Wednesday, May 7, 2008

ANTI - Penulisnya Atau Karyanya?????

Hmm .. susah jika ingin mengungkap rahsia hati yang sudah lama terpendam. Hmm? Oh tidak .. tidak .. bukan ungkapan rahsia hati mengenai perasaan tetapi adalah bersangkut paut sikit-sikit. Hehehe ... Pandai ye nak perangkap?

Sebenarnya, makin saya mendiamkan diri, makin hati saya bernanah. Saya tidak tahu kenapa kehadiran saya di dalam industri seni penulisan kreatif ini tidak disukai ramai. Ada sesetengah golongan tidak kira sama ada golongan penulis, pembaca mahupun penjual terang-terangan menunjukkan bahawa mereka tidak menyukai saya. Kadang-kadang saya terfikir sendiri, kenapa ia harus terjadi sedangkan saya tidak pernah mengganggu hidup orang, tidak pernah mengacau periuk nasi orang tetapi kenapa mereka ingin memporak perandakan hidup saya. Adakah kerana saya ni suka bergurau terlebih ataupun lancang dalam meluahkan pendapat membuatkan saya tidak disukai orang ataupun kerana mereka mempunyai masalah peribadi dengan saya? Adakah mereka anti kepada saya penulisnya atau novel yang saya karang? Kenapa masalah-masalah sebegini harus wujud? Kalau ada yang tidak puas hati dengan saya, tampil ke hadapan dan berterus-terang dengan saya agar saya boleh memperbaiki ketrampilan diri mengikut kehendak anda walaupun saya terpaksa menjadi orang lain. Namun, memang sukar untuk menjadi orang lain yang bukan diri saya. Jadi, terimalah saya seadanya.

Kenapa kenyataan ini harus wujud? Saya bukan suka2 hendak menimbulkan sebarang kontroversi jika mata ini tidak melihatnya sendiri ataupun telinga ini tidak mendengarnya sendiri. Saya mempunyai banyak mata dan telinga walaupun saya tidak berada ditempat kejadian. Salah seorang daripada sahabat saya yang paling akrab yang juga merupakan seorang penulis telah mengunjungi Pesta Buku (saya tak pasti di mana, yang pasti bukan pesta buku antarabangsa pwtc), hendak membeli novel saya. Penjual kepada penerbitan itu yang sepatutnya mempromosikan novel-novel yang diterbitkan di bawah syarikat penerbitan itu sendiri telah berlaku tidak adil pada sesetengah penulis (mungkin saya bukan penulis kegemarannya), dengan menyuruh pembeli itu (yakni rakan saya) agar tidak membeli novel saya kerana menurutnya novel yang sedang dipegangnya itu bukanlah yang terbaik dan membosankan. Adakah wajar seorang penjual yang telah dibayar gaji oleh pihak penerbitan itu berkata sedemikian? Saya tidak tahu sama ada dia sudah membaca novel yang didakwanya bosan ataupun tidak sehingga dia boleh mengeluarkan kenyataan sebegitu. Sepatutnya dia meningkatkan penjualan kepada penerbitan yang telah membayar gajinya, ini tidak ... penjual sebegini boleh mengurangkan penjualan sesebuah syarikat penerbitan itu. Walaupun novel saya bersifat santai tetapi di dalamnya masih terselit pengajaran yang hendak disampaikan sekiranya anda sebagai seorang pembaca meneliti isi kandungannya. Sekiranya anda membaca novel saya sebagai sebuah cereka maka anda tidak mampu untuk menggali apa yang hendak saya sampaikan. Dalam gembira dan air mata saya telah menyelitkan isi-isi yang hendak disampaikan. Terpulang pada anda untuk menerokainya.

Daripada peristiwa di ataslah saya mendapat tahu bukan sahaja golongan-golongan tertentu memboikot saya malah terdapat lagi golongan yang lain yang turut memboikot hasil karya saya. Apa tujuan mereka dan apa yang mereka dapat hasil daripada apa yang mereka lakukan terhadap saya, saya tidak tahu. Kadang-kadang saya hairan, kenapa mereka ingin menabur pasir di dalam periuk nasi saya. Sehingga sekarang saya masih mencari jawapan yang tidak pernah saya temui.

Namun, saya bersyukur dengan kehadiran golongan seperti anda ini telah menyuntik dan menaikkan semangat saya untuk terus berkarya tanpa menoleh ke belakang lagi. Sekarang ini, saya tidak akan berhenti daripada terus menulis. Setakat mana saya mampu hasilkan novel dalam setahun, itu yang akan saya lakukan. Banyak atau tidak bukan soalnya sekarang. Terima kasih kerana anda telah menggesa saya untuk terus berlari ke hadapan dengan meninggalkan segala kedukaan dan kekecewaan di belakang. Saya doakan agar hidup anda ... anda ... yang memboikot saya ni, dilimpahi rahmat Allah swt dengan penuh kesejahteraan. Semoga hidup anda bahagia selalu.

Setiap penulis mempunyai pengikutnya sendiri dan begitu jualah dengan diri saya yang telah mengumpul pengikut saya sendiri. Untuk mereka yang menggemari novel saya, terima kasih kerana telah menyokong saya sejak daripada novel pertama saya di pasaran. Terima kasih kerana tidak jemu-jemu menjadi tulang belakang saya walaupun ada ketikanya saya hampir tersungkur jatuh daripada bidang ini.

Untuk mereka yang tidak menyukai saya, terpulang kepada anda untuk menilainya sendiri kerana saya tidak tahu apa sebab musababnya. Satu peringatan, sekiranya saya sudah mengorak langkah dalam bidang yang sememangnya menjadi kegilaan saya ini, saya tidak akan menoleh ke belakang lagi malah saya akan mencari peluang untuk terus maju ke hadapan dan berlari ke puncak jaya. Tiada siapa mampu menghalang saya sekiranya Allah tidak mengizinkan anda untuk berbuat begitu. Hidup orang-orang yang teraniaya pasti akan terbela. Insya-Allah.

Kini terbukti dunia penulisan tidaklah seindah seperti yang anda bayangkan selama ini. Kepada bakal penulis dan penulis baru, anda harus bersedia menghadapi pelbagai kerenah manusia sejagat kerana pasti akan ada yang menyokong anda mahupun untuk menjatuhkan anda walaupun anda tidak mengganggu hidup orang. Belajar melalui pengalaman, itu yang sedang saya tempuhi sekarang.

Assalammualaikum dan salam sejahtera.

11 comments:

fadxiora said...

Diharap kak abby bersabar ye... perkara ni seakan sama dengan keadaan saya sekarang ni. Tapi kita nak wat cam ne lagi, manusia ni kalau dah benci seseiorang diorang akan benci sehingga mati. Tak gune kita nak bertentang mata n berbincang dengan diorang coz diorang mesti mempertahankan pendapat diorang sendiri.
Apa yang saya nak tulis disini, walaupun saya baru saja kenal kak abby, walau betapa lancangnya mulut kak abby... saya tetap tabik hormat dengan kak abby.
Bagi saya orang yg bermulut lancang ni selalu bercakap benar. Kalau dia kata tak suka, mesti tak suka... seperti saya ;D

John Norafizan said...

Pada saya, sekurang-kurangnya pon, promoter tu kena tanya apa minat orang yang nak beli, kalau dia cakap cuma minta novel sastera/berat/thriller sahaja, maka promoter tu kena beritahu yang buku yang hendak dibelinya bukan kategori tu TAPI taklah terus cakap "jangan beli buku ni!" Itu adalah sikap yang tak beretika.

Seperti di pesta buku hari tu, saya tengok promoter di JS pandai bertanya buku apa yang disukai oleh pembaca, kalau santai - dia tunjuk buku ni- kalau pembeli nak yang berat dia tunjuk buku tu.

Jadi tidak ada terus komen cakap jangan beli buku ni sebab tak sedap.

Ebby, teruskan artikel-artikel sebegini agar membuka mata banyak pihak.

You have me as support and friend, dun wori :)

Ebriza Aminnudin said...

Fadxiora,
akak akan bercakap lantang jika ada yang tak memuaskan hati akak bukan bermaksud utk mengaibkan orang macam yang akak kena. It's ok Allah sedang menguji akak. TQ kerana menyokong akak.

JN,
Thanx for be my friends and supporter. Itu yang saya hairan dan terkejut kenapa mereka anti saya sampai begini sekali. memang tidak beretika promoter tu. agaknya pihak penerbitan tu dah salah menggaji promoter. Saya cuma terkilan sekiranya ada sebilangan org sebegini.tak pe lah ... asalkan mereka bahagia.

Pu3ImaneisyƆ said...

Well! terkedu aku rasa... dalam kesihatan yang tidak memberangsang, aku tetap merasakan kesakitan seorang sahabat yang ku anggap guru dan penyuntik semangat hingga aku berada di sini. Aku nak pinjam kata-kata ini "Semua orang boleh menulis, tapi bukan semua mampu menjadi seorang PENULIS". Cuba renungkan… cuba halusi…. Bukan mudah untuk menghasilkan sesuatu karya, tidak kiralah ianya top, kurang atau tidak… tapi aku tetap percaya setiap karya yang dihasilkan oleh seseorang itu tentu punya kekuatan dan keistimewaan tersendiri… dan aku juga yakin tak satu pun daripada penulis dapat memberikan kepuasan kepada semua pembaca… samada dia seorang penulis@novelist yang dah punya nama atau penulis baru yang sedang bertatih.. Jadi, buat insan-insan yang suka membiarkan diri dikuasai oleh anasir yang tidak sihat seperti dengki, busuk hati, cemburu, khianat dan segala yang sewaktu dengannya ingatlah dan fikir-fikir kan lah, penerbit, penulis, promoter dan pembaca saling perlu memerlukan. Tiap dari satu elemen tersebut punya peranan tersendiri dalam memartabatkan bidang penulisan tanahair. Walaupun sungguh sesebuah karya itu tidak menepati selera sesetengah pihak, tapi jangan lupa pembaca punya hak untuk menentukan… pembaca juga punya hak untuk membuat pilihan dan yang lebih penting tak semestinya karya yang dianggap cantik, elok, bagus dan mantap oleh segelintir diperakui oleh semua orang. Tiap dari kita punya selera dan citarasa yang berlainan…. Lantaran itulah wujudnya keperbagaian plot dalam tiap karya yang diterbitkan. Lagi pun kalau betul sesebuah karya itu membosan dan menjemukan… mengapa pihak penerbitan bersetuju untuk menanggung risiko menerbitkannya… Dah kaya sangatkah… Jadi jaga mulut dan gunakan otak sebelum membuat sebarang komen terhadap hasil usaha orang lain… Tak salah memberi pendapat, tapi bukan pendapat yang boleh menjahanamkan jerit payah yang tidak dirasa…..

Untuk honey... don't give up.... keep a good job... You still have your friends and fan out there yang tahu bagaimana nak menghargai dan menikmati apa yang hang hidangkan. Ingat, seorang tak suka dengan apa yang hang buat, allah akan gandakan rezeki hang dengan ilham yang lebih mantap. Contohnya NOVEL HANG HD DAH JADI BEST SELLER FOR THE YEAR... itu satu kebanggaan dan bukti walaupun hang tidak bernaung dibawah publisher yang gah, tapi novel yang hang hasilkan lebih mantap dan baik dari penulis yang bernaung di bawah publisher yang gah.... kami sentiasa akan berada di samping hang walau dalam apa jua keadaan... biarlah orang tak suka hang, dengki pada hang.... asalkan allah tetap suka dan beri hang ilham untuk menghasilkan sesuatu yang lebih baik buat tatapan kami semua.... Proved it honey... Your telent was there....I trust on you..... biarkan mereka mengata.. jadikan semua itu jambatan untuk hang mencapai kejayaan agar satu hari nanti mereka akan sedar dan termalu hingga terpaksa mengunyah kata-kata yang pernah mereka lemparkan pada hang satu ketika dulu..... remember that... I be here with you always.....

Ebriza Aminnudin said...

pu3,
TQ for everythings. semangat yang hang kalungkan begitu menyentuh hati aku. terima kasih kerana ada di sini untukku.

dEW! said...

Salam, t.kasih abby kerana sudi berkongsi dengan kami semua!

Ebriza Aminnudin said...

Kak Dewi,
saya hanya meluahkan apa yang saya lihat, dengar dan rasa. Bukannya untuk mengaibkan sesiapa.

dEW! said...

hemm.. apa nak buat?! klau nk fikir perasaan dorg je, nasib kita camner pulak? sape nk bela? sape nk tanggung? kita jugak, kan!

kata org, alang2 menyeluk pekasam biar sampai ke hujung lengan!

Ebriza Aminnudin said...

kak dewi,
hehe ... itu yang saya lakukan sekarang. kalau penulis tidak bersuara, siapa lagi yang akan bersuara utk kita. Ya kan?

Nazurah Aishah said...

dalam dunia yang kecil ini kenapa ada manusia yang tamak, dengki dan iri?

tak bolehkah kita berbuat baik pada semua orang dan berkongsi rasa biarpun tak menepati selera masing-masing? kenapa manusia mesti menjatuhkan manusia lain? tak bolehkah manusia bersaing dengan sihat?

abby, rezeki kita hak Tuhan, Dia yang maha berhak menentukan ia milik siapa. dunia ni bulat, manusia yg iri dan dengki itu nanti akan mendapat bahagiannya juga...

bersabarlah...kemenangan akan tiba jua...

Love,
Naz

Ebriza Aminnudin said...

Nazurah,
Itulah yang dinamakan manusia. Pelbagai ragam dan rencah yang disatukan utk menjadi dia seorang manusia yang bagaimana. Unikkan ciptaan allah walaupun kadang2 bisa mengguriskan hati kita.

Hanya itu yang saya ada utk terus gah di sini. Insya_Allah.