Wednesday, October 8, 2008

Kata-Kata HIKMAT!

‘TERUS MENULIS’

Nak tahu ... inilah kata-kata hikmat yang saya pegang sejak saya bergelar PENULIS. Nak tahu lagi ... siapa yang memberikan kata-kata hikmat ni pada saya? Orang yang memberi kata-kata hikmat ini untuk membangkitkan semangat mengarang saya ialah Sasterawan Negara Abdullah Hussain. Bagaimana saya memperolehinya dan bagaimana dia boleh memberinya, inilah cerita yang hendak dikhabarkan ...

Pada tahun 1997, ketika saya sedang menunggu tawaran kemasukkan universiti, pada ketika itulah saya telah ditawarkan untuk mengikuti kursus MINGGU PENULIS REMAJA anjuran DBP. Melompat girang saya kerana bukan semua yang bertuah dapat mengikuti kursus ini, hanya mereka yang terpilih sahaja. Saya sememangnya tidak pernah ketinggalan jika ditawarkan untuk mengikuti kursus sebegini kerana bidang penulisan memang menjadi kegilaan saya semenjak saya dibangku sekolah rendah lagi. Cuma saya aktif menulis ketika saya melangkah ke alam sekolah menengah.

Ketika mengikuti kursus MPR 97, pelbagai kenangan manis yang telah saya lalui di sini yang tak mungkin pudar walaupun ditelan usia waktu. Lain kali sahaja saya ceritakan pengalaman mengikuti kursus MPR ye... Ketika kursus ini sedang berlangsung, saya telah diberitahu bahawa saya memenangi Hadiah Sastera Siswa Bank Rakyat. Best ooo kerana buat pertama kalinya di dalam hidup saya memenangi hadiah sastera sebesar itu. Mana tak happynya.

Upacara penyampaian hadiah berlangsung di Hotel The Lagend. Memang meriah gila dan happening sekali. Tapi yang hampehnya, pengacara majlis tu boleh usik2 saya ketika saya sedang mengambil hadiah di atas pentas. Saya pelik sebab antara banyak2 pemenang, saya saja yang diusik. Bila selidik punya selidik rupa2nya, kawan2 MPR saya yang suruh. Tak pasal2 saya yang pendiam menjadi glemer sekejap. Hehehe ....

Sebaik sahaja selesai upacara penyampaian hadiah HSSBR 97, sekali lagi saya diserang kehairanan apabila SN Abdullah Hussain terus mendapatkan saya, sedangkan ramai penulis yang lain yang inginkan tanda tangannya dan berbual-bual dengan dia. Terasa macam orang penting plak. Hehehe ... Ketika menghampiri sasterawan negara yang disegani itu, saya terus menghulurkan buku antologi puisi dan cerpen yang berjudul HARAPAN DI JOYRAMPUR yang memuatkan puisi saya yang menang. Saya pun tak nak juga ketinggalan untuk mendapatkan tanda tangannya. Dia hanya menyimpul senyuman sahaja memandang pada saya.

“Saya pun nak juga tanda tangan Tok Lah. Boleh ke?” Saya menyimpul bicara ketika menghulur buku berkenaan.

“Boleh. Hmm ... apa ya yang saya nak tulis dekat awak. Awak ni istimewa sikit sebab tu kena ada sesuatu untuk ditulis selain tandatangan.” Kembang-kempis saya ketika menerima ucapan begitu. Hesy ... entah apalah yang istimewanya saya yek ... Malu pun ada juga. Saya hanya tersengih tanpa menampakkan barisan gigi. Fikir punya fikir, akhirnya dia cakap hanya dua perkataan sahaja yang dia mahu saya pegang hingga ke akhir hayat saya iaitu:

TERUS MENULIS

Katanya lagi, saya harus terus menulis selagi hayat dikandung badan kerana bakat yang istimewa ini bukan semua orang miliki dan saya mempunyai potensi yang cerah dalam bidang penulisan ini jika saya terus menulis.

Oleh itu, setiap kali saya patah semangat dalam menghasilkan sebarang karya, kata-kata inilah yang saya pegang untuk menaikkan semangat saya yang telah hilang. Terima kasih Tok Lah atas kata-kata hikmat yang berharga ini.

Untuk semua bakal penulis dan penulis ... saya hadiahkan kata-kata hikmat ini pada korang semua untuk menaikkan semangat korang setiap kali korang hilang tumpuan untuk berkarya.

Salam Sayang Dari Saya Untuk Semua!

1 comment:

Cetusan said...

salam senyum.terus menulis.