Monday, May 19, 2008

REVIEW: Ungkapan Rahsia Hati - Puteri Imaneisya

Tegakah membiarkan rasa hati terpendam begitu sahaja tanpa mahu meluahkannya. Bahagiakah jika rasa itu terus bersemadi di ufuk kamar jiwa tanpa diketahui oleh dia yang disayangi? Bagaimana pula sekiranya Ungkapan Rahsia Hati diluahkan namun tidak seperti yang diharapkan? Pasti kecewa bersorak riang, terluka bertepuk tangan dan cinta yang abadi akan terus merana dalam dakapan rindu yang tidak bertepian. Namun, jika ingin mengetahui sebuah kebenaran, risiko untuk TERLUKA harus diambil agar hati tidak dicarik dan dihiris sembilu lagi.

NURUL IZZAH
- Seorang yang tabah dalam mengharungi liku-liku kehidupan walaupun hatinya dihiris dan disiat-siat oleh insan-insan bernama LELAKI yang disayanginya. Namun, dia tega menerima apa yang dipersembahkan untuknya dan mempercayai semua itu dugaan yang hanya menguji dirinya dan pasti kebahagiaan akan bertamu jua selepas begitu banyak dugaan telah ditempuhi. Dia tidak pernah merungut walaupun hatinya dilukai berkali-kali malah mampu mendoakan kebahagiaan orang yang telah melukai hatinya itu. Satu sikap yang terpuji yang harus dicontohi oleh semua insan yang masih bernyawa di muka bumi ini. Namun, adakah anda setabah Nurul Izzah sekiranya dugaan yang sama diturunkan kepada anda?

SHAIFUL ZAHARI
- Seorang yang penyayang. Terlalu takut insan yang disayangi terluka sehingga sanggup mengambil risiko walaupun tindakannya itu akan mengundang salah faham pada dia yang teramat dicintai. Begitulah yang telah Ayie lakukan pada Nurul Izzah. Namun, saya suka caranya menambat kembali hati Nurul Izzah walaupun gadis itu agak keras untuk menerima kembali insan yang pernah disayanginya semasa di alam persekolahan lagi. Sekurang-kurangnya Ayie telah menebus segala kekhilafannya sejak lima tahun yang lalu.

SHAIFUL IKHMAL
- Seorang yang lincah. Happy go lucky. Kelakar dan sedikit loyar buruk. Memang jejaka idaman hati gadis malaya tapi yang kurengnya pada jejaka ini ialah sikapnya yang tidak menentu macam angin taufan membuatkan saya kurang menggemarinya. Sakit hati pun ada. Iyelah ... suka-suka hati, dia layan si Nurul Izzah, suka-suka hati dia biarkan Nurul Izzah dalam dilema sehingga rindu sarat bertamu di pinggir jiwa gadis itu. Suka-suka hati dia bersikap romantik dan suka-suka hati dia menyepi tanpa khabar dan berita. Ada ke patut. Memang saya geram. Kalau dah tak suka, berterus-terang saja, jangan biarkan dia terus menunggu sesuatu yang tak pasti. Kalau anggap sebagai sahabat juga harus berterus-terang, jangan bagi harapan yang menggunung tinggi sekiranya harapan itu tidak mampu ditunaikan. Jangan jadikan seseorang itu sebagai tayar ganti. Jika tidak ditemui yang sesuai di hati maka gadis itu yang akan menjadi pilihan. Tak elok tau. Fikirkan juga sekiranya pembalasan ini terjadi kepada anak anda, kakak anda, adik anda ataupun sepupu-sepupu yang anda sayang. Bagaimana? Renung-renungkanlah.

Dari Minda Ku :
Kekuatan :
- Kekuatan cerita ini adalah daripada segi jalinan perasaan yang melingkari perjalanan ceritanya amat berkesan di dalam hati saya kerana sepanjang saya membaca URH ini, ia seolah-olah sedang bermain dengan emosi kita. Cukup cantik jalinan emosi yang dihasilkan oleh penulis ini walaupun ia karya pertama beliau. Syabas.
- Terselit bahasa-bahasa asing seperti Arab dan Indonesia. Walaupun bahasa Indonesia sudah biasa di pendengaran telinga kita namun bahasa arab yang diselitkan memang menarik. Bukannya saya hendak mengagung-agungkan bahasa asing dan mengabaikan Bahasa Melayu tetapi sekurang-kurangnya dengan adanya bahasa asing ini kita boleh mempelajari sesuatu yang baru. Syabas lagi.

Kelemahan :
- Walaupun ia mempunyai kekuatan yang mampu mengacah perasaan anda namun novel ini juga tidak terlepas daripada kelemahannya yang telah dikesan semasa saya membacanya. Ini hanya pendapat saya tetapi saya tidak tahu pendapat orang lain kerana saya pernah menghasil novel sebegini namun ia mendapat kritikan hebat. Hehehe ... walaupun demikian, saya mempelajari daripada kesilapan untuk membetulkan apa-apa yang patut agar ia boleh menambat hati pembaca yang mengikuti perkembangan novel saya. Laa .. melalut pulak dah. Okey, inilah kelemahan yang saya temui, Permulaan cerita agak meleret, begitu jua dengan dialog-dialognya. Agaknya penulis mengutarakan apa yang tersirat di dalam hatinya dan sekiranya ia datang daripada luahan hati, memang beginilah hasilnya. (Saya pernah buat sebab tu saya tahu. Hehehe ... jangan marah haa. Novel saya yang mana satu? Hehehe ... kan ada 10 buah novel dah diterbit, carilah sendiri dan salah dua daripadanya adalah apa yang anda cari. :D).
- Kadang-kadang orang tidak gemar dialog terlalu bersastera dan panjang, namun ia masih tidak tersasar daripada isi yang hendak disampaikan. Mungkin penulis boleh memperbaiki kelancaranya pertuturan dialog. Biarkan ia mudah tidak mengapa. Namun ia masih mampu menjadi sebuah karya yang baik.

Pengajaran :
- Jangan terlalu memendam perasaan kerana ia akan memakan diri sendiri. Luahkan ia sekurang-kurangnya ia tidak akan menjadi barah di dalam akibat terlalu memendam perasaan.
- Jangan terlalu menguji sehingga akhirnya menimbulkan sikap putus asa untuk terus menanti dalam penantian yang tidak pasti. Kesabaran seseorang ada hadnya dan apabila kesabaran itu melangkaui had yang telah ditetapkan, maka bom atom akan meletup dan sesuatu yang tidak anda jangka akan berlaku. Fikirlah sendiri.
- Jangan menyesali apa yang telah diturunkan kepada anda, sebaliknya harungilah ia sebaik mungkin walaupun hanya sekejap, saya pasti akan ada rahmat dan bahagia yang menanti disebaliknya.
- Hmm ... jangan sedekahkan ubat-ubat anda di dalam tong sampah yang tidak mengerti akan penderitaan yang anda alami kerana kita hanya berusaha untuk memulihkan kesihatan walaupun kita tahu ia tidak akan ada penghujungnya. Sekurang-kurangnya, penderitaan dalam menghadapi kesakitan akan berkurangan. Redha dengan ujianNya.

Akhir kata, UNGKAPAN RAHSIA HATI adalah percubaan terbaik daripada Puteri Imaneisya walaupun mempunyai kelemahan. Namun, saya yakin dengan bakat terbesar anugerah Allah swt kepada dirinya, dia akan terus melangkah tanpa menoleh ke belakang dengan menjadikan kritikan anda pada hari ini sebagai sandaran untuk dirinya mencapai KEJAYAAN di masa akan datang. Teruskan perjuanganmu dan jangan sesekali patah semangat dalam mengharungi dunia penulisan yang tidak seindah biasa. Caiyukk!!

No comments: