak. Sempat gak laa bergambar kenangan .... Insya-Allah, kalau boleh, saya nak jumpa kedua-duanya lagiii .... mana puas berbual ....
Kak Eka .. Kak Alya .... jumpa di pesta buku noooo .... Daaaa ... Muahhasss ... sayang akak berdua!
Saturday, November 22, 2008
SIkap Suka Bertangguh Amat Merugikan Penulis
Apa yang akan anda jawab sekiranya anda ditanya ‘Bagaimana awak menyiapkan karya awak dalam masa yang singkat? Adakah awak masih lagi mengekalkan kualitinya ataupun awak hanya mementingkan kuantitinya?’
Kadang-kadang, pening juga kepala saya hendak menjawab soalan yang sebegini. Ini kerana bagi saya, sesudah saya menulis nota kaki tanpa dialog untuk setiap bab bagaimana perjalanan cerita itu harus berlaku dan apa peristiwa di dalam bab itu harus terjadi, saya sudah boleh mengembangkan jalan ceritanya. Pendek kata, apabila saya sudah berhadapan dengan PC, saya adalah orang lain yang sedang menjiwai watak yang saya sendiri menciptanya. Dan idea akan mengalir dengan sendirinya untuk menghabiskan satu-satu bab itu.
Satu lagi sifat yang sentiasa saya tanamkan dalam diri ini ialah sifat tidak suka bertangguh kerana apabila saya sudah memulakan karya terbaru, saya akan sentiasa ingin cepat menghabiskannya. Ini disebabkan jika saya tidak mengarang dalam 1 hari, saya akan terasa rugi melepaskan hari yang begitu berharga. Sikap suka bertangguh pula akan melarikan idea asal yang telah ditetapkan untuk novel yang sudah mempunyai tema dan persoalannya. Dan saya juga akan cepat rasa bosan apabila menghadapi cerita yang sama dan sebab itulah saya sentiasa ingin cepat menyiapkannya agar tugas yang terpikul di bahu tidak terasa berat.
Walaupun menghasilkan kuantiti yang banyak dalam setahun, namun saya masih mengekalkan kualitinya dengan cara yang diingini oleh penggemar karya saya. Saya tidak mengabaikan kualitinya kerana saya akan semak dua tiga kali sebelum dihantar ke penerbitan. Idea yang pertama tidak akan sama dengan idea yang ke-2 atau ke-3, oleh sebab itu semakan yang berkali-kali harus dilakukan walaupun kebosanan menjalar ke seluruh pelusok ladang akal.
Satu lagi persoalan ialah ... ‘Bagaimana awak menghadapi Mental Block?’
Saya pasti ramai penulis yang menghadapi masalah ini. Cara saya mungkin tidak sama dengan cara orang lain tapi boleh dicuba jika ingin mengikuti cara saya. Apa yang saya buat ketika menghadapi Mental Block ialah saya akan berangan untuk mencari perkembangan cerita dan juga dialog-dialog yang bakal dipersembahkan. Jika masih tidak dapat, saya akan paksa idea yang beku untuk datang berkunjung walaupun bab itu entah apa-apa cerita walaupun sudah ada nota kaki dan perjalanan kisahnya tidak lari daripada yang saya garapkan. Sesudah tamat sebuah novel saya siapkan, barulah saya akan edit bab di mana Mental Block menyapa ketika saya sedang menyiapkannya. Hasilnya begitu memuaskan. Pada sesiapa yang pernah bertanya pada saya, inilah rahsia saya ketika sedang berkarya. Ahaks!
WASSALAM!
Tuesday, November 18, 2008
Penulis -> Pelakon?
Percaya? Tidak percaya? Terpulang kepada anda, tetapi saya tetap akan menyatakan bahawa penulis adalah seorang pelakon yang hebat ... malah lebih handal daripada pelakon di layar perak. Kenapa saya berkata begitu? Ada sebabnya kenapa saya menyatakan begitu.
Bagi membina watak dan perwatakan serta memasukkan unsur emosi, seseorang penulis itu harus berlakon untuk menyelami watak dan perwatakan yang telah diciptakannya sendiri. Jika penulis tidak berlakon, maka cerita yang akan dikisarkan akan menjadi begitu hambar dan tidak berperasaan. Tidak kira sama ada penulis itu seorang lelaki ataupun perempuan, mereka harus berlakon dalam setiap watak yang dibina. Mereka juga harus beremosi untuk mendapatkan jalan cerita yang lebih menarik tidak kiralah sama ada emosi pada ketika itu marah, sedih, lucu atau apa sahaja. Jika sedih, mereka harus menangis atau bersedih. Jika marah, mereka harus menunjukkan perasaan itu. Jika lucu, mereka harus ketawa agar orang lain juga akan ketawa setelah cerita yang sedang dikarang siap sepenuhnya. Emosi-emosi ini harus dimasukkan ke dalam diri penulis agar watak dan perwatakan yang dibina menjadi teguh dan bermaya. Sebab itulah penulis ... jika sudah mula mengarang, mereka tidak akan menjadi diri sendiri tetapi akan menjadi diri orang lain, sama ada diri seorang lelaki mahupun diri seorang perempuan, yang muda ataupun yang tua. Tidakkah itu dinamakan pelakon yang hebat? Mereka akan berlakon dalam banyak watak sekaligus tanpa memspesifikkan kepada watak tertentu seperti pelakon layar perak.
Oleh sebab itulah juga, jika seorang penulis sudah masuk ke dalam dunia yang diciptakannya sendiri ... mereka tidak akan suka jika diri mereka diganggu kerana ia akan menghilangkan mood mereka ketika mula mengarang. Sesungguhnya bukan senang untuk mendapat mood bagi menghidupkan suasana dan perjalanan sesebuah kisah itu. Sebab itu juga, ada di antara penulis yang suka menulis pada waktu malam kerana terdapat kedamaian pada waktu itu. Dan tidak kurang juga ada penulis yang suka memencilkan diri ke tempat-tempat yang tertentu seperti di pantai dan sebagainya semata-mata untuk menyiapkan sesebuah karya. Kadang-kadang ada juga penulis yang suka berkarya dalam suasana yang bising. Itu semua terpulang kepada penulis itu sendiri, corak yang bagaimana mereka hendak memilih untuk berkarya.
Bagi saya, saya sukakan kedamaian untuk berkarya dengan ditemani oleh lagu-lagu sentimental yang menusuk kalbu dan kadang kala berbual dengan rakan-rakan yang menemani saya secara online (cukuplah hanya sekadar seorang.). Waktu yang sering saya pilih untuk berkarya adalah pada waktu malam kerana diri ini tidak akan diganggu untuk mengekspresikan segala bentuk emosi. Walau dalam suasana apa pun untuk berkarya, yang penting adalah diri kita sama ada ingin ia berjaya ataupun tidak.
Selamat Berkarya untuk semua bakal penulis dan juga rakan penulis yang lain.
Wassalam.
Sunday, November 16, 2008
Lebih Novel Dalam Setahun - Tidak Peka Dengan Penguasaan Bahasa?
Bagi pendapat saya, tidak semestinya penulis yang mampu menghasilkan lebih daripada satu novel dalam setahun hanya tangkap muat sahaja dalam pemilihan ayat-ayat ataupun perkataan mahupun temanya. Kadang-kadang mereka sememangnya sudah mempunyai tema untuk sesebuah novel itu dan apabila siap satu novel, mereka akan teruskan dengan novel yang kedua. Pemilihan kata atau ayat akan datang sendiri ketika seseorang penulis itu sedang mengarang. Sesudah siapnya sesebuah novel itu, pembacaan kedua dan ketiga mungkin juga lebih akan dilakukan untuk memastikan pemilihan ayat dan perkataan bersesuaian dengan jalan cerita yang dipersembahkan. Kadang-kadang juga seseorang penulis itu sudah menghasilkan banyak karya sebelum karya-karya itu dihantar ke pihak penerbitan dan sebab itulah novel mereka boleh diterbitkan dua atau lebih novel dalam setahun oleh penerbitan yang sama ataupun penerbitan yang lain. Saya tidak bersetuju sama sekali jika ada yang menyatakan penulis yang mampu menghasilkan lebih daripada satu novel dalam setahun tidak peka dalam pemilihan ayat ataupun perkataan mahupun penguasaan bahasa untuk dimuatkan dalam karya mereka.
Oleh itu, di sini tidak timbul penguasaan bahasa tidak dititik beratkan jika seseorang penulis itu mampu menghasilkan lebih daripada satu novel dalam setahun.
Tuesday, November 11, 2008
Sketsa Mahakarya Cinta - Kihkihkih ... Ishh ... Tak Baiklah!
Ikuti Kisah Dari Kak Dewi Sukma:
Semalam, ada seorang kawan DS, Gee bercerita tentang satu tragedi 'lucu'. Gee ni memang fanatik novel. Pantang ada novel baru, belum sempat novel tu panas kat kedai dia dah sapu dulu!
Pagi-pagi lagi dia dah buka cerita kat ofis ni, sebab perkara tersebut berlaku pada hari cuti. Beberapa hari lepas (sebelum cutilah) dia dah cakap dengan DS nak gi cari novel terbaru Ebriza bertajuk Mahakarya Cinta (MC). Awal-awal lagi dia dah bising, tebal giler novel tu... tentu penat nak pegang. DS senyum aje, dah maklum dengan perkara ini kerana menyedari harga novel MC mencecah RM29.90!
Seperti biasa, semasa membaca MC atau lain-lain novel, macam-macam teknik yang dia gunakan; duduk di sofa, bersila di tikar, di atas katil, berbaring mengiring, terlungkup, terlentang... dan, oleh kerana terlalu penat memegang novel MC... Fuh!
Tup-tup dia terlelap, MC tu sudah menghentam mukanya dan terkena tepat kat bibirnya sehingga tercedera parah (lebih-lebih pulak!) Kami semua cuma mampu tergelak besar, tak sangka tragedi ini boleh berlaku gara-gara sebuah novel MC yang TEBAL, kehkehkeh!
p/s: Harap my dear Abby tak kecil hati dengan cerita ini ya... ~_~ senyum sikit!
Saturday, November 8, 2008
Formula + Kehidupan
Tanpa Oksigen - Nadi + Kehidupan = Mati
Bermakna : Oksigen + Kehidupan + Nadi saling bergantung sesama sendiri.
Dalam Konteks Kehidupan :
Oksigen : Sangat diperlukan untuk sentiasa memastikan kita bernyawa.
Nadi : Akan sentiasa disisi kita untuk memastikan agar roh kita berfungsi di alam maya ini.
Bermakna : Tanpanya kita tidak mampu meneruskan kehidupan.
Bermakna : Ia terlalu penting untuk kita agar kita mampu berdiri di bumi yang nyata walaupun hanya sementara.
Bermakna : Jika ia terpisah kita akan lenyap.
Bermakna : Oksigen mahupun Nadi tidak boleh dipisahkan. Cantuman kedua-duanya yang memberi nyawa kepada kita untuk terus berada di sini mencipta bahagia dan mensyukuri sesuatu yang berharga yang dikurniakan-NYA. Jangan anda sia-siakan Kurniaan-NYA.
Hmm ... Apalah yang saya merapu ni mencipta formula yang entah apa-apa. Kehkehkeh .... Salam Sepetang di Ruang Rindu.
Thursday, November 6, 2008
Best Tak? Hehehe
resah yang ku
ubah dalam kata
melukiskan kesunyian
tanpa engkau aku tak mengerti
meski
pagi itu menatapi
akan sunyi tanpamu
menemani aku sepi
tanpa..
cintamu aku resah
tanpa..
kasihmu aku hampa
tanpa..
dirimu aku mati
hooo…
(ulang chorus x2)
Kini benar-benarku rasakan
dalam relung hatiku tanpamu
aku tak mengerti
takut
takut jauh cari dirimu
kan kau tinggalkan aku sendiri
tanpamu ku mati
hooo…
resah yang ku
ubah dalam kata
melukiskan kesunyian
tanpa engkau aku tak mengerti
Sunday, November 2, 2008
MAHAKARYA CINTA: BODOHKAH AKU? - ZURAIZEE
Kehairanan Zuraizee mendengar hamburan kata daripada Nurhumaira.
“Aku cakap begitu sebab kau sanggup melepaskan permata yang berharga dalam genggaman dan memilih kaca yang tidak bernilai. Tidakkah itu dinamakan bodoh?” Nurhumaira cuba mengembalikan sesuatu yang Zuraizee tidak pernah sedar selama ini.
Namun Zuraizee semakin bengap kerana tidak dapat menangkap maksud yang cuba disampaikan oleh Nurhumaira.
“Aku memang tak faham dengan apa yang dimaksudkan. Explain, please.” Mendayu suara Zuraizee meminta Nurhumaira menjelaskan seterang-terangnya kepada dia akan kata-kata yang terungkap dari bibir Nurhumaira sebentar tadi.
Nurhumaira menarik nafas panjang sebelum menghelanya keluar.
“Berapa lama kau kenal Zila?” Nurhumaira mengajak Zuraizee untuk bersoal jawab. Jika dilihat saling tidak tumpah seperti pemeriksa yang sedang memberikan ujian lisan.
“Dari kecik lagi. Kenapa?”
“Selama itu kau kenal dia takkan kau tak perasan perubahan diri dia setelah dia menginjak ke alam dewasa?”
“Apa yang kau nak cuba sampaikan kepada aku, Maira? Tak payahlah nak berbunga bahasa, terus terang saja dengan aku,” pinta Zuraizee lagi.
“Kau ni memanglah cikadak tua yang paling bengap pernah aku jumpa. Sesuailah gelaran tu yang diberikan oleh Zila.”
“Kau ni jangan nak naikkan darah aku.” Zuraizee mula bengang.
“Dah memang betul, takkan aku nak menidakkan ia? Apakah kau ni buta, tak nampak cinta yang mengalir dalam diri Zila hanya untuk kau? Dia dah lama mencintai kau tapi kenapa kau masih tak mahu memahaminya? Dia sanggup melukakan dirinya sendiri demi melihat kebahagiaan kau. Dia sanggup lakukan apa saja asalkan kau gembira. Dia turutkan kemahuan kau kerana apa? Kerana dia sayangkan kau lebih daripada seorang abang. Dia lebih mementingkan perasaan kau daripada perasaan dia sendiri. Takkan satu pun kau tak dapat melihat daripada apa yang dia lakukan? Dan, kau melukakan hati dia dengan memilih Wizana, si kaca yang tidak bernilai tu. Kau ni memang teruklah, Zuraizee. Kadang-kadang aku lihat kau ni macam tak berperasaan pun ada. Takkanlah hati kau dibuat daripada kayu?”
Zuraizee terkedu seketika mendengar hujahan daripada Nurhumaira yang bertentangan dengan prinsip Zanzilawati Izzrunnie selama ini. Tergamam dia dengan kenyataan yang tidak pernah diduga.
“Kau ni biar betul, Maira? Tak mungkin perasaan dia melangkau batas dengan begitu jauh? Dia selalu cakap pada aku yang aku ni abang dia sejak dari dulu dan sekarang pun masih kekal begitu. Kalau dia cintakan aku tak mungkin dia beria memikat Wizana untuk aku? Kau jangan mengelirukan aku, Maira. Aku dah cukup keliru dengan keadaan sekarang.” Zuraizee masih tidak mahu menerima hakikat apa yang telah dibentangkan oleh Nurhumaira.
“Ya. Aku akui dia selalu cakap macam tu. Bukan saja pada kau malah pada aku juga tapi sebagai seorang perempuan, aku dapat memahami perasaan perempuan seperti dia. Apa yang diucap melalui mulut tidak pernah sama dengan apa yang berada di dalam hatinya. Kau tahu, setiap pemberian kau tidak pernah dibuangnya malah dia akan menyimpannya walaupun benda tu dah tak cantik lagi. Gambar-gambar kau dengan dia dibingkaikannya dengan secantik yang mungkin hinggakan aku pun cemburu melihat bingkai yang terkandung gambar-gambar di dalamnya...
“Perasaan apakah yang terbentuk di dalam hati Zila jika ia tidak dinamakan cinta? Bukan semua orang sanggup melakukan pengorbanan sebagaimana dia lakukan untuk kau. Zuraizee, sedarlah perasaan yang telah hadir di dalam diri kau orang berdua. Aku dapat lihat yang kau orang memerlukan di antara satu sama lain dan tak mampu berpisah. Apakah yang layak dinamakan hubungan sebegitu kalau tidak cinta? Tolong jangan menafikannya hanya disebabkan status adik-beradik yang kau orang sandang. Sebenarnya, Zuraizee, kau mahupun Zila telah membenarkan perasaan masing-masing dilangkaui oleh aliran cinta yang hangat selain hubungan adik-beradik. Cuba kau tanya pada diri kau sendiri, siapakah yang paling kau perlukan dalam dunia ini antara Wizana dan Zila? Siapa yang tak sanggup kau hilang di antara mereka berdua? Siapakah yang sering berada di sisi kau sewaktu kau memerlukan seseorang? Jawapannya berada di dalam diri kau, Zuraizee, dan itulah dinamakan cinta.”
Panjang lebar syarahan Nurhumaira yang memaksa Zuraizee menadah telinganya mendengar setiap butiran kata-kata daripada gadis itu.
MAHAKARYA CINTA - KENAPA HARUS LEPASKAN ZILA? - NURHUMAIRA
“Sebab... ia bukan milikku.” Tersekat-sekat Zanzilawati Izzrunnie membalas kata. Matanya juga sudah bergenang dengan mutiara jernih yang bisa tumpah bila-bila masa sahaja.
“Sebelum ia menjadi milik orang, ia adalah milik kau. Kenapa kau lepaskan begitu saja? Tidak berhargakah apa yang kau perolehi selama ini? Kenapa begitu bodoh dan ego?” Nurhumaira terus menyerang Zanzilawati Izzrunnie dengan lidahnya yang tidak bertulang.
“Salahkah aku jika ingin menggembirakan orang yang aku sayang? Orang selalu sokong aku ketika aku jatuh? Orang yang sentiasa di sisi aku ketika aku berduka?” Mutiara jernih sudah mulai menitis satu per satu ke pipi Zanzilawati Izzrunnie.
MAHAKARYA CINTA - ANDAI HARUS MEMILIH, YANG MANA SATU PILIHAN ANDA?
Soalan apa pulak ni? Isy, Zila ni... lepas satu, satulah. Nurhumaira merungut di dalam hatinya. Diamnya membuatkan Zanzilawati Izzrunnie menyoalnya dengan soalan yang sama sekali lagi.
“Yang mana satu kau akan pilih, Maira, antara yang kau cintai dan yang mencintai kau?” Zanzilawati Izzrunnie seperti mengharap. Nurhumaira menarik nafasnya sedalam yang mungkin sebelum melepaskannya.
“Kalau terpaksa memilih antara dua, aku akan pilih yang mencintai diri aku kerana yang mencintai diri aku sudah pasti akan menghargai diri aku berbanding yang aku cintai. Yang aku cintai, mungkin kurang mencintai aku sebab aku sahaja yang tergila-gilakan dirinya sedangkan dia... Kau sendiri dapat faham maksud aku, kan? Aku tidak mahu mengambil sebarang risiko yang mampu melukakan hati aku dan mencalari jiwa aku. Aku tak sanggup dikurung dalam rumah kekecewaan dan yang paling aku tak sanggup dengar adalah penghinaan sekiranya ada pertengkaran yang berlaku. Hati aku akan tercalar teruk sekiranya dia menyatakan aku yang pilih dirinya sedangkan dia tak pernah memilih diri aku. Aku tak sanggup menanggung risiko itu.
Sedikit Promo Slot MAHAKARYA CINTA
“Maira...?”
“Hmm...”“Perlukah kita melepaskan orang yang kita sayang?” Tiba-tiba sahaja soalan itu yang terpacul dari mulut Zanzilawati Izzrunnie.
Tanpa mukadimah terlebih dahulu, soalan itu yang dia perolehi daripada Zanzilawati Izzrunnie sesudah lama gadis itu membisukan dirinya. Berkerut dahi Nurhumaira memandang Zanzilawati Izzrunnie.
“Apa yang kau cuba cari daripada soalan itu?” Nurhumaira bertanya untuk kepastian.
Zanzilawati Izzrunnie mengangkat bahunya.
“Sesuatu yang mengelirukan aku beberapa hari ini dan aku cuba menyelesaikan persoalan yang membelit pusat akal aku. Semakin lama semakin berserabut dan aku... entahlah. Aku tak tahu nak cakap macam mana. Bolehkah kau tolong aku menyelesaikan persoalan yang menyesakkan minda aku?” Dia cuba memancing simpati daripada Nurhumaira.
“Hmmm... melepaskan orang yang kita sayang? Jika kita sayangkan orang itu, kenapa kita mesti melepaskannya? Sepatutnya kita mempertahankan orang yang kita sayang, bukan melepaskannya. Falsafah mana kau kutip ni, Zila, yang kita perlu melepaskan seseorang itu jika kita sayangkannya? Hanya orang bodoh saja yang melepaskan orang yang disayang. Kalau akulah... aku akan mempertahankan orang yang aku sayang walau apa jua rintangan yang terpaksa aku hadapi. Aku takkan semudah itu melepaskan orang yang aku sayang. Takkan, Zila... takkan.” Nurhumaira memberikan pendapatnya.
Terdiam Zanzilawati Izzrunnie mendengar keutuhan daripada kata-kata yang meluncur keluar dari mulut Nurhumaira. Dia meneguk ice blended semula.
Tuesday, October 28, 2008
Sekiranya Engkau Ingin Berteman ...
Janganlah Pandang pada Kelebihannya
Kerana Mungkin Dengan Satu Kekurangan
Kau Akan Menjauhinya.
Andai Engkau Ingin Berteman ...
Janganlah Pula Dinilaikan Kebaikkannya
Kerana Mungkin Dengan Satu Kelemahan
Kau Akan Membencinya.
Andai Engkau Ingin Berteman ...
Janganlah Diuji akan Ilmunya
Kerana Apabila Dia Buntu
Kau Akan Menyisihnya.
Andai Engkau Ingin Berteman
Terimalah Dia Seadanya
Kerana Dia Hanya Seorang Teman
Hanya Manusia Biasa
Seperti Dirimu Jua ...
Jalinlah Hubungan Kerana Allah
Moga Hubungan Yang Dibina Sentiasa Diberkati-Nya.
Wednesday, October 22, 2008
MAHAKARYA CINTA - KINI DIPASARAN
Dengan rasa bersyukur, saya ingin mengucapkan Alhamdulillah kerana cabaran selama setahun untuk menyiapkan novel ini akhirnya kini berada di pasaran. Itulah novel yang paling panjang proses penyiapannya – MAHAKARYA CINTA. Kini anda sudah tahu kan ... kenapa hati saya berbunga-bunga dan berada di ruang CINTA. Ahaks! Ya, memang saya dilamun cinta dengan MAHAKARYA CINTA. Hmm .. kihkihkih ....
Mahakarya Cinta merupakan sebuah novel yang amat bermakna sekali pada saya kerana ada kalanya ayat yang saya guna, situasi yang saya karang hampir menyerupai dalam kehidupan yang sebenar masa kini walaupun ia telah separuh disiapkan pada tahun 2007. Suratankah ia atau cuma sebuah kebetulan, anda sendiri yang menentukannya. Mahakarya Cinta – novel yang paling banyak dugaan terpaksa saya tempuhi dalam penyiapannya. Banyak duka daripada suka namun berkat ketabahan dan sokongan daripada keluarga dan teman-teman yang mengenali diri ini, akhirnya ia dapat disiapkan sepenuhnya pada bulan May 2008. Sekali lagi saya panjat kesyukuran ke hadrat illahi. Promonya seperti biasa di ruang Promo. Ahaks!
Semoga Mahakarya Cinta ini dapat memenuhi selera semua pembaca yang menggemari novel saya. Untuk Kak Masturah Dolah, novel Honey yang akak nanti-nantikan telah berada di pasaran. Semoga Kak Mas berpuas hati dengan garapan Honey dalam novel ini. Terima kasih Kak Mas, kerana sentiasa menyokong Honey sejak daripada mula lagi Honey berkecimpung dalam bidang penulisan ini. Sayang Kak Mas dan sayang pada semua penggemar novel saya tidak kira siapa jua anda. Sayang anda seikhlas dari hati ini. Muaahhss.
SINOPSIS :
Dia sering dihina kerana memiliki rupa paras yang tidak cantik. Dia sering dipersenda kerana memiliki kulit yang hitam. Namun, dia disayangi ramai kerana sikapnya yang mudah bergaul dan penyayang. Dia disenangi kerana prihatin dan mengambil berat perihal orang yang mendampinginya. Dialah Zanzilawati Izzrunnie.
Persahabatannya dengan Zuraizee bermula sejak kecil lagi. Mereka membesar bersama-sama dan juga berkerja di bawah satu bumbung. Namun persahabatan yang dibina selama bertahun-tahun akhirnya dilanda badai dan ombak ganas, hanya kerana kehadiran Wizana. Pelbagai helah Wizana lakukan demi untuk memisahkah mereka. Pelbagai kata dilemparkan hanya kerana Wizana mencemburui perhubungan kedua-duanya.
Mampukah Zuraizee mahupun Zanzilawati Izzrunnie mempertahankan hubungan mereka yang terjalin sejak bertahun-tahun dahulu? Tegakah Wizana memisahkan kedua-dua mereka? Berputikkah cinta di antara dua orang sahabat ini walaupun kedua-duanya menegaskan bahawa di antara mereka hanyalah mempunyai satu perhubungan; perhubungan adik-beradik?
Harga:
Sem. Malaysia RM29.90
Sabah / Sarawak RM32.90
Monday, October 20, 2008
Cinta? Apakah Maknanya?
C – Ceria Bila Dipandang
I – Indah Bila Dilihat
N – Nikmat Bila Bersama
T – Takut Akan Kehilangan
A – Abadi Bila Saling Mengerti
Ini pula pengertian CINTA dari blog Pu3 Imaneisya Dan Ehem -Ehem (hahaha) :
I - Insan yang saling mengasihi dan menyayangi
N - Naluri yang saling memahami dan mengerti
T - Tanpa syak wasangka penghias jiwa
A - Allah menjadi penentu buat segala yang direncana bersama...
Sunday, October 19, 2008
Bicara Antara 2 Jiwa
Namun, rasa itu tidak lama kerana dapat ku dengar bicara antara 2 jiwa. Fantasikah ia .. atau realiti ... hmmm ...
Merenungi ke dada langit, melihat Rembulan tersipu malu disebalik lindungan Mentari. Lalu terungkaplah sebuah puisi lagu daripada dendangan jiwa yang sepi.
Sembunyi Malu Rembulan
Disebalik Pancaran Si Mentari
Hanya Mempamerkan diri
Bila Dinihari Menjelang Tiba ...
Lalu Terciptalah Bicara Antara Dua Hati:
Mentari:
Wahai Manisku Rembulan
Mengapa Engkau Sering Muncul
Pabila Tiada Siapa Memandangmu
Pabila Tiada Siapa Merenungimu
Pabila Mereka Semua Telah Diulit Mimpi?
Dengan Senyuman Simpul
Rembulan Mengabarkan Berita Diri
Rembulan:
Wahai Sayangku Mentari
Tidakkah Kau Tahu Rahsia Di Hati
Yang Tersembunyi Di Lipatan Sanubari?
Mentari Terpinga-pinga
Mencari Jawapan Persoalan Hati
Dengan Ketawa Manja
Rembulan Menyambung Bicara
Rembulan:
Sayangku Mentari
Kulakukan Semua Ini
Untuk Mengelak Dari Istilah Salah Sangka
Untuk Mengelak Dari Umpatan Orang
Yang Tidak Tahu Betapa Agungnya
Sesuci Perasaan Yang Wujud
Tercipta Hanya Untuk Dirimu
Aku Lebih Selesa Berada Disebalikmu
Terasa Diri Selamat
Dari Segala Sengketa
Dari Segala Durjana
Yang Mungkin Memisahkan Kita
Kerana Di sini
Aku Tidak Perlu Malu Mahupun Gentar
Menghadapi Segala Kemungkinan Yang Mendatang.
Jawapan Suci Penuh Ikhlas
Meleraikan Simpulan Hati Si Mentari
Lalu Berjanji Pada Diri
Hanya Engkau Ratu Di Hati ....
Alangkah bertuahnya Mentari mendapat Rembulan sebagai Ratu di hati ....
Wednesday, October 15, 2008
Potret Lukisan Wajah Ku ...
Inilah potret lukisan wajah saya yang pertama diabadikan oleh seorang uncle ketika saya menghadiri sebagai penulis undangan di pesta buku USM Pulau Pinang pada tahun 2005 yang dianjurkan oleh pihak Rhythm Publishing. Saya amat menghargainya kerana menurut uncle, hadiah ini diberikan kepada saya sebagai kenang-kenangan. Saya amat terharu kerana ada yang sudi melukis potret wajah ini untuk diabadikan di galerinya. Hehehe .... penat wooo berposing tapi demi uncle saya turutkan jua.
Pertemuan dengan uncle pada ketika itu benar-benar mengisi kebosanan kerana berseorangan. Perbualan dengan uncle banyak memberi kenangan dan manfaat sebab pelbagai cerita yang uncle beritahu boleh dikongsi bersama. Seronok mendengar ceritanya kerana kebanyakkan potret yang dilukis adalah daripada lukisan yang sebenar.
Nak tahu apa uncle simpulkan ketika melukis potret saya? Hehehe .... (benar-benar membuat saya terkejut.)
“Awak ni banyak pendam perasaan Ebriza. Kenapa tak luahkan? Jangan terlalu banyak memendam perasaan ... luahkan agar ringan apa yang ditanggung.” Fullamak ... macam pakar motivasi uncle ni ... kihkihkih.
Saya hanya tersenyum kerana sememangnya itulah sikap saya. Sukar untuk meluahkan apa yang terkandung di dalam hati. Biarlah hanya saya yang tahu.
Saturday, October 11, 2008
Kenangan Di Malam Raya Sewaktu Usiaku 13 ...
Memandangkan suasana hari raya masih hangat membahang, N3 kali ni saya nak masukkan sedikit sketsa yang boleh dijadikan memori semua termasuk diri sendiri. Sepatutnya N3 ni saya nak masukkan sehari sebelum raya sebab ia memang terjadi di malam raya tapi memandangkan kesibukkan menyediakan juadah membuatkan saya tak sempat nak masukkan N3 ni. Kisah ni terjadi ketika saya berusia 13 tahun.
Kisahnya bermula apabila Abang Joe saya .... (Hmm, ni kezen saya Abang Johari tau. Jangan nak memesong ke tempat lain plak.). Okey ... tadi tu iklan, sekarang balik kepada topik, Abang Joe saya berkunjung ke rumah kami. Kebetulan, kami adik beradik nak main mercun (masa tu mercun masih lagi boleh main.) tapi mama tak bagi sebab takut terjadi yang tak diingini. Kami nak main juga dan nasiblah kebetulan Abang Joe datang, bersoraklah kami sebab boleh main mercun kaler2. Ala ... yang bakar terus ke udara dan jadi macam bunga api tu. Mercun telur itik pun ada. Termasuklah mercun pusing dan terbang ke atas.
Abang Joe tukang bakar mercun dan kami main bunga api kaler2 je. Best giler. Pastu, Abang joe hulurkan mercun terbang kat saya. Terpinga-pinga saya memandang Abang Joe.
“Bakarlah.” Katanya.
“Tak nak lah ... orang mana reti.” Kata saya.
“Ala ... cucuk api je pastu lari.” Dia memberi penerangan. Saya pun cubalah.
Mula- saya letak mercun tu di atas jalan raya, pastu dalam takut2 saya mencucuh api ke arah mercun tu. Beberapa kali cucuh baru la menjadi sbb saya lari dulu sebelum api kena mercun. Kahkahkah ....
Abang Joe pun dah bengang dengan saya lalu ..
“Cucuhlah betul2.” Abang Joe menyuruh saya mencucuh sekali lagi. Saya hanya tersengih je time tu. Kali ni .... Yahooo berjaya! Lepas cucuh saya lari laa dan ...
Tiba-tiba mercun tu pusing-pusing di udara dan kejar saya. Apa lagi ... saya buka langkah seribu laa. Tapi yang peliknya ... ke mana saja saya pergi ke situ jualah mercun tu ikut. Sampai satu waktu, saya lari masuk rumah dan tutup pintu dengan nafas yang tercungap-cungap. Hampess je mercun tu. Yang ikut kenapa?
Seketika kemudian di luar rumah, saya mendengar Abang Joe dan Cik Ween kita (heroin saya) dah gelak berdekah-dekah sambil menekan perut. Apa lagi, terbakarlah saya ... lalu,
“Hoi! Gelak pasai apa? Kalau mercun tu kena tadi macam mana? Ni semua Abang Joe punya pasai laa ni ...” Abang Joe yang jadi mangsa kemarahan saya. Abang Joe masih lagi ketawa.
“Manalah aku nak pi tau yang mercun tu nak hambat hang ....” Statement ... membunuh je ... masam je muka saya. Lalu dia memujuk dengan menghulur satu lagi mercun kepada saya.
“Nah! Cuba yang ni pulak.” Geram masih bersisa lalu saya memandang ke arahnya dengan wajah yang kelat.
“Tak maulah. Nanti dia hambat lagi macam mana?” Marah aku.
“Abang Joe gerenti yang mercun ni tak kan hambat.” Abang Joe masih lagi memujuk.
“Betul?” Tanya saya untuk mendapat kepastian. Cepat saja Abang Joe angguk.
Memang betul pun mercun tu terus terbang ke atas. Puas jugalah main mercun pada malam tu ... Hehehe ....
Terima kasih Abang Joe di atas memori yang terindah ini. Tak kan saya lupa buat selama-lamanya. Kihkihkih ....
Assalammualaikum .... Daaa ...
Wednesday, October 8, 2008
Kata-Kata HIKMAT!
Nak tahu ... inilah kata-kata hikmat yang saya pegang sejak saya bergelar PENULIS. Nak tahu lagi ... siapa yang memberikan kata-kata hikmat ni pada saya? Orang yang memberi kata-kata hikmat ini untuk membangkitkan semangat mengarang saya ialah Sasterawan Negara Abdullah Hussain. Bagaimana saya memperolehinya dan bagaimana dia boleh memberinya, inilah cerita yang hendak dikhabarkan ...
Pada tahun 1997, ketika saya sedang menunggu tawaran kemasukkan universiti, pada ketika itulah saya telah ditawarkan untuk mengikuti kursus MINGGU PENULIS REMAJA anjuran DBP. Melompat girang saya kerana bukan semua yang bertuah dapat mengikuti kursus ini, hanya mereka yang terpilih sahaja. Saya sememangnya tidak pernah ketinggalan jika ditawarkan untuk mengikuti kursus sebegini kerana bidang penulisan memang menjadi kegilaan saya semenjak saya dibangku sekolah rendah lagi. Cuma saya aktif menulis ketika saya melangkah ke alam sekolah menengah.
Ketika mengikuti kursus MPR 97, pelbagai kenangan manis yang telah saya lalui di sini yang tak mungkin pudar walaupun ditelan usia waktu. Lain kali sahaja saya ceritakan pengalaman mengikuti kursus MPR ye... Ketika kursus ini sedang berlangsung, saya telah diberitahu bahawa saya memenangi Hadiah Sastera Siswa Bank Rakyat. Best ooo kerana buat pertama kalinya di dalam hidup saya memenangi hadiah sastera sebesar itu. Mana tak happynya.
Upacara penyampaian hadiah berlangsung di Hotel The Lagend. Memang meriah gila dan happening sekali. Tapi yang hampehnya, pengacara majlis tu boleh usik2 saya ketika saya sedang mengambil hadiah di atas pentas. Saya pelik sebab antara banyak2 pemenang, saya saja yang diusik. Bila selidik punya selidik rupa2nya, kawan2 MPR saya yang suruh. Tak pasal2 saya yang pendiam menjadi glemer sekejap. Hehehe ....
Sebaik sahaja selesai upacara penyampaian hadiah HSSBR 97, sekali lagi saya diserang kehairanan apabila SN Abdullah Hussain terus mendapatkan saya, sedangkan ramai penulis yang lain yang inginkan tanda tangannya dan berbual-bual dengan dia. Terasa macam orang penting plak. Hehehe ... Ketika menghampiri sasterawan negara yang disegani itu, saya terus menghulurkan buku antologi puisi dan cerpen yang berjudul HARAPAN DI JOYRAMPUR yang memuatkan puisi saya yang menang. Saya pun tak nak juga ketinggalan untuk mendapatkan tanda tangannya. Dia hanya menyimpul senyuman sahaja memandang pada saya.
“Saya pun nak juga tanda tangan Tok Lah. Boleh ke?” Saya menyimpul bicara ketika menghulur buku berkenaan.
“Boleh. Hmm ... apa ya yang saya nak tulis dekat awak. Awak ni istimewa sikit sebab tu kena ada sesuatu untuk ditulis selain tandatangan.” Kembang-kempis saya ketika menerima ucapan begitu. Hesy ... entah apalah yang istimewanya saya yek ... Malu pun ada juga. Saya hanya tersengih tanpa menampakkan barisan gigi. Fikir punya fikir, akhirnya dia cakap hanya dua perkataan sahaja yang dia mahu saya pegang hingga ke akhir hayat saya iaitu:
TERUS MENULIS
Katanya lagi, saya harus terus menulis selagi hayat dikandung badan kerana bakat yang istimewa ini bukan semua orang miliki dan saya mempunyai potensi yang cerah dalam bidang penulisan ini jika saya terus menulis.
Oleh itu, setiap kali saya patah semangat dalam menghasilkan sebarang karya, kata-kata inilah yang saya pegang untuk menaikkan semangat saya yang telah hilang. Terima kasih Tok Lah atas kata-kata hikmat yang berharga ini.
Untuk semua bakal penulis dan penulis ... saya hadiahkan kata-kata hikmat ini pada korang semua untuk menaikkan semangat korang setiap kali korang hilang tumpuan untuk berkarya.
Salam Sayang Dari Saya Untuk Semua!
Friday, September 26, 2008
SALAM LEBARAN UNTUK SEMUA PENGUNJUNG RUANG RINDU 2008!
Sekejap sahaja sudah tiba masanya kita menyambut kedatangan lebaran yang dinantikan oleh semua umat Islam. Bagaimana dengan anda? Sudah membuat persiapan raya? Mudah-mudahan apa yang dirancangan akan terlaksana dengan izin daripada-Nya.
Di kesempatan ini, abby ingin menyusun 10 jari memohon keampunan dan kemaafan sekiranya terdapat kasar bahasa atau lepas laku yang abby tak sengajakan sepanjang layanan abby buat semua pengunjung Ruang Rindu. Sebagai manusia biasa, sudah tentu abby juga tidak lari daripada melakukan kesilapan, jadi di hari yang mulia maafkan abby jika ada terlebih rencah dalam bicara abby mahupun gurauan abby.
Selamat Hari Raya Semua! Maaf Zahir dan Batin!
Sunday, September 21, 2008
Hadiah Di Aidilfitri 2008
MyNiceSpace.com
Bagaimana hendak saya ungkapkan dengan kata-kata kerana sememangnya tiada kata-kata yang mampu melakarkan sebarang ungkapan selain ucapan terima kasih yang tidak terhingga. Sesungguhnya saya memang terharu di atas apa yang dilakukannya terhadap diri ini. Terasa diri amat dihargai dan disayangi. Hanya dialah satu-satunya yang sering memberi kejutan tanpa mengira ruang waktu. Dan setiap kejutan yang diberikan pada saya membuatkan saya sangat-sangat terharu.
Semalam merupakan hari membuat kuih raya. Sebaik sahaja selepas Subuh sehinggalah melewati waktu dinihari. Sampai pukul 12am beb baru habis semua resepi dan mengemas rumah. Letih teramat sangat. Dalam kerancakkan membakar dan menekap kuih, tiba-tiba sahaja abah saya menghulurkan satu bungkusan. Terkejut menerima bungkusan yang tidak saya duga. Bila melihat nama pengirimnya mampu membuatkan saya tersenyum sendiri kerana dirinya amat saya rindui di kala ini. Nasiblah masa tu dah basuh tangan, jadi bolehla buka kiriman daripadanya.
Sebaik sahaja isi terburai, saya terkesima seketika melihat pemberian hadiah di Aidilfitri yang sungguh bermakna. Tiba-tiba hati rasa terharu yang amat sangat kerana selama ini, tidak pernah ada seorang pun yang memberi hadiah di Aidilfitri selain kad raya. Namun, tahun ini amat bermakna sekali sambutan Aidilfitri buat diri ini. Nak tahu apa hadiahnya ... sepasang baju kebaya batik sutera yang belum siap. Ingatkan nak pakai pagi raya tapi sayangnya ... tak ada orang nak ambil tempahan. Jadi, terpaksalah simpan untuk Hari Raya Aidiladha ... hehehe ...
MyNiceSpace.com
Sis, Ara Suhara,
Sis, kehadiran U dalam hidup I memang amat bermakna sekali kerana U telah memberi peluang pada I untuk merasakan Dakapan Kasih seorang kakak. Persahabatan yang telah terjalin, kini telah menjadi satu tali silaturrahim kekeluargaan. I bersyukur sangat kerana dikurniakan seorang kakak sebaik U dan sentiasa di sisi I ketika I memerlukan U.
Sis, apa saja yang U lakukan pada I membuatkan I amat terharu dan terasa diri amat dihargai dan disayangi. Asalnya daripada Penggemar Novel Hanya Dikau, kini U telah menjadi penting dalam sebahagian hidup I. I nak U tahu Sis, I sayangkan U dan diri U sentiasa dekat di hati ini. Walau ke mana I pergi, sebaris nama U tak kan mungkin tertanggal daripada terus tersemat di dalam hati ini.
MyNiceSpace.com
Sis, I tak tahu bagaimana U tahu kegemaran I dan warna kebaya pemberian U memang kegilaan I. Hitam itu kan menawan, hehehe .... Sekarang ni dah tak sempat nak buat baju, mungkin masa Aidiladha nanti I gayakan baju pemberian U. Dan apa saja yang U berikan pada I, amat-amat I hargai.
Terima kasih sis kerana sudi hadir dalam hidup ini. Terima kasih sis kerana membuat diri I begitu penting dalam hidup U. Terima kasih sis kerana sudi berkongsi segala suka duka dengan I. Terima kasih sis kerana sudi menjadi tulang belakang I ketika I amat memerlukannya. Terima kasih sis di atas segala-galanya. I meant it.
MyNiceSpace.com
P/S: Untuk kakak-kakakku yang lain iaitu Kak Mas, Kak Lara, Kak Syima Syawal, Kak DS, Alyze, Kak Long Pu3Imaneisya dan semuanya sekali, kehadiran anda juga amat bermakna dalam hidup ini. Terima kasih kerana sudi berada di sisi ini. Mwaahhh .... sayang korang.
MyNiceSpace.com
Thursday, September 18, 2008
Selamat Hari Lahir Ku Ucapkan ....
MyNiceSpace.com
Untuk Sahabat dan Guruku,
Johan, Ainul Razlin dan Cikgu Qanaah,
Salam Sejahtera Di Hari Bahagia
Moga Hari-Hari Yang mendatang
Akan Tampak Keceriannya
Bersama Sebuah Semangat Yang Utuh
Bagi Perjalanan Kehidupan
Yang lebih Gemilang
Salam Sejahtera Di Hari Bahagia
Moga Hari-Hari Yang Kau Lewati
Akan Tampak Kematangannya
Bersama Masa Yang Berlalu
Meniti Arus Pancaroba Alam
Untuk Kesejahteraan Hidup
Di Alam Maya Ini
Salam Sejahtera Di Hari Bahagia
Semoga Hidup Mu
Diserikan Sinar Gemilang
Bersama Sebuah Pengharapan
Yang Kau Impikan
Kan Menjadi Kenyataan
Namun
Ketakwaan Dan Keimanan
Jangan Dilupa
Sematkan Dan Bekalkan Ia
Di Dalam Jiwa
Agar Hidupmu Akan Lebih Ceria
Bersama Impian Abadi
MyNiceSpace.com
Semoga Hari Ini Akan Memberi Seribu Makna Dalam Hidup Anda.
MyNiceSpace.com
Dakapan Kasih Terbitan Roket Kertas - Kini Di Pasaran
Saya tidak tahu bagaimana penerimaan anda penggemar karya saya terhadap novel ini kerana ia sememangnya lain daripada yang lain. Kali ini saya mengangkat tema bagaimana seorang ibu tiri muda dicintai oleh ayah dan anak sekaligus. Irene Darvinna berkahwin dengan lelaki seusia ayahnya sendiri demi memenuhi permintaan seseorang. Dari situ, pelbagai dugaan yang dihadapi oleh gadis berjiwa kental ini.
Mudah-mudahan karya ini dapat diterima oleh semua. Teguran anda adalah ubat yang paling mujarab untuk saya memperbaiki segala kelemahan diri yang ada. Terima kasih kerana sudi berkongsi pendapat. Saya amat-amat menghargainya.
Promo novel ini boleh anda dapati di ruangan Promo Novel saya.
DAKAPAN KASIH
Dakapan kasih seorang ibu merupakan dakapan kasih yang terbaik untuk insan di dunia ini. Meskipun dia hanyalah seorang ibu tiri. Dia tidak pernah mengabaikan tanggungjawab sebagai ibu walau dia sering dihina dan kehadirannya di dalam keluarga itu disalahertikan. Bukan dia yang pinta untuk ditempatkan di dalam rumah agam itu. Demi memenuhi permintaan seorang yang sedang nazak membuatkan dia akur dan menerima takdir Allah.
Namun, pelbagai dugaan datang melanda sejak dia bergelar isteri kepada lelaki yang sebaya bapanya itu. Dia dibuang keluarga sendiri. Anak tirinya pula jatuh cinta terhadapnya. Namun, ada juga anak-anak tirinya yang mengasihinya dan menerimanya sebagai seorang ibu. Tetapi ada juga yang berusaha untuk menyingkirkannya daripada terus berada di dalam keluarga itu.
Namun, sampai bila dia harus bersabar dan menerima segala dugaan yang datang melanda ini?
Wednesday, September 17, 2008
Kenangan Di Bulan Ramadhan Tahun 2007
Baru menjenguk-jenguk kuih mana berkenan di hati, tiba-tiba sahaja badan saya disentuh. Terkejut saya! Nasib baik saya tak sigung dengan siku, ingatkan mamat mana ke yang sengaja nak sentuh menyentuh ni (maklumlah orang ramai berasak.) rupa-rupanya, Mazira kawan lama saya. Lepas juga rindu padanya. Namanya ada saya muatkan dalam novel Tangisan Dalam Kerinduan.
Lepas tu, saya mula mengatur langkah kembali dan tiba-tiba sahaja saya terdengar nama saya dilaung dengan kuat dan berkali-kali.
“Ebriza! Ebriza! Mailah beli nasi beriayani!”
‘Eh, sapa pulak yang panggil aku suruh beli nasi beriayani? Aku tak mau beli nasi beriayanilah.’ Gerutuku di dalam hati.
Suka-suka hati saja suruh saya beli nasi beriayani sedangkan saya memang jarang makan nasi waktu berbuka. Ratah-ratah saja. Apabila nama saya dilaung sekali lagi, saya pantas mencari siapakah empunya suara yang menyuruh saya beli nasi beriayani. Rupa-rupanya …
Ya Rabbi … Mere puranni dost. Hehehe … Tahu ke maknanya? Maknanya, kawan lama saya. Mula-mula tu saya tak kenal tapi bila ku tenung-tenung dan ku belek-belek barulah saya kenal siapa jejaka kembar itu. Mereka adalah Hamdullah dan Nasrullah. Rasa-rasa macam pernah dengar tak nama ni? Di mana ye? Fikir … jangan tak fikir. Tak kanlah korang tak ingat pada empat jejaka poyo dalam novel KAU YANG TAK MENGERTI tapi mereka ni tak poyo tau in real life. Dorang berdua ni dah kahwin.
Dah jumpa kaibigan, haa … masih tak faham? Maknanya sahabat, apa lagi rabung boraklah. Macam2 cerita yang bertukar dalam masa sesingkat itu. Nak support kawan punya pasal, saya pun terpaksalah beli sebungkus nasi beriayani ayam mereka yang last kopek sebab dah habis licin dalam periuk, tu je yang tinggal. Sajalah nak rasa … Sedap ke tidak … Kalau sedap baru boleh beli lagi. Kalau tak sedap, itu yang pertama dan terakhir. Lepas tu saja baru saya pergi cari kuih pelita/tako tapi punyalah frust menonggeng sebab kuih tu dah habis … Huhuhu …. Gara-gara nasi beriayani, kuih pelita/tako tercicir. Tak pelah …. Kawan punya pasal.
Masa berbuka, saya tuju nasi beriayani ayam tu dulu. Kunyah punya kunyah … mak datuk … sedapnya nasi bariayani ayam hujan panas mereka. Terangkat wei. Patutlah licin periuk. Memang kaw punya mamak penang nasi beriyani. Nanti boleh ler pergi beli lagi. Mereka juga ada buat katering. Kalau nak tempah silakan tapi area penang sajalah. Senang sikit kerja saya kalau ada apa-apa kenduri, boleh tuju terus pada katering mereka. Sempat pesan lagi suruh saya mai gerai depa tiap-tiap hari. Baru turun berat badan … apa depa nak suruh pulak ka … minta maaflah … cek tak sanggup. Nak turun bukan main susah lagi tapi kalau nak naik berat badan bukan main senang lagi. Cek nak raya sakan … Ham & Nas, senang-senang nanti cek mailah ye …. Hehehe .
Okeylah … Selamat Semua!
Sunday, September 14, 2008
Kenangan Pulang Berhari Raya
Pekhabar anda semua? Sihat? Dah dekat nak raya kan ... pasti semua dah beli tiket untuk pulang ke kampung masing-masing. Ucapan saya ... selamat pulang berhari raya dan berhati-hati di jalan raya. Tak lari kampung yang dikejar. Dan service kereta dulu sebelum pulang demi keselamatan anda semua.
Bercerita pasal balik kampung ni ... saya juga mempunyai kisah yang tersendiri. Walaupun kampung mama dan abah semuanya di Penang, namun cerita balik kampung ni ketika saya dan adik perempuan belajar di UiTM Shah Alam. Kisah sedih, hampir-hampir terkandas di perjalanan ... cuak je muka kita orang masa tu. Hahaha ....
Imbauan Balik Kampung
Pagi-pagi lagi saya dah bangun ketika berada di rumah sewa Seksyen 18 Shah Alam. Maklumlah hari ni dah nak balik Penang, so tak sabar-sabar lagi perasaan ini. Gembira, rindu pada keluarga semuanya bercampur gaul. Masa terasa lambat benar nak balik. Tiket bas pula pukul 3 petang. Akibat tak sabar punya pasal, dalam pukul satu ptg saya, adik dan kawan adik yang bernama Ina dah ada di stesyen komuter. Bagi kami biar awal asalkan tak terlepas bas.
Tapi yang geramnya masa tu hujan punyalah lebat dan tak mau berhenti. Makin lama makin lebat sampaikan komuter tak boleh berjalan sebab stesyen di Batu 3 dah banjir beb... dari pukul satu tibalah ke pukul dua ... pastu ke pukul 3 ... waaa ....waaa .... macam mana ni ... bas dah bergerak kita orang terkandas di Stesyen komuter Shah Alam. Ina cuba telefon sepupu dia untuk ambik kami ke stesyen KL tapi kami terpaksa berpatah balik ke stesyen komuter sebab kereta langsung tak boleh gerak. Hujan terlalu lebat.
Muka masing-masing ... ya rabbi ... dah macam semacam ... tinggal nak banjir je kat situ, tambah-tambah lagi bila dengar dorang pasang lagu Allahyarham Sudirman – Balik Kampung. Waa waa ... kami nak balik ... saya pandang muka adik ...
“Macam mana ni? Bas dah terlepas?” Muka adik dah cuak tahap maksima sambil memandang jam tangan yang sudah merangkak ke angka 4 ptg.
“Tak kira ... nak balik juga. Kalau kena duduk atas lantai bas pun sanggup asalkan dapat balik. Kalau tak dak juga ... kita naik flight.” Kata adik. Saya hanya mengangguk. Tunggu punya tunggu akhirnya, dalam pukul 6ptg, barulah stesyen komuter dapat berjalan seperti sedia kala.
Setibanya kami ke Stesyen KTM KL, terus kami ke Plusliner (Bas kegemaran kami semasa pulang ke kampung atau ke KL semula). Kami tanya kepada pihak Plusliner tentang bas kami yang terlepas. Bagaimana kami nak pulang. Hari Raya tu ... hari lain kami tak kisah sangat boleh postpone balik Penang. Nasiblah pihak Plusliner agak prihatin dengan masalah kami dan dia cakap, kalau bas kosong boleh muat. Yang kelakarnya, adik saya terus berkata dengan selamba,
“Kalau penuh pun tak pe, kami boleh duduk di lantai asalkan boleh balik Penang.” Kah kah kah .... tersengih pihak plusliner. Saya dah malu masa tu tapi tahan je laa sebab kami memang nak balik laaa ...
“Kita tengok dulu macam mana.” Itulah kata Pihak Plusliner.
Akhirnya kami dapat balik sebab bas terakhir pada waktu malam tu memang kosong walaupun kami terpaksa duduk di bahagian paling belakang sekali. Tak kisahlah .. janji dapat balik, yahoo ... Balik Kampung .... ooo Balik Kampung ....
Selamat Balik Kampung semua!
Sudirman ( Sudirman )
Nun menghijau gunung ladang dan rimba
Balik kampung oh oh...( 3X )
Terbayang wajah-wajah yang ku sayang