Friday, May 30, 2008

Bersatu Dengan Novel


Assalammualaikum dan salam sejahtera buat semua pengunjung blog Ruang Rindu. Memang rindu betul saya pada korang semua.

N3 kali ini saya ingin membicarakan tentang Pembacaan Novel bagi diri saya sendiri. Saya sekiranya membaca sesebuah novel itu tidak seperti orang lain yang mampu menghabiskannya salam masa 4-5 jam kerana saya memang tak reti nak baca sesebuah novel itu cepat-cepat. Saya akan mengambil masa yang lama untuk menghabiskan sesebuah novel itu sekurang-kurangnya dalam masa 2-3 minggu (sekiranya tidak sibuk) dan yang paling lama pun 1-2 bulan (Sekiranya terlalu sibuk tahap impak maksima).

Lamanya ... (Dah agak dah pasti soalan ini yang akan ditanya). Memang lama kerana saya sekiranya membaca sesebuah novel itu, saya akan bersatu dengan novel itu dalam menghayati watak dan perwatakannya, situasi dan mendalami penceritaan yang dipersembahkan. Tidak kiralah sama ada novel itu best atau pun bosan. Saya akan membacanya sehingga habis dan sebab itulah saya mengambil masa yang lama untuk menghabiskannya.

Sekiranya saya membaca cepat-cepat hasilnya tidak memuaskan hati kerana saya tidak dapat menghayati intipati cerita itu sendiri. Entahlah ... memang begitu saya membaca novel. Kalau buat novel memang cepat saja saya menghabiskannya. Hehehe ... tapi masa nak mengedit tu lah ... agak panjang sikit sama seperti membaca novel dalam 2-3 minggu (3-4 kali pembacaan semula sampai hendak muntah hijau ungu dibuatnya). Begitulah saya dan novel-novel yang sedang dibaca. Sekarang ini tengah baca Ayat-Ayat Cinta, JN yang baca sekali dengan saya sudahpun mengkhatamkannya tetapi saya masih belum habis lagi. Apa nak buat ... lain orang lain caranya. Kan?

Banyak lagi stok novel yang belum habis dibaca termasuk stok yang diborong semasa pesta buku tahun 2007 dan juga 2008. Ini pun ada hati lagi nak menambah stok. Hehehe ... Tapi kalau tak menambah stok, habis kang novel idaman kalbu tu terasa rugi pulak. Baik menambah stok daripada putih mata. Kan?

Okeylah ... minta diri dulu yaa ... haa? Diri siapa? Diri sendiri laaa ... Nak meletakkan mata pena dulu sebab nak menghabiskan kerja EDN yang masih tinggal 14 buah tajuk besar. Lepas tu ... bravoo ... tanggungjawab yang digalas sudah habis saya laksanakan. Alhamdulillah. Daaa ...

Wednesday, May 28, 2008

IKLAN NOVEL-NOVEL TERBITAN FAJAR PAKEER

Assalammualaikum dan salam sejahtera. Haa ... inilah iklan daripada Fajar Pakeer. Sekarang FP ni dah vavva vooo .... bangganya saya bernaung dibawahnya. Nantikan novel lucu, gumbira + air mata yang terbaru daripada saya. Sama ada lambat atau cepat ia tetap akan diterbitkan. Selamat membaca semua ... Semoga terhibur ... tiada kepit bahasa namun tetap mengekalkan gaya santai dan basah.

Sunday, May 25, 2008

Setelah 10 buah Novel


SIRI CINTA WANITA ANDARTU BERTEMU ANAK MUDA

Dalam Hanya Dikau masih lagi novel percubaan yang menggunakan bahasa santai + basah 100%. Saya sudah letih mengepit bahasa dan untuk novel Hanya Dikau saya melepaskan bahasa yang diingini oleh hati saya 100% yang merupakan garapan daripada jiwa saya dan ternyata ia benar-benar menjadi walaupun menggunakan nama yang panjang dan agak sukar disebut. Panjang-panjang pun sedap juga disebut. Hehehe ... walaupun sifat Ira Fashua kebudak-budakan namun itulah perwatakan realiti yang saya lihat daripada mata saya sendiri sehingga saya terpikat untuk menggarapkan wataknya dalam novel ini. Percubaan kali ini ternyata benar-benar menjadi dan ia merupakan novel pertama saya yang terlaris dalam meniti tangga yang bergelar penulis. Syukur Alhamdulillah. Dulu masa permulaan garapan saya, Novel siri remaja Dambaan Pilu merupakan novel santai + basah dan kini saya mengulangi kejayaan yang sama dalam novel Hanya Dikau dan gaya santai + basah versi dewasa. Namun ia bukan mengulangi tema Kuch-Kuch Hota Hai walaupun ia masih versi ala-ala cerita hindi. Hehehe ... Ada pembaca novel Hanya Dikau ini meminta saya mengekalkan cara penyampaian sebegini. Insya-Allah akan saya tunaikan kerana saya sudah menemui keserasian dalam pelbagai percubaan saya. Walaupun cara penyampaian mungkin serupa namun pengakhirannya tidak akan menyerupai novel ini sama sekali. Pengakhiran yang lain juga akan menjadi percubaan saya dalam novel akan datang.

Hanya Dikau akan menemukan anda dengan Ira Fashua dan Erze Zullis. Peristiwa Ira Fashua terpijak kaki Erze Zullis dengan kasut tumit tinggi halus membuatkan pemuda itu menaruh dendam kerana Ira Fashua tidak meminta maaf sesudah terpijak kakinya seakan-akan ingin tertembus isi kakinya. Pertemuan demi pertemuan dengan Erze Zullis membuatkan Ira Fashua sakit dengan setiap balasan yang harus diterima daripada pemuda itu akibat kemaafan yang tidak pernah diucap. Namun dalam diam Erze Zullis menaruh hati kepada Ira Fashua yang boleh bergelar kakak kepadanya. Kehadiran Xu Da Feng membuka pintu hati Ira Fashua yang masih berbekas kesakitan yang ditinggalkan oleh bekas tunangnya, Rozlan. Mampukah Erze Zullis merebut kasih Ira Fashua daripada Xu Da Feng? Jawapannya hanya dalam HANYA DIKAU.


SIRI CINTA REMAJA + DEWASA

Kau Yang Tak Mengerti anda sendiri sudah maklum akan bagaimana sambutannya. Salah diri sendiri kerana mencampurkan kedua-dua elemen ini, mungkin juga kerana sifat ingin mencuba yang tidak pernah luntur daripada jiwa saya membuatkan novel ini terhasil. Konon-kononnya ingin membuat pembaharuan namun akhirnya saya terpaksa akur ia tidak menjadi seperti yang diharapkan. Apabila disuruh remaja membaca novel ini, mereka akan katakan part remaja memang menghiburkan namun apabila masuk ke part dewasa ia sudah agak bosan bagi mereka. Begitu juga jika ditanya pada mereka yang dewasa, jawapan yang kontra daripada remaja saya perolehi. Mereka inginkan part dewasa sepenuhnya dan bukannya part remaja yang memotong mood mereka sebagai pembaca. Saya sepatutnya mengasingkan kedua-dua elemen ini namun ia sudah diterbitkan dan saya terpaksa akur dengan penerimaan pembaca saya. Saya juga mendapat pengajaran dan pelajaran agar di lain waktu jangan menghasilkan novel yang mencampur dua elemen serta tidak membuat kajian terhadap perkara-perkara kecil yang telah menjadi isu besar. Terima kasih kepada yang menerima dan juga kepada yang menegur.

Kau Yang Tak Mengerti mengisahkan Eleanur Aqilla terpaksa memenuhi permintaan ibunya untuk berkahwin dengan pilihan ibunya pemuda yang berasal daripada Pakistan yang bernama Afroz Mazher. Ternyata hidup Eleanur Aqilla tidak seindah yang dirasakan oleh pasangan suami isteri yang lain apabila Afroz Mazher berlaku kejam terhadap dirinya. Dia juga menyumpah Hazral yang merupakan cintanya semasa di universiti kerana tidak mampu untuk mempertahankan cinta mereka sehingga dia terjebak dalam perkahwinan paksa dan pilihan keluarga. Bagaimanakah kehidupan Eleanur Aqilla di samping Afroz Mazher yang kejam itu dan masih adakah kebahagiaan untuk dirinya? Temui jawapannya di dalam KYTM.




SIRI CINTA SEJATI

Dialah Di Hati juga merupakan novel percubaan yang menggunakan kata ganti diri ‘Aku’ yang seterusnya dan yang terakhir daripada saya. Novel ini saya sendiri tidak tahu bagaimana hendak megekspresikannya kerana tidak ramai yang tahu akan kewujudannya dan tidak ramai yang memilikinya. Saya tidak tahu di mana silapnya. Adakah daripada segi promosi ataupun pengedarnya. Namun, ada juga yang telah memilikinya dan menyukainya.

Dialah Di Hati mengisahkan Rina Erviana yang setia menanti kepulangan kekasih hatinya Yafiz di mana kisah cinta mereka bermula di kolej Teknologi Pulau, Balik Pulau, Pulau Pinang. Hati batu Riana Erviana berjaya dileburkan oleh Yafiz namun pemergian Yafiz demi membuktikan pada keluarga akan bidang yang ingin diceburinya membuatkan cinta mereka terputus di pertangahan jalan. Yafiz menyarankan kepada Rina Erviana agar jangan menunggunya dan sekiranya gadis itu menemui pemuda yang mampu membahagiakannya, maka dia akan melepaskan Rina Erviana dengan senang hati. Namun cinta sejati Rina Erviana yang masih lagi kuat untuk Yafiz membuatkan dia menolak kehadiran cinta daripada Dato Zeffri, Ash’rizal yang merupakan cinta pertamanya yang kecundang membuatkan dia berubah perwatakan, Izzudin dan juga Tengku Irfan. Berjayakan Rina Erviana merealisasikan cinta sejatinya terhadap Yafiz atau dia hanya menerima sahaja cinta yang hadir untuk dirinya?




SIRI CINTA MEMBALAS DENDAM

Dalam novel Aku Cinta Kamu merupakan novel cinta yang menuntut rasa membalas dendam apabila cinta yang suci dihina dengan begitu molek sekali. Novel ini juga merupakan novel percubaan dan salah satu sebagai genre koleksi peribadi yang seterusnya. Ada yang menyatakan penyampaiannya kurang bagus walaupun isi ceritanya bagus. Mungkin saya menggarapkan monolog Marsya Qistina yang ingin membalas dendam terlalu panjang membuatkan kelancaran persembahannya agak kurang. Terima kasih kepada yang sudi menegur. Saya memang suka mencuba sesuatu yang baru sehingga menemukan keserasian. Mungkin juga saya mengepit bahasa yang digunakan membuatkan ia terhasil bukan dengan sepenuh jiwa walaupun ada situasi-situasi yang kelakar. Seperti biasa, lain orang lain citarasanya apabila ada juga yang menggemari cerita ini. Sengaja saya menghasilkan gaya persembahan sebegini untuk menguji minat pembaca di pasaran. Namun, setelah mendapat teguran saya semakin matang untuk memperbaiki cara persembahan saya.

Aku Cinta Kamu akan menemukan anda dengan Marsya Qistina yang ingin membalas dendam terhadap Ezral dan Zairil dimana kedua-dua jejaka ini telah membuatkan cinta suci Marsya Qistina seperti tidak berharga. Marsya Qistina ingin mengajar kedua-dua pemuda ini yang menganggap cinta senang datang dan senang pergi agar lebih menghargai cinta yang suci. Marsya Qistina seorang gadis yang lurus bendul dan poyo telah menukarkan penampilan dirinya sebelum berjaya menempatkan dirinya dibawah satu bumbung dengan Ezral dan Zairil yang bekerja di dalam sebuah syarikat TV yang terkenal. Mereka tidak mengenali Marsya Qistina apabila gadis itu berjaya mengelak diri daripada ditemui oleh kedua-duanya membuatkan kedua-dua mereka pening dalam mencari identiti Qisteen. Berjayakah Marsya Qistina mengubah kedua-dua pemuda buaya tembaga ini? Jawapannya hanya dalam ACK.




















SIRI CINTA + PENYIASATAN

Siri Cinta + Penyiasatan ini juga merupakan percubaan pertama saya dalam novel Di Kala Cinta Terdetik + Hati Ini Milik Siapa. Kedua-duanya merupakan novel sambungan walaupun ia diterbitkan oleh dua syarikat penerbitan yang berlainan. Ribut dan Badai dalam mengharungi dunia penulisan membuatkan ia diterbitkan oleh 2 syarikat yang berlainan. Novel genre ini juga merupakan sebahagian lagi sebagai koleksi peribadi saya. Dalam novel ini saya menggunakan pendekatan kata ganti diri pertama iaitu ‘Aku’ sebagai watak utamanya. Banyak monolog dalaman sebagai peneraju cerita. Adatlah kalau menggunakan monolog dalaman ada yang menganggapnya bosan kerana cerita tidak berkembang dari satu watak ke satu watak. Namun, percubaan ini walaupun kurang mendapat sambutan tetapi ia masih digemari oleh segolongan dan segelintir pembaca yang mengikuti perkembangan novel saya. Ada yang menyatakan percubaan yang bagus dan ada yang mengatakan tidak. Namun, tidak salahkan kalau saya mencuba sekadar mempelbagaikan genre dalam hidangan novel terbaru saya. Sekiranya saya tidak mencuba, saya tidak akan tahu sama ada ia mendapat tempat di hati pembaca saya ataupun tidak. Setelah mencuba dan mendapat pelbagai teguran, saya sudah tahu genre yang bagaimana diminati oleh para pembaca di luar sana. Terima kasih kepada semua.

Siri Cinta Terpendam + Penyiasatan menemukan Ezmira + Hezriq + Danish + Jimmy Shanley. Hezriq merupakan cinta pertama Ezmira sekaligus merangkumi cinta terpendamnya namun Ezmira sukar untuk meluahkannya kepada Hezriq kerana dia masih berpegang kepada adat dan pepatah lama iaitu jangan sesekali Perigi Mencari Timba. Akibat daripada itu, Ezmira hanya mengekspresikan rasa cintanya kepada Hezriq melalui perbuatan sahaja. Namun malangnya bagi Ezmira, Hezriq tidak dapat mentafsir apa yang dilakukan oleh gadis itu membuatkan Hezriq menerima huluran cinta Thalia Lorenza. Danish yang ditemui oleh Ezmira semasa melakukan latihan praktikal di salah sebuah stesyen radio, menagih cinta gadis itu namun ditolak oleh Ezmira sekeras yang mungkin apabila dia mengetahui Danish dan Hezriq adalah sepupu. Kehadiran Jimmy Shanley dalam hidup Ezmira telah membuka pintu hatinya yang ditutup rapat apabila pemuda itu berjaya memikat hati Ezmira dalam caranya yang tersendiri. Namun, kehadiran Hezriq semula untuk menagih cintanya memeningkan kepala Ezmira walaupun dia telah menguburkan cinta pertamanya itu tanpa pusara. Danish juga spesis jejaka di luar alam apabila berusaha menagih cinta Ezmira yang tidak dihiraukan oleh gadis itu. Dalam kemelut rasa cinta, Ezmira dihidangkan dengan pelbagai misteri syarikat dan bangsal Danish untuk diselesaikannya. Mampukah Ezmira menyelesaikan misteri bangsal castle milik Danish mahupun misteri kehilangan novel di Pena Rindu Publishing serta misteri cintanya yang menuntut dirinya membuat pilihan siapakah yang layak mengungguli carta hatinya. Hezriq + Danish + Jimmy Shanley, siapakah diantara mereka yang menjadi pilihan hati Ezmira.























SIRI CINTA KUCH-KUCH HOTA HAI

Siri Dambaan Pilu ini sememangnya mendapat sambutan di luar alam oleh pada remaja. Sengaja saya lakarkan tema seperti filem Kuch-Kuch Hota Hai sebagai koleksi peribadi. Namun ia tidak mengecewakan apabila ia mendapat sambutan hangat.

Siri cinta antara sahabat baik yang tidak menyedari perasaan halus itu sudah wujud semenjak mereka mengenali di antara satu sama lain. Kehadiran Erdiana menyedarkan sesuatu yang tidak mereka sedari selama ini. Namun mereka terpisah setelah Dalinda membawa diri. Takdir dan Waktu menemukan mereka semula di puncak universiti. Cinta lama kembali berputik namun sayangnya Dalinda sudah mempunyai teman sejiwa iaitu Nirul Nizam. Damien tidak betah untuk kehilangan Dalinda semula dan cuba direbutnya daripada Nirul Nizam. Nirul Nizam menyedari perubahan riak wajah Dalinda terhadap Damien dan memberi kebebasan sepenuhnya kepada Dalinda untuk memilih salah seorang daripada mereka sebagai teman hidup hingga ke akhir hayat.

Cerita ini boleh diklasifikasikan sebagai Kuch-Kuch Hota Hai versi melayu namun pengakhirannya sama sekali tidak serupa dengan filem terunggul hidustan itu. Ada kejutan yang menanti anda dalam siri Dambaan Pilu ini. Damien + Bienda & Danny Izzrul + Daniela. Hendak tahu siapakah mereka ini dalam hidup Damien dan Dalinda, anda akan perolehi jawapannya dalam empat siri Dambaan Pilu. Ini percubaan santai + basah yang pertama daripada saya dan ternyata ia menjadi. Alhamdulillah. Namun ribut dan badai dalam menghadapi dunia penulisan membuatkan siri Dambaan Pilu ini sukar lagi untul diperolehi di pasaran. Jika anda menemuinya di pasaran, boleh dianggap anda merupakan pembaca yang bertuah. Ramai yang bertanyakan saya siri Dambaan Pilu namun saya sendiri sukar untuk menjawab kerana ia sememangnya tidak terdapat di pasaran lagi. Mungkin anda akan memperolehinya sekiranya anda mengunjungi pihak pengedar Syarikat Fajar
.

Thursday, May 22, 2008

Menebus Kembali Kekecewaan, Kelukaan dan Kedukaan Yang Lalu.


Assalammualaikum dan salam sejahtera ...


“Abby, aku dah dapat Hanya Dikau. Kau tahu, aku pergi MPH tadi, buku tu tinggal satu je. Tu pun Display punya aku. Aku tanya dia yang baru, budak MPH kata memang dah habis tinggal satu tu je. Hilang akal punya laku buku kau Abby.” Dina menghantar smsnya pada saya sebaik sahaja selepas saya mengecas telefon bimbit pada hari Isnin yang lalu.

“Ye ke Dina? Kau biar betul, hati aku dah kembang habis ni. Alhamdulillah.” Balas saya kemudiannya.

“Well, aku akan baca dulu tapi memang laku. Solute to youlah abby. Tadi pu3 pun ada, aku beli novel dia n dia sainkan novel tu. Kau tak datang, kalau tak, memang aku suruh kau sain sekali. Hehehe.” Saya hanya tersenyum apabila mendapat balasan sms daripada Dina. Sebetulnya di salah seorang daripada chatters di sebuah laman web yang kami gelarkan laman web si caluk, membuat gathering pada hari Isnin yang lalu tapi sayangnya saya tak dapat hadir sebab jauh kan dan lagipun, hari lahir mama jatuh pada hari itu lagilah tak dapat datang sebab mama minta temankan dia pergi beli hadiah yang dia nak. Dia beli saya dan adik2 bayar. Bukan sebarangan hadiah, ajak pergi kedai emas lagi. Tapi saya tak kisah demi menggembirakan hati dia. Dapatlah gelang tangan seutas dan cincin dua bentuk. Hehehe ...

Alhamdulillah, akhirnya novel Hanya Dikau telah menebus segala kekecewaan saya pada novel2 yang diterbitkan dalam tahun yang sama dengannya. Kau orang tahu kan novel apa 3 lagi. Walaupun novel Hanya Dikau ala-ala filem hindustan yang gaduh2 pada mulanya, namun eksperimen ini tidak mengecewakan apabila ia diangkat oleh pihak Buku Prima menjadi novel yang terlaris. Saya saja buat novel ala-ala hindustan sebab hendak menambahkan koleksi, namun tidak diduga sama sekali ia benar-benar menjadi. Hanya Dikau seolah-olah membasuh luka dan duka dalam diri saya. Namun, saya tidak akan mengekalkan pengakhiran novel saya yang baru seperti Hanya Dikau kerana sekiranya saya mengekalkan pengakhiran yang sama, novel-novel saya yang akan datang tidak akan mempunyai keistimewaan lagi. Anda akan menemui sesuatu yang tidak pernah anda duga sama sekali walaupun akan menimbulkan ketidakpuasan di dalam hati anda. Sesudah mendapat teguran, pembaca yang mengikuti perkembangan novel saya tidak mungkin dapat menduga apakah yang akan berlaku diakhir cerita. Sudah dua novel yang saya hasilkan, saya mengakhirinya dengan sad ending namun ia masih belum diterbitkan. Nantikan kemunculannya. Novel sad ending juga merupakan eksperimen daripada saya dan kalau ia dapat mengulangi sejarah Hanya Dikau, seribu kesyukuran saya panjatkan. Namun sekiranya ada happy ending seperti Hanya Dikau, ia lebih merupakan kepada permintaan penerbit. Kadang-kadang saya harus juga memenuhi permintaan penerbit yang inginkan hasil karya sebegitu. Bukan senang untuk menjadi penulis yang sentiasa mencari kelainan dalam setiap novel yang dihasilkannya.

Bagi saya, semua novel terbaru saya merupakan novel eksperimen kerana selepas ini, saya mungkin akan kembali ke zaman remaja dan kanak-kanak semula seperti mula-mula saya berkarya. Ini bermakna, novel saya akan berada di dalam pelbagai genre dan peringkat usia dan bukan sahaja genre cinta yang akan menjadi tumpuan saya. Sudah lama saya mengimpikan untuk menghasilkan novel-novel sebegini dan mudah-mudahan apa yang ingin saya hasilkan akan mencapai kejayaan dan mendapat tempat di hati para pembaca yang mengikuti perkembangan novel saya.

Saya ingin mengucapkan ribuan terima kasih kepada semua para pembaca novel saya merangkumi sahabat dan juga kenalan yang tidak putus-putus memberi sokongan pada setiap novel yang telah saya hasilkan. Tanpa anda semua, kejayaan demi kejayaan tidak mungkin akan saya capai dalam waktu yang singkat. Terima kasih kerana anda sentiasa bersama-sama saya mengharungi dalam apa jua badai yang melanda.

Wassalam.

Tuesday, May 20, 2008

Wajah Baru : Hati Ini Milik Siapa

WAJAH LAMA : HATI INI MILIK SIAPA



WAJAH BARU : HATI INI MILIK SIAPA
Kedua-dua novel ini diterbitkan oleh FAJAR PAKEER SDN BHD. Jangan ada yang terkeliru ye.

Monday, May 19, 2008

REVIEW: Ungkapan Rahsia Hati - Puteri Imaneisya

Tegakah membiarkan rasa hati terpendam begitu sahaja tanpa mahu meluahkannya. Bahagiakah jika rasa itu terus bersemadi di ufuk kamar jiwa tanpa diketahui oleh dia yang disayangi? Bagaimana pula sekiranya Ungkapan Rahsia Hati diluahkan namun tidak seperti yang diharapkan? Pasti kecewa bersorak riang, terluka bertepuk tangan dan cinta yang abadi akan terus merana dalam dakapan rindu yang tidak bertepian. Namun, jika ingin mengetahui sebuah kebenaran, risiko untuk TERLUKA harus diambil agar hati tidak dicarik dan dihiris sembilu lagi.

NURUL IZZAH
- Seorang yang tabah dalam mengharungi liku-liku kehidupan walaupun hatinya dihiris dan disiat-siat oleh insan-insan bernama LELAKI yang disayanginya. Namun, dia tega menerima apa yang dipersembahkan untuknya dan mempercayai semua itu dugaan yang hanya menguji dirinya dan pasti kebahagiaan akan bertamu jua selepas begitu banyak dugaan telah ditempuhi. Dia tidak pernah merungut walaupun hatinya dilukai berkali-kali malah mampu mendoakan kebahagiaan orang yang telah melukai hatinya itu. Satu sikap yang terpuji yang harus dicontohi oleh semua insan yang masih bernyawa di muka bumi ini. Namun, adakah anda setabah Nurul Izzah sekiranya dugaan yang sama diturunkan kepada anda?

SHAIFUL ZAHARI
- Seorang yang penyayang. Terlalu takut insan yang disayangi terluka sehingga sanggup mengambil risiko walaupun tindakannya itu akan mengundang salah faham pada dia yang teramat dicintai. Begitulah yang telah Ayie lakukan pada Nurul Izzah. Namun, saya suka caranya menambat kembali hati Nurul Izzah walaupun gadis itu agak keras untuk menerima kembali insan yang pernah disayanginya semasa di alam persekolahan lagi. Sekurang-kurangnya Ayie telah menebus segala kekhilafannya sejak lima tahun yang lalu.

SHAIFUL IKHMAL
- Seorang yang lincah. Happy go lucky. Kelakar dan sedikit loyar buruk. Memang jejaka idaman hati gadis malaya tapi yang kurengnya pada jejaka ini ialah sikapnya yang tidak menentu macam angin taufan membuatkan saya kurang menggemarinya. Sakit hati pun ada. Iyelah ... suka-suka hati, dia layan si Nurul Izzah, suka-suka hati dia biarkan Nurul Izzah dalam dilema sehingga rindu sarat bertamu di pinggir jiwa gadis itu. Suka-suka hati dia bersikap romantik dan suka-suka hati dia menyepi tanpa khabar dan berita. Ada ke patut. Memang saya geram. Kalau dah tak suka, berterus-terang saja, jangan biarkan dia terus menunggu sesuatu yang tak pasti. Kalau anggap sebagai sahabat juga harus berterus-terang, jangan bagi harapan yang menggunung tinggi sekiranya harapan itu tidak mampu ditunaikan. Jangan jadikan seseorang itu sebagai tayar ganti. Jika tidak ditemui yang sesuai di hati maka gadis itu yang akan menjadi pilihan. Tak elok tau. Fikirkan juga sekiranya pembalasan ini terjadi kepada anak anda, kakak anda, adik anda ataupun sepupu-sepupu yang anda sayang. Bagaimana? Renung-renungkanlah.

Dari Minda Ku :
Kekuatan :
- Kekuatan cerita ini adalah daripada segi jalinan perasaan yang melingkari perjalanan ceritanya amat berkesan di dalam hati saya kerana sepanjang saya membaca URH ini, ia seolah-olah sedang bermain dengan emosi kita. Cukup cantik jalinan emosi yang dihasilkan oleh penulis ini walaupun ia karya pertama beliau. Syabas.
- Terselit bahasa-bahasa asing seperti Arab dan Indonesia. Walaupun bahasa Indonesia sudah biasa di pendengaran telinga kita namun bahasa arab yang diselitkan memang menarik. Bukannya saya hendak mengagung-agungkan bahasa asing dan mengabaikan Bahasa Melayu tetapi sekurang-kurangnya dengan adanya bahasa asing ini kita boleh mempelajari sesuatu yang baru. Syabas lagi.

Kelemahan :
- Walaupun ia mempunyai kekuatan yang mampu mengacah perasaan anda namun novel ini juga tidak terlepas daripada kelemahannya yang telah dikesan semasa saya membacanya. Ini hanya pendapat saya tetapi saya tidak tahu pendapat orang lain kerana saya pernah menghasil novel sebegini namun ia mendapat kritikan hebat. Hehehe ... walaupun demikian, saya mempelajari daripada kesilapan untuk membetulkan apa-apa yang patut agar ia boleh menambat hati pembaca yang mengikuti perkembangan novel saya. Laa .. melalut pulak dah. Okey, inilah kelemahan yang saya temui, Permulaan cerita agak meleret, begitu jua dengan dialog-dialognya. Agaknya penulis mengutarakan apa yang tersirat di dalam hatinya dan sekiranya ia datang daripada luahan hati, memang beginilah hasilnya. (Saya pernah buat sebab tu saya tahu. Hehehe ... jangan marah haa. Novel saya yang mana satu? Hehehe ... kan ada 10 buah novel dah diterbit, carilah sendiri dan salah dua daripadanya adalah apa yang anda cari. :D).
- Kadang-kadang orang tidak gemar dialog terlalu bersastera dan panjang, namun ia masih tidak tersasar daripada isi yang hendak disampaikan. Mungkin penulis boleh memperbaiki kelancaranya pertuturan dialog. Biarkan ia mudah tidak mengapa. Namun ia masih mampu menjadi sebuah karya yang baik.

Pengajaran :
- Jangan terlalu memendam perasaan kerana ia akan memakan diri sendiri. Luahkan ia sekurang-kurangnya ia tidak akan menjadi barah di dalam akibat terlalu memendam perasaan.
- Jangan terlalu menguji sehingga akhirnya menimbulkan sikap putus asa untuk terus menanti dalam penantian yang tidak pasti. Kesabaran seseorang ada hadnya dan apabila kesabaran itu melangkaui had yang telah ditetapkan, maka bom atom akan meletup dan sesuatu yang tidak anda jangka akan berlaku. Fikirlah sendiri.
- Jangan menyesali apa yang telah diturunkan kepada anda, sebaliknya harungilah ia sebaik mungkin walaupun hanya sekejap, saya pasti akan ada rahmat dan bahagia yang menanti disebaliknya.
- Hmm ... jangan sedekahkan ubat-ubat anda di dalam tong sampah yang tidak mengerti akan penderitaan yang anda alami kerana kita hanya berusaha untuk memulihkan kesihatan walaupun kita tahu ia tidak akan ada penghujungnya. Sekurang-kurangnya, penderitaan dalam menghadapi kesakitan akan berkurangan. Redha dengan ujianNya.

Akhir kata, UNGKAPAN RAHSIA HATI adalah percubaan terbaik daripada Puteri Imaneisya walaupun mempunyai kelemahan. Namun, saya yakin dengan bakat terbesar anugerah Allah swt kepada dirinya, dia akan terus melangkah tanpa menoleh ke belakang dengan menjadikan kritikan anda pada hari ini sebagai sandaran untuk dirinya mencapai KEJAYAAN di masa akan datang. Teruskan perjuanganmu dan jangan sesekali patah semangat dalam mengharungi dunia penulisan yang tidak seindah biasa. Caiyukk!!

Friday, May 16, 2008

Gaya Bahasa Santai & Basah - TIDAK BERMUTU?

Assalammualaikum dan salam sejahtera ... Pertama sekali saya nak ucapkan SELAMAT HARI GURU untuk semua guru-guru yang pernah mengajar saya terutama sekali guru-guru di Sek. Men. Hamid Khan, Sek.Men. Abdullah Munsyi dan Pensyarah-pensyarah di UiTM Shah Alam. Jasa anda semua saya kenangi untuk selama-lamanya dan terima kasih kerana mendewasakan diri kami dengan bimbingan yang anda taburkan. Maraming-maraming salamat Sensei (bahasa Tagalog + dengan bahasa Jepun = Carca Marba).

Hmm ... sebenarnya topik utama N3 kali ini untuk mengutarakan tentang gaya bahasa/genre dalam sesebuah novel yang dihasilkan. Benarkah gaya bahasa/ genre santai dan basah merupakan sebuah karya yang tidak BERMUTU? Hanya karya picisan yang dihasilkan oleh penulis yang ingin popular segera. Tambah-tambah lagi jika penulis itu bernaung di bawah syarikat penerbitan yang gah? Apa hak anda untuk berkata demikian kepada kami penulis novel popular? Sekiranya anda tidak suka (mungkin anda di kalangan cerdik pandai atau golongan yang profesional) atau benci dengan novel popular namun anda tidak harus memandang rendah kepada kami yang mengerah keringat untuk menghasilkan sesebuah karya walaupun ia bersifat santai dan basah. Manakan anda tahu di dalam novel popular yang santai dan basah terselit pengajaran yang begitu berguna walaupun ia tidak menggunakan gaya bahasa sastera dalam erti kata sebenar. Sekiranya anda tidak membaca novel cinta yang dihasilkan oleh penulis tempatan, maka anda tidak akan tahu apa yang ingin kami sampaikan sebenarnya di dalam novel itu.

Kenapa saya utarakan N3 ini? Kerana saya juga seorang penulis novel popular yang menggunakan gaya bahasa santai dan basah. Ini jiwa saya dan kenapa saya ingin menukarkan stail saya yang tidak merupakan jiwa saya? Saya pernah menghasilkan novel separuh santai dan basah serta menggunakan bahasa sastera tetapi ia tidak digemari kerana menurut pembaca yang memberi komen, karya itu agak membosankan. Kemudian, saya tukar stail saya kepada sepenuhnya gaya santai dan basah dan Alhamdulillah ia meletup di pasaran walaupun ceritanya menurut golongan cerdik pandai ala-ala hidustan, bergaduh di awal perkenalan dan bersatu di akhir cerita. Jika dikaji, rata-rata pembaca meminati jalan cerita yang sebegini (walaupun ada sebilangan yang muak dengan cerita sebegini tetapi kalau hidangan cerita hindustan, kenapa anda masih ingin melihatnya walaupun pengakhiran cerita sudah dapat anda mengagak?), namun karya saya tidak akan semuanya bermula dengan pergaduhan dan berakhir dengan Happy Ending. Saya telah mendapat teguran untuk mengubah pengakhiran cerita dan saya mengucapkan terima kasih kepada yang sudi menegur (terutama sekali Kay Rahim) kerana mereka telah menyedarkan saya daripada terus hanyut dalam khayalan sendiri. Mungkin di awal pembabitan saya dalam bidang ini, permulaan novel saya memang jalan cerita sebegini yang menjadi pilihan tetapi tidak lagi sekarang kerana anda akan menemui kelainan dalam setiap novel saya yang akan datang (Insya-Allah jika disertakan dengan kehendakNya.). Sesuatu yang tidak dijangka di akhiran cerita akan saya lakukan dalam jalinan kisah yang hendak saya persembahkan walaupun ia masih mengekalkan gaya bahasa santai dan basah.

Kenapa gaya santai dan basah menjadi pilihan saya? Ini disebabkan saya tidak mahu pembaca saya membaca karya saya sebagai sebuah novel yang berat dan inginkan pemikiran mereka dalam mentafsir apa yang ingin saya sampai. Saya ingin memberi hiburan kepada mereka dan sebab itulah saya memilih gaya bahasa ini. Kalau saya hendak membebankan fikiran mereka untuk mentafsir isu-isu yang diutarakan dalam novel saya dalam makna yang tersirat, lebih baik mereka memilih buku yang ditulis oleh golongan cerdik pandai dan professional. Anda harus tahu, kita sebagai manusia berhak memilih hiburan yang tersendiri, kerana ada di antara kita yang suka memilih hiburan di luar dan ada yang tidak. Untuk mereka yang suka melepak diri di rumah, apa lagi hiburan yang mereka ada selain menonton tv, mendengar radio dan membaca novel yang mampu mengundang senyum di persada bibir mereka. Oleh kerana saya menganggap novel saya sebagai unsur hiburan, maka gaya sebeginilah yang menjadi pilihan hati. Tapi jangan terkejut sekiranya suatu hari nanti saya akan beralih arah. Hehehe ... Tetapi juga, walaupun novel saya bersifat santai dan basah namun ada isu-isu yang ingin saya sampaikan kepada umum. Bagi remaja, mereka tidak gemarkan novel yang bersifat berat jadi, dengan genre santai dan bahasa, penulis boleh menyampaikan sesuatu yang penting dalam bahasa bersahaja untuk mendidik remaja itu selain daripada memikirkan soal cinta monyet dan keseronokkan yang hanya sementara. Anda harus kaji genre novel sebegini untuk mengutip pengajarannya dan jangan membambu kami membabi buta hanya kerana anda tidak membaca novel sebegini dan tidak keterlaluan jika saya mengatakan anda membenci novel melayu.

Rasa rendah diri? Hmm ... mungkin. Saya agak terasa juga apabila berada di kalangan golongan cerdik pandai dan profesional apabila mereka membandingkan penulis novel popular dan penulis novel karya sastera yang sebenar. Rasa tidak setanding dengan mereka di mana novel mereka layak dilabelkan sebagai novel bertaraf antarabangsa sedangkan novel yang saya hasil tidak mampu duduk sebaris dengan mereka hanya kerana saya menggunakan gaya bahasa/ genre santai dan basah. Kadang-kadang perbincangan dalam novel yang menggunakan gaya bahasa sastera yang sebenar membuatkan saya ingin membuktikan kepada mereka bahawa saya juga mampu menghasilkan karya seperti mereka namun mungkin belum tiba masanya lagi. Insya-Allah suatu hari nanti mungkin saya akan cuba, siapa tahu kerana saya tidak suka terikat dalam satu jalinan kisah sahaja. Saya suka mencuba dalam mencapai label penulis serba boleh.

Anda seorang yang mengagungkan karya novelis barat? Bermutukah karya mereka sedangkan novel cinta mereka penuh dengan adegan-adegan panas dan seks rambang. Begitukah karya yang menjadi pilihan anda? Saya pernah baca karya mereka sebab itulah saya tahu. Kalau mereka menghasilkan novel yang terkeluar daripada landasan kehidupan dan agama pun, masihkah anda mengagungkannya? Novelis barat mahupun novelis tempatan tiada bezanya dalam menghasilkan karya. Di negara mereka juga terbahagi kepada dua golongan iaitu golongan cerdik pandai dan novel popular. Kalau tak percaya, anda boleh buat kajian. Jadi, janganlah anda-anda yang menganggap kami penulis novel popular tidak mampu menghasilkan karya yang bermutu.

Akhir kata, sama anda suka atau benci pada novel melayu, kami penulis penulis novel melayu akan terus mengorak langkah tanpa ada sekelumit rasa rendah diri. Maafkan saya sekiranya N3 ini mampu mengguris hati sesiapa yang terasa. Saya hanya melahirkan pendapat di atas apa yang saya lihat, dengar dan rasa. Assalammualaikum.

Sunday, May 11, 2008

Selamat Hari Ibu, Mama ...

Assalammualaikum semua. Sempena Hari Ibu ini, saya ingin mencoretkan sekalung ucapan terima kasih kepada mama saya yang bernama Zainah Ariffin. Dan untuk semua ibu-ibu di luar sana, SELAMAT HARI IBU.



Mama,
Tiada kata seindah bicara ingin ku kalungkan buatmu. Hanya setinggi-tinggi ucapan terima kasih kerana hadir di sini untuk kami semua. Terima kasih kerana sering meminjam semangatmu untuk kami meneruskan perjuangan di alam maya ini. Terima kasih kerana acapkali menjadi bahu untuk kami melepaskan tangisan. Terima kasih kerana tidak jemu-jemu memberi dorongan buat kami sehingga kami berjaya mencapai impian di dalam hidup kami. Terima kasih di atas doronganmu yang tidak terhingga walaupun kami hampir tersungkur daripada landasan hidup ini, namun kerana engkau di sisi membuatkan kami terus bangun dan memperbaiki kehidupan yang lalu.

Mama,
Tanpamu di sini di sisi kami, kami tidak pasti sama ada kami kuat atau tidak untuk meneruskan perjuangan hidup yang belum selesai. Kami juga tidak tahu adakah kami akan menjadi sebagaimana kami sekarang. Kami juga tidak tahu sama ada mampukah kami mencapai kejayaan demi kejayaan walaupun kadang kala anak-anakmu ini sering diperlekehkan oleh masyarakat sejagat.

Mama,
Tiada ibu seagung dirimu. Hanya ucapan terima kasih yang mampu kami jadikan rantai dan menggantung kemas di lehermu untuk selama-lamanya. Kami tahu, kami tidak mampu membalasnya di atas setiap titisan susumu yang telah disuapkan ke dalam mulut kami. Kami akan cuba yang terbaik untuk membahagiakan dirimu selagi hayat kami dikandung badan. Doakan kami agar kami tidak alpa dan tersungkur dari landasan hidup agar kami boleh menjaga dirimu sehingga ke akhir hayat kami.

Mama,
Terima kasih di atas segala-galanya. Maafkan diri anak-anakmu ini sekiranya ada salah dan silap yang tidak kami sengajakan yang telah menyentuh naluri ibumu. Selamat Hari Ibu, Mama ... Mudah-mudahan mama akan menjadi mama yang terbaik di dunia ini buat kami semua.


You are the best! You are everythings and I Love You, Mama ....

Thursday, May 8, 2008

KAU YANG TAK MENGERTI - NOVEL KONTROVERSI SEPANJANG 2007

Hentikan penerbitan Kau Yang Tak Mengerti! Kau Yang Tak Mengerti menunjukkan sifat-sifat yang kurang bermoral (Benarkah???). – Apa perasaan anda sebagai penulis jika ada pihak yang hendak memberhentikan penerbitan novel anda tanpa alasan yang kukuh?

Saya tidak menafikan bahawa novel ini mendapat hentaman yang kuat dan terlalu banyak daripada pelbagai pihak. Semua kritikan yang datang daripada pelbagai sudut telah saya terima dengan hati yang terbuka. Saya mengaku, salah sendiri kerana tidak perasankan benda yang kecil mengakibatkan ia menjadi besar dan serius. Pengalaman daripada menghasilkan novel KYTM ini, saya telah mendapat pengajaran yang cukup besar dan sentiasa berhati-hati ketika menghasilkan novel-novel yang lain kerana saya tidak mahu kesilapan daripada novel KYTM ini akan berulang kepada novel2 terbaru saya yang akan datang. Terima kasih kepada semua yang mengkritik dan juga yang menghentam.

Namun, saya cukup terkilan jika ada sesetengah pihak hendak memberhentikan penerbitan novel ini tapi atas alasan apa? Adakah kerana ia tersasar begitu jauh daripada landasan kehidupan ataupun tersasar daripada landasan agama? Bagi saya, apa yang saya paparkan mempunyai motif yang tersendiri. Jika anda sebagai pembaca mendalami intipati cerita ini, anda akan mendapat pengajaran yang cukup besar apa yang ingin saya hindarkan daripada terjadinya dalam masyarakat kita. Pelbagai pengajaran anda boleh kutip daripada cerita ini untuk dijadikan iktibar. Jadi, kenapa ia harus diberhentikan? Jika penulis lain yang memaparkan novel seperti ini tidak pula anda pertikaikan, kenapa? Adakah kerana ia hasil karya saya atau anda sememangnya tidak menyukai saya? Apa masalahnya jika KYTM terus diterbitkan?

Setiap penulis belajar daripada kesilapannya dan saya sedang melaluinya kini. Saya belajar kesilapan melalui novel ini dan menjadi penulis yang lebih matang untuk novel yang akan datang. Kerana novel ini saya hampir lari daripada terus berada dari landasan hidup tetapi semangat yang jitu telah ditiupkan dalam diri saya daripada orang-orang yang saya sayang, kini saya kembali berjuang dalam perjuangan yang belum selesai.

Bagi saya, setiap orang mempunyai citarasa yang tersendiri dan tidak semestinya anda tidak menyukai novel ini, malah orang lain juga tidak akan menyukai novel ini. Selain daripada hentaman yang begitu aggresif, saya juga mendapat pujian kerana berani untuk menghasilkan novel sebegini yang boleh menimbulkan kesedaran dalam diri mereka yang mengalaminya. Syukur Alhamdulillah jika itu yang mereka dapat melalui novel KYTM dan itulah yang saya hendak sampaikan sebenarnya. Saya akui terdapat banyak kelemahan di dalam novel ini dan sekarang ini saya sedang berusaha kuat untuk memperbaiki segala kelemahan yang ada dan menitik beratkan dalam pelbagai sudut aspek. Insya-Allah mudah-mudahan usaha saya mendapat keredhaan-Nya.

Bagi anda yang tidak menyenangi novel ini terpulanglah. Tetapi tolong jangan menabur pasir ke dalam periuk nasi saya. Kita di dalam industri ini harus saling sokong-menyokong dan bukannya untuk menjatuhkan sesama sendiri. Apa yang anda dapat jika anda berbuat begitu? Mungkin kepuasan atau sebaliknya saya tidak tahu.

Namun, novel KYTM bukanlah sebuah novel yang tidak bermoral atau terkeluar daripada landasan agama yang sebenarnya. Watak2nya tercipta begitu kerana saya ingin menyedarkan anda jika itu yang anda lakukan itulah yang akan terjadi dalam kehidupan sebenar anda. Kenapa anda harus mengambilnya secara negatif dan bukannya secara positif? BOSAN? Mungkin bagi remaja, part dewasa membosankan mereka dan bagi dewasa pula part Remaja membosankan mereka. Tujuan saya membahagikan dua part kerana saya ingin mencuba sesuatu yang baru tetapi saya tidak menyangka ia tidak menjadi dan saya telah mendapat pengajaran daripada situ agar tidak mengulanginya di masa akan datang. TIDAK RELAVAN? Mungkin saya tidak menyedari ada yang tidak relavan semasa saya menulisnya. Maafkan saya di atas kesilapan ini dan saya telah mendapat ganjaran daripada kesilapan ini. Terima kasih kerana menyedarkan saya agar saya lebih berhati-hati.

Walau apa pun tafsiran anda, anda tidak berhak hendak memberhentikan hasil daripada keringat orang lain. Fikirlah sendiri wahai sahabatku semua, bagaimana pula jika masalah yang saya anda alami ini terjadi kepada anda? Dapatkah anda menerimanya sebagaimana saya menerimanya? Terpulang kepada anda kerana saya tahu apa yang saya buat dan atas tujuan apa membenarkan saya membuatnya begitu.

Assalammualaikum.

Wednesday, May 7, 2008

ANTI - Penulisnya Atau Karyanya?????

Hmm .. susah jika ingin mengungkap rahsia hati yang sudah lama terpendam. Hmm? Oh tidak .. tidak .. bukan ungkapan rahsia hati mengenai perasaan tetapi adalah bersangkut paut sikit-sikit. Hehehe ... Pandai ye nak perangkap?

Sebenarnya, makin saya mendiamkan diri, makin hati saya bernanah. Saya tidak tahu kenapa kehadiran saya di dalam industri seni penulisan kreatif ini tidak disukai ramai. Ada sesetengah golongan tidak kira sama ada golongan penulis, pembaca mahupun penjual terang-terangan menunjukkan bahawa mereka tidak menyukai saya. Kadang-kadang saya terfikir sendiri, kenapa ia harus terjadi sedangkan saya tidak pernah mengganggu hidup orang, tidak pernah mengacau periuk nasi orang tetapi kenapa mereka ingin memporak perandakan hidup saya. Adakah kerana saya ni suka bergurau terlebih ataupun lancang dalam meluahkan pendapat membuatkan saya tidak disukai orang ataupun kerana mereka mempunyai masalah peribadi dengan saya? Adakah mereka anti kepada saya penulisnya atau novel yang saya karang? Kenapa masalah-masalah sebegini harus wujud? Kalau ada yang tidak puas hati dengan saya, tampil ke hadapan dan berterus-terang dengan saya agar saya boleh memperbaiki ketrampilan diri mengikut kehendak anda walaupun saya terpaksa menjadi orang lain. Namun, memang sukar untuk menjadi orang lain yang bukan diri saya. Jadi, terimalah saya seadanya.

Kenapa kenyataan ini harus wujud? Saya bukan suka2 hendak menimbulkan sebarang kontroversi jika mata ini tidak melihatnya sendiri ataupun telinga ini tidak mendengarnya sendiri. Saya mempunyai banyak mata dan telinga walaupun saya tidak berada ditempat kejadian. Salah seorang daripada sahabat saya yang paling akrab yang juga merupakan seorang penulis telah mengunjungi Pesta Buku (saya tak pasti di mana, yang pasti bukan pesta buku antarabangsa pwtc), hendak membeli novel saya. Penjual kepada penerbitan itu yang sepatutnya mempromosikan novel-novel yang diterbitkan di bawah syarikat penerbitan itu sendiri telah berlaku tidak adil pada sesetengah penulis (mungkin saya bukan penulis kegemarannya), dengan menyuruh pembeli itu (yakni rakan saya) agar tidak membeli novel saya kerana menurutnya novel yang sedang dipegangnya itu bukanlah yang terbaik dan membosankan. Adakah wajar seorang penjual yang telah dibayar gaji oleh pihak penerbitan itu berkata sedemikian? Saya tidak tahu sama ada dia sudah membaca novel yang didakwanya bosan ataupun tidak sehingga dia boleh mengeluarkan kenyataan sebegitu. Sepatutnya dia meningkatkan penjualan kepada penerbitan yang telah membayar gajinya, ini tidak ... penjual sebegini boleh mengurangkan penjualan sesebuah syarikat penerbitan itu. Walaupun novel saya bersifat santai tetapi di dalamnya masih terselit pengajaran yang hendak disampaikan sekiranya anda sebagai seorang pembaca meneliti isi kandungannya. Sekiranya anda membaca novel saya sebagai sebuah cereka maka anda tidak mampu untuk menggali apa yang hendak saya sampaikan. Dalam gembira dan air mata saya telah menyelitkan isi-isi yang hendak disampaikan. Terpulang pada anda untuk menerokainya.

Daripada peristiwa di ataslah saya mendapat tahu bukan sahaja golongan-golongan tertentu memboikot saya malah terdapat lagi golongan yang lain yang turut memboikot hasil karya saya. Apa tujuan mereka dan apa yang mereka dapat hasil daripada apa yang mereka lakukan terhadap saya, saya tidak tahu. Kadang-kadang saya hairan, kenapa mereka ingin menabur pasir di dalam periuk nasi saya. Sehingga sekarang saya masih mencari jawapan yang tidak pernah saya temui.

Namun, saya bersyukur dengan kehadiran golongan seperti anda ini telah menyuntik dan menaikkan semangat saya untuk terus berkarya tanpa menoleh ke belakang lagi. Sekarang ini, saya tidak akan berhenti daripada terus menulis. Setakat mana saya mampu hasilkan novel dalam setahun, itu yang akan saya lakukan. Banyak atau tidak bukan soalnya sekarang. Terima kasih kerana anda telah menggesa saya untuk terus berlari ke hadapan dengan meninggalkan segala kedukaan dan kekecewaan di belakang. Saya doakan agar hidup anda ... anda ... yang memboikot saya ni, dilimpahi rahmat Allah swt dengan penuh kesejahteraan. Semoga hidup anda bahagia selalu.

Setiap penulis mempunyai pengikutnya sendiri dan begitu jualah dengan diri saya yang telah mengumpul pengikut saya sendiri. Untuk mereka yang menggemari novel saya, terima kasih kerana telah menyokong saya sejak daripada novel pertama saya di pasaran. Terima kasih kerana tidak jemu-jemu menjadi tulang belakang saya walaupun ada ketikanya saya hampir tersungkur jatuh daripada bidang ini.

Untuk mereka yang tidak menyukai saya, terpulang kepada anda untuk menilainya sendiri kerana saya tidak tahu apa sebab musababnya. Satu peringatan, sekiranya saya sudah mengorak langkah dalam bidang yang sememangnya menjadi kegilaan saya ini, saya tidak akan menoleh ke belakang lagi malah saya akan mencari peluang untuk terus maju ke hadapan dan berlari ke puncak jaya. Tiada siapa mampu menghalang saya sekiranya Allah tidak mengizinkan anda untuk berbuat begitu. Hidup orang-orang yang teraniaya pasti akan terbela. Insya-Allah.

Kini terbukti dunia penulisan tidaklah seindah seperti yang anda bayangkan selama ini. Kepada bakal penulis dan penulis baru, anda harus bersedia menghadapi pelbagai kerenah manusia sejagat kerana pasti akan ada yang menyokong anda mahupun untuk menjatuhkan anda walaupun anda tidak mengganggu hidup orang. Belajar melalui pengalaman, itu yang sedang saya tempuhi sekarang.

Assalammualaikum dan salam sejahtera.