Saya bukan hendak mencari kontroversi dengan memaparkan N3 ini tetapi inilah yang saya rasa apabila hasil kerja keras tidak mendapat ganjaran yang setimpalnya. Seperti yang anda sudah maklum, bukan senang hendak menghasilkan sesebuah novel yang memakan masa berbulan lamanya dan ditambah lagi dengan pengorbanan yang harus dilakukan daripada pelbagai sudut tetapi berbaloikah jika penulis sudah memberi yang terbaik kepada penerbit tetapi penerbit itu sendiri .... anda fikirlah sendiri bagaimana rasa apabila usaha keras anda tidak dihargai. Memang benar, sesetengah penulis berkata mereka menulis kerana minat bukan kerana wang tetapi bagaimana pula dengan penulis yang menjadikan penulisan novel sebagai puca pendapatan? Saya sendiri menjadikan penulisan sebagai punca pendapat dan juga disulami dengan minat yang mendalam. Kedua-duanya bergabung menjadi satu untuk penulis itu memotivasikan diri sendiri agar akan lebih menghasilkan novel yang berkualiti tinggi tidak kira apa jua genre.
Kata seseorang, PENERBIT BEKERJA UNTUK PENULIS. Jika benar apa yang dikatakannya, penerbit sudah memperolehi sebahagian besar daripada ganjaran yang dihasilkan oleh penulis tetapi jika penerbit tidak membayar penulis, penulis pula bekerja untuk siapa? Bagi saya dalam konteks ini, tiada siapa bekerja untuk siapa kerana penulis dan penerbit memerlukan diantara satu sama lain untuk menjayakan sesebuah syarikat penerbitan itu sendiri. Jika sesebuah syarikat penerbitan tiada penulis, bagaimana mereka hendak mengaut keuntungan dan mengistiharkan syarikat mereka adalah sebuah syarikat yang gah dan berjaya? Saya pasti keuntungan sudah pasti berada di dalam genggaman sesebuah syarikat penerbitan hasil daripada karya penulis yang bernaung di bawah syarikat itu sendiri, namun tak kanlah hak penulis yang sedikit itu pun tidak mampu dibayar? Penulis juga berhak merasai ganjaran daripada hasil titik peluh mereka juga kan? Jadi, pihak penerbitan haruslah peka kepada masalah yang kami (penulis) hadapi.
Adakah pihak penerbitan tahu bila masa seseorang penulis itu terdesak untuk menggunakan wang yang diharap daripada wang royalti sendiri? Pihak penerbitan tidak tahu, yang menanggung kesakitannya adalah kami sebagai penulis. Saya akui, dalam gaji yang tidak seberapa dan pada waktu yang terdekat ini saya memang memerlukan wang untuk membayar beberapa bil namun harapan tinggal harapan apabila royalti 1 2 tahun lepas pun masih tidak dibayar lagi. Saya ni bukan jenis yang suka minta advance ataupun menelefon beberapa kali agar wang sendiri di langsaikan, namun pihak penerbit janganlah mengambil kesempatan di atas sikap saya yang sebegini. Berpada-padalah. Bayarlah harga kuantiti novel saya setakat yang sudah dijual. Bukannya saya nak meminta lebih. Masalah-masalah sebeginilah yang membuatkan saya hilang kepercayaan kepada pihak penerbitan walau ia segah mana sekalipun. Saya akui, mereka telah menaikkan nama saya namun kadang-kadang sesebuah syarikat penerbitan itu terkenal dengan adanya penulis-penulis yang mampu menghasilkan karya-karya yang bagus. Jadi sama ada pihak penerbit atau penulis, mereka saling bergantungan sesama sendiri.
Dalam menghadapi masalah dengki khianat yang melibatkan keluarga, sekurang-kurangnya kehadiran royalti boleh menggembirakan hati yang gundah tetapi ... penantian royalti menambahkan lagi beban yang sudah tergalas di bahu saya. Mana hendak bayar duit perubatan lagi, ansuran kereta lagi dan beberapa pembayaran yang harus disegerakan. Saya dah buntu di mana hendak mencari wang lagi kalau bukan daripada hasil royalti sendiri.
Dalam pada masa itu, saya menghormati kerana ada pihak penerbitan yang memahami masalah penulis yang bernaung di bawah mereka dan tidak membiarkan kami menunggu begitu lama untuk mendapat royalti sendiri walaupun ia tidak semewah mana. Sekurang-kurangnya wang royalti itu ada daripada tak ada langsung. Kekurangan hidup juga dapat ditampung apa yang perlu didahulukan. 3 bulan sekali kami akan mendapat royalti mampu dibayar oleh mereka berbanding daripada setahun sekali yang tidak mampu dibayar oleh sesetengah syarikat penerbitan. Setengah tahun di tahun 2008 hampir berlalu namun bayang barkat royalti kami masih tidak nampak lagi. Apa dah jadi? Walhal syarikat penerbitan anda masih kukuh berdiri.
Kalau inginkan saya merayu, saya merayu ... tolonglah langsaikan royalti saya yang tertunggak kerana saya benar-benar perlukan wang hasil daripada titik peluh saya sendiri. Saya tidak minta wang hasil daripada titik peluh orang lain tetapi daripada hasil titik peluh saya sendiri. Tolonglah ... TERIMA KASIH kerana sudi meluangkan masa untuk membaca rintihan hati seorang penulis. Bukan semua penulis itu kaya raya. Bukan semua penulis itu senang lenang walaupun mereka boleh dikategorikan sebagai penulis yang berjaya.
Alangkah bagusnya kalau syarikat penerbitan di sini mampu menjadi syarikat penerbitan di barat. Royalti penulis dibayar habis, tiada yang tertunggak membolehkan penulis di sana hidup mewah dan menjadi jutawan dengan hanya menghasilkan karya di rumah. Anda sebagai penulis, tidak cemburukah melihat kejayaan dan kemewahan penulis di barat? Saya akui saya cemburu tetapi penulis kita tetap akan berada di takuk yang lama sekiranya ada sesetengah sikap penerbit seperti ini. Penulis dan penerbit akan berubah sekiranya ada pembaharuan yang dibawa oleh syarikat penerbitan itu sendiri.
Akhir kata, saya mohon maaf sekiranya apa yang saya luahkan bisa menyakiti hati sesetengah syarikat penerbitan. Tetapi sekiranya dibebani dengan pelbagai masalah, satu demi satu ... saya tak mampu untuk menanggungnya lagi. Tolonglah fahami saya. TERIMA KASIH sekali lagi.
Wassalam.