Masing-masing
menarik nafas lega apabila van yang mereka sewa sudah selamat kembali ke tempat
asalnya. Riuh-rendah suara mereka dalam melafaskan erti kata yang
bermacam-macam intonansi. Di dalam kepala masing-masing kini cuma ada satu
tujuan iaitu tidak sabar-sabar untuk kembali ke rumah masing-masing dan
mendapatkan rehat yang secukupnya.
Kini kelihatan mereka sedang memunggah turun beg
pakaian masing-masing dari terus berada di dalam van. Sementara itu, Syed
Dahuri dan Firdee Aqasha telah ke kaunter pembayaran untuk melunaskan wang sewa
van mereka itu.
“Hei kau orang, macam mana lima bungkus beg plastik
kepah ni ada di sini? Bukan kau orang tak ambik ke dari nenek tua tu?” lontaran
vokal yang berupakan pertanyaan dari rongga tekak Nisrinah benar-benar telah
memeranjatkan mereka semua.
“Mana ada kita ambik kepah dari nenek tu? Yang ada
sebungkus sajalah milik Azi.” Era Kasmiran membetulkan fakta. Mungkin Nisrinah
salah melihat.
“Jadi, kau orang cakap aku menipulah ya? Kejap ya.”
Nisrinah telah mengeluarkan lima bungkus beg plastik yang mengandungi kepah di
dalam setiap beg plastik itu. Penuh-penuh pula tu. Mata mereka sememangnya
tidak mampu untuk mempercayai apa yang sedang berlaku. Kehairanan demi
kehairanan membelitkan tali pusat akal mereka. Sedikit perasaan galau bercampur
baur di dalam diri masing-masing.
“Nampak tak apa yang aku pegang? Macam mana lima
bungkus kepah ni boleh ada di sini? Azi, kepah kau mana?” tanya Nisrinah dengan
satu pandangan sinis ke arah teman-temannya. Apa lagi, terloponglah mulut
masing-masing dengan pemandangan yang di luar alam itu.
“Kepah aku ada di sini.” Aziham menunjukkan
kepahnya.
“Habis tu, yang lima bungkus ni siapa punya?”
sekali lagi suara Nisrinah berbaur sindiran.
Masing-masing mengangkat bahu tanda tidak tahu.
Rasa gerun menyelinap masuk tanpa mereka sedari.
“Sayang betul roh nenek tua tu dengan kau orang
yang bertanggungjawab melepaskannya. Sampai membekalkan buah tangan. Bertuah badan.”
Nisrinah mengusik sekaligus menyindir sehingga menjentik rasa tidak senang di
dalam hati kaum Adam.
No comments:
Post a Comment