Thursday, December 18, 2008

Bahasa Dari Dalam ...

Terdengar dari luar esakan tangisan yang amat kuat sekali. Sudah lama tangisan itu bergema namun baru hari itu tergerak jiwa untuk menegurnya. Entah kenapa selama ini, dia boleh menulikan telinga dengan tangisan yang sentiasa bergema seolah-olah tiada penghujungnya.

Jiwa: Hati, kenapa engkau sering saja menangis tanpa mengira waktu. Kadang-kadang aku terdengar engkau ketawa tapi itu hanya untuk sementara waktu sahaja. Ceritalah pada aku, sekurang-kurangnya pedih di dalam engkau akan berkurangan.

Hati terdiam seketika tatkala mendengar suara itu. Dia mengesat air matanya yang tidak mahu berhenti malah terus mengharap walaupun dia tidak pasti dengan apa yang dialaminya. Ya, memang benar kata suara itu, kadang kala dia berasa cukup gembira kerana yakin apa yang dinantikan selama ini hampir menjadi kenyataan. Namun ia tidak semudah itu apabila dirinya diuji dengan pelbagai ujian sebelum bahagia itu menjadi miliknya yang abadi sehingga dia tidak yakin lagi dengan apa yang dirasa.

Hati: Siapa kau? Kenapa tiba-tiba menegur? Kau dapat dengar tangisan aku?

Hati menyoal kembali. Dia mendengar suara itu menarik nafas sedalam yang mungkin.

Jiwa: Aku jiwa. Jiwa yang sepi. Jiwa yang sunyi. Aku juga seperti kau .. kadang kala menangis sendirian namun cuma esakan aku tidak kedengaran kerana aku menangis dari dalam. Ya. Aku dapat dengar dengan jelas tangisan kau hati. Kongsilah dengan aku sekiranya kau sudi mahupun sedia kerana nasib kita sama sahaja.

Hati terdiam seketika. Air mata yang tumpah terus dikesat.

Hati: Aku tidak tahu ... kadang kala aku berasa sedih. Aku sudah lama terkurung di sebalik kamar usang ini. Tiada siapa yang mempedulikan aku. Tiada siapa yang menghiraukan aku. Kadang kala, aku terdengar ketukan dari luar namun tiada siapa yang berjaya masuk disebalik pintu yang berkunci rapat ini. Kenapa mereka hanya singgah saja jiwa? Kenapa kunci yang hilang sejak bertahun dulu masih belum ditemui walaupun aku sudah bersedia untuk berdepan dengan apa jua rintangan, ujian mahupun dugaan. Apakah aku tidak layak untuk dimiliki?

Luahan hati amat menyentuh jiwa. Jiwa terasa kepedihannya.

Jiwa: Siapa kata engkau tidak layak untuk dimiliki? Engkau layak untuk sesiapa jua hati. Mungkin mereka yang tidak layak untuk kau. Mungkin jua rasa itu masih belum betul meresap ke dalam mereka sebab itu mereka hanya singgah namun masih belum berjaya mengeluarkan engkau dari kurungan kamar usang itu. Kadang-kala aku teringin sekali untuk bersatu dengan engkau agar rasa bahagia itu menjadi milik bersama. Namun apakan daya, engkau tetap disebelah sana dan aku tetap disebelah sini. Masa belum mahu menyatukan kita. Sabarlah hati. Mungkin suatu hari nanti ada yang memahami dan dapat mencari kunci yang hilang serta mengeluarkan engkau dari kurungan itu.

Semakin lebat tangisan hati yang lara. Air matanya tidak pernah kering walaupun dia kelihatan ceria di hadapan cermin rindu Rindu itu ada tapi mungkin masih belum wujud untuk dirinya. Dia ingin lari dari terus dipanah rasa rindu namun cermin rindu seakan-akan tidak mahu pecah dari terus menghantuinya. Setiap kali dia melihat cermin rindu yang berada di hadapannya, dia terasa dekat sekali namun hakikatnya terlalu jauh ... sehingga dia tidak sanggup untuk terus terkurung daripada bayangan yang semakin mendakap erat dirinya membuatkan dia resah sepanjang waktu. Dia cuba menyentuh cermin rindu itu tetapi kenapa tangannya tidak tercapai walaupun cermin itu tidak pernah tinggalkan dirinya sendirian. Cermin itu sentiasa ada menemaninya namun cermin itu masih belum boleh menjadi miliknya. Kenapa begitu sukar sekali untuk keluar daripada bayangan yang semakin sebati? Adakah cermin itu sekadar cermin yang hanya merefleksikan dirinya sahaja? Hati tidak pasti kerana cermin itu hanya kaku membisu.

Hati: Maafkan aku jiwa kerana masih membiarkan kau sendirian di luar sana dengan sepi dan laranya. Aku tidak mampu untuk bersatu dengan kau lagi. Aku tidak tahu berapa lama lagi aku harus terkurung di dalam sini tanpa kepastian yang hakiki. Mungkinkah untuk selamanya .... aku tidak tahu. Aku pasrah jiwa, dengan apa yang ditakdirkan untuk ku. Andai aku tidak bisa bersatu dengan engkau untuk selama-lamanya ... maafkanlah aku kerana aku sendiri tidak mampu berdiri untuk terus berharap. Biarlah kuburku di sini sahaja ditemani dengan bayangan cermin cinta yang mampu menceriakan walaupun tak bisa memiliki ...

Jiwa yang mendengar bermuram durja. Itulah hakikat yang terpaksa dirinya terima kerana dia juga tidak mampu berharap lagi akan ada sinar untuk dirinya. Semuanya kelam, semuanya kabur. Sinar yang semakin meneranginya tidak mampu untuk terus mengekalkan cahayanya walaupun mereka sudah bersedia untuk menghadapi sebarang rintangan mahupun kemungkinan.

Jiwa: Tidak mengapalah hati sekiranya engkau tidak mampu bersatu dengan ku... biarlah aku terus menanti agar yang hadir walaupun tidak sempurna, namun cukup membahagiakan. Itu saja yang aku perlu dalam menghabiskan sisa usiaku yang semakin sampai ke penghujungnya. Aku pergi dulu hati ... Aku dah letih ... Aku dah penat untuk terus berharap. Hanya doa yang mampu menyatukan kita walaupun bukan di saat ini, walaupun bukan di sini. Mungkin kita akan jumpa di alam sebelah sana.

Hati yang mendengar terus mengalun irama syahdu yang datang dari dalam.

Itulah bahasa dari dalam yang tidak semua tahu mahupun mengerti .... Bahasa yang tidak sempurna bicara mereka.

3 comments:

Anonymous said...

There will be a time when you believe everything is finished....That will be the beginning!

Anonymous said...

Jangan tertarik kepada seseorang karena parasnya sebab keelokan paras dapat menyesatkan. Jangan pula tertarik kepada kekayaannya karena kekayaan dapat musnah. Tertariklah kepada seseorang yang dapat membuatmu tersenyum, kerana hanya senyum yang dapat membuat hari-hari yang gelap menjadi cerah. Semoga kamu menemukan orang seperti itu. Ingatlah Dalam hidup, seringkali kita lebih banyak mendapatkan apa yang tidak kita inginkan. Dan ketika kita mendapatkan apa yang kita inginkan, akhirnya kita tahu bahawa apa yang kita inginkan terkadang tidak dapat membuat hidup kita menjadi lebih bahagia.

EBRIZA AMINNUDIN said...

Anonymous,
Thanx and u r rite.

Nur,
Memang betul apa yang Nur katakan tu. Memilih org yang sering membuat kita tersenyum, itu lebih bermakna w/pn dia tidak sempurna dan dapat menerima dirinya seadanya.Terima kasih krn sudi berkongsi pendapat.