Sunday, November 2, 2008

MAHAKARYA CINTA: BODOHKAH AKU? - ZURAIZEE

“Kau terima tak kalau aku cakap kau ni merupakan satu-satunya lelaki yang paling bodoh?”

Kehairanan Zuraizee mendengar hamburan kata daripada Nurhumaira.
“Kenapa kau cakap begitu? Apa yang telah aku buat sampai aku dianggap paling bodoh?” Zuraizee tampak tidak puas hati.

“Aku cakap begitu sebab kau sanggup melepaskan permata yang berharga dalam genggaman dan memilih kaca yang tidak bernilai. Tidakkah itu dinamakan bodoh?” Nurhumaira cuba mengembalikan sesuatu yang Zuraizee tidak pernah sedar selama ini.



Namun Zuraizee semakin bengap kerana tidak dapat menangkap maksud yang cuba disampaikan oleh Nurhumaira.



“Aku memang tak faham dengan apa yang dimaksudkan. Explain, please.” Mendayu suara Zuraizee meminta Nurhumaira menjelaskan seterang-terangnya kepada dia akan kata-kata yang terungkap dari bibir Nurhumaira sebentar tadi.

Nurhumaira menarik nafas panjang sebelum menghelanya keluar.



“Berapa lama kau kenal Zila?” Nurhumaira mengajak Zuraizee untuk bersoal jawab. Jika dilihat saling tidak tumpah seperti pemeriksa yang sedang memberikan ujian lisan.



“Dari kecik lagi. Kenapa?”



“Selama itu kau kenal dia takkan kau tak perasan perubahan diri dia setelah dia menginjak ke alam dewasa?”



“Apa yang kau nak cuba sampaikan kepada aku, Maira? Tak payahlah nak berbunga bahasa, terus terang saja dengan aku,” pinta Zuraizee lagi.



“Kau ni memanglah cikadak tua yang paling bengap pernah aku jumpa. Sesuailah gelaran tu yang diberikan oleh Zila.”



“Kau ni jangan nak naikkan darah aku.” Zuraizee mula bengang.



“Dah memang betul, takkan aku nak menidakkan ia? Apakah kau ni buta, tak nampak cinta yang mengalir dalam diri Zila hanya untuk kau? Dia dah lama mencintai kau tapi kenapa kau masih tak mahu memahaminya? Dia sanggup melukakan dirinya sendiri demi melihat kebahagiaan kau. Dia sanggup lakukan apa saja asalkan kau gembira. Dia turutkan kemahuan kau kerana apa? Kerana dia sayangkan kau lebih daripada seorang abang. Dia lebih mementingkan perasaan kau daripada perasaan dia sendiri. Takkan satu pun kau tak dapat melihat daripada apa yang dia lakukan? Dan, kau melukakan hati dia dengan memilih Wizana, si kaca yang tidak bernilai tu. Kau ni memang teruklah, Zuraizee. Kadang-kadang aku lihat kau ni macam tak berperasaan pun ada. Takkanlah hati kau dibuat daripada kayu?”



Zuraizee terkedu seketika mendengar hujahan daripada Nurhumaira yang bertentangan dengan prinsip Zanzilawati Izzrunnie selama ini. Tergamam dia dengan kenyataan yang tidak pernah diduga.



“Kau ni biar betul, Maira? Tak mungkin perasaan dia melangkau batas dengan begitu jauh? Dia selalu cakap pada aku yang aku ni abang dia sejak dari dulu dan sekarang pun masih kekal begitu. Kalau dia cintakan aku tak mungkin dia beria memikat Wizana untuk aku? Kau jangan mengelirukan aku, Maira. Aku dah cukup keliru dengan keadaan sekarang.” Zuraizee masih tidak mahu menerima hakikat apa yang telah dibentangkan oleh Nurhumaira.



“Ya. Aku akui dia selalu cakap macam tu. Bukan saja pada kau malah pada aku juga tapi sebagai seorang perempuan, aku dapat memahami perasaan perempuan seperti dia. Apa yang diucap melalui mulut tidak pernah sama dengan apa yang berada di dalam hatinya. Kau tahu, setiap pemberian kau tidak pernah dibuangnya malah dia akan menyimpannya walaupun benda tu dah tak cantik lagi. Gambar-gambar kau dengan dia dibingkaikannya dengan secantik yang mungkin hinggakan aku pun cemburu melihat bingkai yang terkandung gambar-gambar di dalamnya...



“Perasaan apakah yang terbentuk di dalam hati Zila jika ia tidak dinamakan cinta? Bukan semua orang sanggup melakukan pengorbanan sebagaimana dia lakukan untuk kau. Zuraizee, sedarlah perasaan yang telah hadir di dalam diri kau orang berdua. Aku dapat lihat yang kau orang memerlukan di antara satu sama lain dan tak mampu berpisah. Apakah yang layak dinamakan hubungan sebegitu kalau tidak cinta? Tolong jangan menafikannya hanya disebabkan status adik-beradik yang kau orang sandang. Sebenarnya, Zuraizee, kau mahupun Zila telah membenarkan perasaan masing-masing dilangkaui oleh aliran cinta yang hangat selain hubungan adik-beradik. Cuba kau tanya pada diri kau sendiri, siapakah yang paling kau perlukan dalam dunia ini antara Wizana dan Zila? Siapa yang tak sanggup kau hilang di antara mereka berdua? Siapakah yang sering berada di sisi kau sewaktu kau memerlukan seseorang? Jawapannya berada di dalam diri kau, Zuraizee, dan itulah dinamakan cinta.”



Panjang lebar syarahan Nurhumaira yang memaksa Zuraizee menadah telinganya mendengar setiap butiran kata-kata daripada gadis itu.

6 comments:

Cetusan said...

..dan salah satu kelemahan lelaki adalah TAK/ slow dalam memahami hargaijiwa /perasaan perempuan termasuklah saya..uhuu..

EBRIZA AMINNUDIN said...

owh ... ye ke Zeqzeq ... kenapalah lelaki sebegitu ye?susah sangat ke nak lihat apa yang dilakukan oleh wanita itu atau sengaja tidak mahu memahami?

Sapa nak jawab ni ... heuheuheu ...

Anonymous said...

bukan tak tahu mghargai...bukan juga tak mahu memahami...tetapi jiwa lelaki itu sendiri sukar utk memperlihatkan apa yang dia rasa...dan itulah yang perlu wanita paham sbenarnya.

ini sekadar pendapat sahaja...mungkin ada lelaki lain yang mampu memberikan jawapan paling tepat. hehe

EBRIZA AMINNUDIN said...

thanx Joe. Lelaki lain ... ada komen yang nak tambah?

Cetusan said...

..hanya insan (lelaki yg bersifat romantis ) sahaja suka n berminat pamerkan rasa sayang kepada pasangannya, oleh itu kelemahan yang ada pada lelaki yg ego itu, hendaklah ada tolakansur dari wanita, bukan penghalang akrab atau utk merasa kecik hati..dengan sifat genetiknya..

EBRIZA AMINNUDIN said...

jadi di sini, lelaki itu rela melepaskan permata dalam genggaman semata2 utk mempertahankan egonya?