Friday, March 14, 2008

Keistimewaan Diriku ...


Sekali pandang pada tajuk ini seperti saya memuji diri sendiri tetapi apa yang ingin saya coretkan di sini adalah kenyataan yang hakiki.

Sekali lagi soalan dan pertanyaan bagaimana saya menghasilkan karya dengan begitu cepat sedangkan orang lain amat payah untuk menghasil 2 3 karya dalam masa setahun tapi saya ... Bukankah setiap manusia di muka bumi Allah ini dikurniakan keistimewaan yang tersendiri mengikut kemampuan diri sendiri dan inilah satu-satunya keistimewaan yang saya miliki hasil kurniaan-Nya.

Kata rakan-rakan yang sering saya berikan kata semangat untuk berjinak-jinak dalam industri ini, begitu payah untuk menggali idea walaupun sudah lama berdepan dengan PC. Kadang-kadang idea ada tapi tidak tahu bagaimana hendak mencurahkan ke atas PC. Bagaimana pula saya mendapat idea dan mencurahkannya terus ke dalam PC dengan begitu cepat dan mampu menyiapkan 1 - 2 bab dalam masa sehari.

Sebenarnya untuk menerangkan satu persatu amat payah bagi saya kerana saya sendiri tidak tahu bagaimana caranya hendak menerangkan kepada anda yang bertanya. Apa yang saya buat adalah:

1. Setkan berapa bab untuk menyiapkan keseluruhan novel yang ingin anda karang. Memandangkan pembaca sekarang sudah demand hendakkan novel yang tebal tetapi dalam harga yang murah, apa yang perlu anda lakukan adalah cuba kira berapa puluh bab yang mampu anda buat dengan muka surat 450m/s ke atas. Bagi saya, saya akan setkan 60 bab dengan 8 m/s setiap bab. Itu anggaran sebelum saya tumpahkan idea ke dalam PC.

2. Kemudian, baru saya lakarkan catatan ke dalamnya bagaimana cara cerita itu bermula dan bermula dan berakhir sehingga selesai 60 bab. Kalau takut dialog yang telah anda fikirkan tu hilang, coretkan sekali ketika membuat nota. Saya suka membuat nota sambil melihat televisyen ataupun mendengar radio kerana daripada iklan tv, radio mahupun celoteh para penyampainya kadang-kadang boleh mendatangkan ilham untuk mecantikkan lagi persembahan idea kita.


3. Sebaik sahaja selepas tamat membuat nota, barulah saya akan kembangkan jalan ceritanya bab by bab terus ke dalam PC. Salah satu keistimewaan yang saya miliki, sebaik sahaja mata saya tertancap di skrin PC terus sahaja idea mengalir tanpa berhenti sehingga selesai satu bab dengan 8m/s ataupun lebih. (Lebih tak apa jangan kurang.). Bagaimana idea itu datang, saya tak boleh hendak terangkan kerana ia datang begitu saja. Dengan nota yang telah dicatatkan saya tidak akan tersimpang jauh untuk menyelesaikan keseluruhannya. Dahulu saya tidak pernah buat nota, pakat hentam kromo saja buat novel dan hasilnya tidak memuaskan. Itu komen daripada pembaca saya, yang diemailkan kepada saya tetapi sejak novel Hanya Dikau saya sudah mula membuat nota sebab tidak mahu situasinya menjadi tidak logik dan Alhamdulillah saya berjaya. Ramai yang puas hati dengan novel ini walaupun ada segelintir manusia yang tidak senang denga kehadirannya. Itu terpulang pada diri masing-masing sama ada hendak menyukainya ataupun tidak kerana saya tidak akan berhenti daripada mengarang selagi saya tidak kekeringan idea. Sama ada santai atau berat saya akan meneruskan perjuangan yang belum selesai ini. Ish ... apa tersasar jauh ni. Okey, yang paling penting adalah nota agar keseluruhan cerita itu menjadi logik.

4. Idea terhenti di pertengahan jalan itu adalah lumrah bagi mereka yang begelar penulis. Apa yang saya lakukan sekiranya ini terjadi? Jawapannya mudah dan simple, hentam kromo dulu ler. Mungkin sedikit tunggang langgang tapi yang penting bab itu siap kerana saya tak biasa melangkau bab untuk menyudahkan cerita saya dan bukan stail saya. Sebaik sahaja habis kesemuanya, barulah saya akan edit balik bab-bab yang mana saya hentam kromo semasa mengarangnya. Ketika inilah saya akan melunakkan ayat-ayat yang tidak lunak. Hehehe ... Kadang-kadang meleret juga dan apabila hantar ke penerbitan sudah menjadi tanggungjawab editor pula untuk melunakkan ayat-ayat yang meleret. Tak gitu para editor tersohor.

5. Apa yang akan saya lakukan sekiranya MALAS datang menjengah. Mudah, Tutup PC tidur. Hehehe ... tak adalah. Sekiranya ini berlaku, saya akan memaksa diri saya dengan pelbagai kata-kata motivasi untuk mengajak diri, akal, mata, idea semuanya bersatu hati bagi menyiapkan karya yang sedang dikarang. Itu cara saya.

6. Percaya atau tidak semasa anda sedang menyiapkan sesebuah novel anda, pasti akan ada halangan yang datang menimpa. Sampai ke bab ini anda harus tabah menghadapinya dan motivasi diri amat penting untuk menghabiskan apa yang sudah dimulakan.

7. Backup. Haa ... ini satu lagi yang perlu anda lakukan ketika sedang mengarang. Sudah banyak kali saya mendengar aduan karya hilang kerana apa? Kerana anda tidak membuat backup. Saya cukup takut sekiranya novel yang sedang saya karang sudah sampai ke penghujungnya tiba-tiba sahaja ia hilang atau corrupt begitu saja. Ya Ampun ... macam nak nangis pun ada kalau ini terjadi. Sakit kepala sakit hati semuanya bersatu menjadikan diri tidak keruan. Apatah lagi kalau penerbit sudah mengejar anda agar disiapkan secepat yang mungkin. Apa yang saya lakukan untuk mengelak daripada masalah ini terjadi ialah saya akanbuat backup sekurang-kurang dalam dua disket, satu pendrive dan selebih akan dihantar ke email supaya usaha saya yang memakan berbulan-bulan tidak akan menjadi sia-sia begitu sahaja. Jadi, ambil ini sebagai sesuatu yang serius dan bukannya sambil lewa.

Hmm rasanya itu sahaja kot yang mampu saya terangkan kepada anda yang bertanya. Mudah-mudahan kalau anda rasa cara saya berkesan kepada anda, ikutlah tapi kalau dah cuba namun tak berkesan, jangan ikut. Mahu pecah kepala dibuatnya. Ikut pada kemampuan masing-masing. Seandainya ditakdirkan saya tidak bekerja suatu hari nanti, inilah kerja yang akan saya lakukan. Sayang kalau bakat yang dikurniakan bukan pada semua orang dipersiakan begitu sahaja.

Kini, saya lebih matang meniti arus dunia penulisan yang indah dan juga perit. Daaa ...

2 comments:

dS said...

Terima kasih, abby! Entri yang padat n berguna kepada semua penulis. Semoga usaha abby ini mendapat kerahmatan Allah hendaknya.. Amiiin!

EBRIZA AMINNUDIN said...

Terima kasih kak DS, mudah-mudahan saya tak ketandusan idea. Yang baik ambik utk praktikkan.