Sunday, September 22, 2013

KUBUR BERNYAWA : BAB 5: Geng-Geng Kolej Imansyah Cabut Lari!


Kumpulan pelajar Imansyah terus mendapat van yang disewa dan memboloskan diri masing-masing masuk ke dalamnya. Firdee Aqasha selaku pemandu van terus memecut sehingga van itu sampai ke bawah. Dia tidak memandang langsung pada cermin belakang untuk melihat adakah nenek tua itu mengikut mereka ataupun tidak. Resah dadanya masih dilambung ombak tsunami. Aturan pernafasannya masih belum kembali normal.

“Kita nak balik terus ke?” tanya Zunika.

“Entah. Aku pun tak pasti. Dah tengah malam ni. Aku takutlah nak drive. Risyam macam mana? Dah sedar?” Firdee Aqasha memberitahu dan sekaligus bertanyakan perihal keadaan Husnarisyam.

Jhaznarul mengerling ke arah Husnarisyam yang masih mengakukan dirinya. Tiada tanda-tanda dia akan bergerak. Terkejut sangat gamaknya sehingga jatuh trauma begitu.

“Belum. Keadaan dia masih kaku macam tadi. Sekali tengok persis patung cendana versi moden.” Era Kasmiran memberitahu sambil tergelak melalui hidung. Tidak tahan dia melihat Husnarisyam sebegitu. Hisy, tak baik sungguhkan ketawakan teman yang di dalam kesusahan.

“Kau jangan nak buat lawaklah Miran. Aku tengah risau ni tengok keadaan Risyam macam tu.” Jhaznarul tidak senang melihat pada sikap Era Kasmiran yang seolah-olah tidak ambil berat akan apa yang terjadi pada Husnarisyam.

“Maaf. Maaf. Aku tak sengaja. Yang, kat depan tu bukan motel ke? Kita singgah di situ sajalah malam ni. Esok pagi baru kita berangkat pulang.” Era Kasmiran memohon maaf pada Jhaznarul dan pada lewat itu juga skrin matanya dihamparkan dengan bangunan yang bercahaya. Dia yakin di situ memang terdapat motel.

Kini kesemua mata yang berada di dalam van itu melurus ke arah di mana terdapatnya bangunan kecil yang ditunjukkan oleh Era Kasmiran. Ya. Terdapat tulisan ‘Motel Mamu Arries’ di situ. Alhamdulillah, malam ini mereka sudah ada tempat untuk berteduh. Lebih baik tidur di motel daripada tidur di tengah hutan yang diganggu.

“Okey, malam ni kita berehat di Motel Mamu Arries saja. Mudah-mudahan masih ada lagi bilik kosong buat kita. Aku pun tak larat nak drive ni. Masih tegang dengan kejadian tadi.” Firdee Aqasha membuat keputusan bagi pihak teman-temannya.

“Lain kali buat lagi benda yang tak senonoh. Seronok kena kacau?” sindir Nisrinah berperisa cili padi.

“Aku buat apa?” Firdee Aqasha pura-pura tidak tahu.

“Tepuk dada tanyalah diri kau sendiri apa yang telah kau buat. Jom masuk, aku dah penat ni.” Nisrinah malas mahu membuka gelanggang persilatan kata dengan Firdee Aqasha. Badan yang penat harus direhatkan barang seketika.

Kesemua mereka masuk ke dalam Motel Mamu Arries dan terus ke meja pendaftaran. Ada seorang lelaki berusia dalam lingkungan 40an sedang berdiri di situ sambil tersenyum. Mereka terasa senang dengan sambutan mesra yang diberikan oleh penyambut tetamu di situ.

“Kami nak dua bilik pak cik. Masih ada bilik kosong?” Syed Dahuri mendahului yang lain dalam urusan pendaftaran.

“Bilik kosong masih ada. Nak tempah berapa malam?” tanya pak cik penyambut tetamu itu.

“Untuk malam ni saja pak cik. Esok pagi kami dah nak balik.” Syed Dahuri menjawab lagi.

“Oh. Panggil saja pak cik ni Mamu Arries. Daripada mana ni?” tanya penyambut tetamu itu yang ingin dipanggil Mamu Arries.

“Kami berkhemah di dalam hutan sana. Tapi kami semua berasa tak sedap hati, sebab itulah kami turun dari sana ke sini,” jujurnya Syed Dahuri menceritakan perihal mereka.

Mamu Arries menggangguk sambil mencatat sesuatu sebelum menyerahkan dua kunci bilik kepada mereka. “Ini kuncinya. Eh, budak perempuan tu pasai apa? Nampak macam terkejut saja? Dia tersampuk ka atau ternampak sesuatu?” terserlah kepekatan dialek utara Mamu Arries. Tersengih mereka dalam diam.

“Sebenarnya Mamu Arries, kami ternampak sesuatu. Kawan saya ni tak pernah tengok benda tu, terus jadi kaku macam ni,” terang Aziham pula.

“Dah jadi patung cendana moden pun.” Era Kasmiran masih tidak lupus kata gurauannya.

“Miran!” marah Zunika dan Nisrinah serentak. Manakala Jhaznarul dan yang lain hanya menjeling geram pada Era Kasmiran yang cuba menyembunyikan tawanya tetapi terlepas juga melalui hidung walaupun mulut tertutup.
Sekali lagi Mamu Arries mengangguk kepalanya. Pasti depa telah mengganggu sesuatu ketika di sana. Kalau tak, aku tak yakin budak perempuan ni akan tersampuk sampai macam ni sekali. Hati Mamu Arries kuat menyatakan pendapatnya. Jarang sekali perkara seumpama ini terjadi kerana sudah berpuluh pelajar yang membuat perkhemahan di sana, tidak ada satu kumpulan pun yang mengalami keadaan seperti ini.

“Tak pa. Biaq Mamu Arries ubat dia. Kita serah pada ALLAH. Mudah-mudahan kawan hangpa ni akan pulih seperti sedia kala.” Mamu Arries terlebih dahulu mengambil wuduk sebelum menjalan sesi perubatan pada Husnarisyam. Kemudian, dia mengambil semangkuk dan sebaldi air serta tujuh biji limau purut sambil membaca sesuatu ke dalam mangkuk dan baldi air itu. Selesai sesi membaca ayat-ayat suci al-Quran, Mamu Arries memerahkan pula limau purut ke dalam baldi air itu. Baldi diserahkan pada kaum Hawa untuk memandikan Husnarisyam. Selepas gadis itu sedar, Mamu Arries meminta mereka untuk meminumkan Husnarisyam dengan air penawar yang dibacanya.

Kesemua arahan Mamu Arries dituruti dan alhamdulillah berkat keyakinan pada ALLAH yang Maha Satu, akhirnya Husnarisyam dapat dipulihkan semangatnya dari terus menjadi patung cendana. Roman wajah Husnarisyam masih pucat tidak bermaya. Badan Husnarisyam agak lembik sedikit. Namun, syukur segala-galanya telah kembali pulih sebagaimana biasa.

“Alhamdulillah. ALLAH telah membantu kita dengan menyelamat gadis yang tak berdosa ni. Baiklah, hangpa semua pi tidoq. Berehat. Dah tentu hangpa semua letihkan? Mudah-mudahan malam ni baik-baik saja.” Mamu Arries mengarahkan mereka ke bilik masing-masing. Mereka tidak membantah kerana sememangnya mereka amat letih yang teramat sangat di kala ini.

Motel Mamu Arries ini merupakan motel setingkat sahaja. Tidak ada bertingkat-tingkat. Jadi kesemua bilik bertapak di atas tanah. Permandangan fauna yang menjadi santapan mata mereka membuatkan mereka kecut perut. Ketakutan masih bersisa. Ketika berada di dalam bilik, mereka tidak tidur berasingan. Malahan mereka berdekatan sambil memeluk sesama sendiri. Cukup takut untuk berenggang walaupun dalam jarak yang paling dekat. Mata mereka pula meliar ke sana sini. Seolah-olah sedang mengawasi sesuatu. Dalam berjaga-jaga, tidak semena-mena ...
“Argh!” Nisrinah menjerit sakan. Jeritannya bergema terlalu kuat sehingga mengejutkan teman-temannya yang sedia takut.

Sambungan Di:

http://ilham.karangkraf.com/karya-detail.aspx?idk=1009&idc=7559 




No comments: