Sunday, September 8, 2013

KUBUR BERNYAWA: BAB 2: Wujudnya Kubur Bernyawa


 Jhaznarul tercungap-cungap ketika sampai di tapak perkhemakan mereka. Wajahnya masih pucat tidak berdarah. Gerak larian Jhaznarul telah mengejutkan seisi khemah. Bukan kaum Adam sahaja yang terkejut melihat tingkah Jhaznarul tetapi kaum Hawa juga turut menyumbangkan rasa terkejut mereka (kesemua kaum Hawa terjaga apabila mereka terasa tapak perkhemahan mereka bergegar dengan sesi larian yang dilakukan oleh Jhaznarul. Sebab itulah mereka menapak keluar dari khemah masing-masing.)
Biji mata masing-masing meluruskan ke arah Jhaznarul yang kelihatan tercungap-cungap melepaskan lelah setelah pecutan lariannya berakhir. Jhaznarul memegang kepala lututnya sambil berusaha untuk mengatur aturan pernafasannya yang semakin bercanggah. Dia menarik nafasnya berkali-kali sebelum menghembuskannya keluar. Mata rakan-rakannya masih tidak lepas menatap gelagat Jhaznarul yang mengundang kehairanan di denai sanubari masing-masing.
“Eh Risyam, kenapa dengan habib kau tu? Dia baru lepas dikejar hantu ke?” cukup nakal sekali Era Kasmiran bersuara.
“Hisy mulut. Cuba jangan celopar sangat. Kita kat dalam hutan ni,” marah Husnarisyam yang terasa dipersendakan oleh Era Kasmiran.
“Pergilah tanya habib kau kenapa dia buat acara pecutan beratus-ratus meter tu? Apa yang dia nampak?” gesa Nisrinah pula.
“Aku tak sedap hatilah. Kau orang tengok muka Jhaz, pucat semacam.” Zunika pula melahirkan rasa mencengkam di lubuk sanubarinya.
“Kau tercegat apa lagi? Pergilah tanya. Ambik berat sikit tentang diri dia.” Aziham menolak Husnarisyam ke arah Jhaznarul.
“Habib, kenapa pucat semacam ni? Habib nampak apa?” akhirnya Husnarisyam terpaksa mengalah dengan kehendak rakan-rakannya untuk bertanyakan Jhaznarul apa yang telah terjadi pada jejaka itu.
“Haahlah Jhaz. Kau ni kenapa ya? Dahlah buat acara pecutan, muka tu pula pucat macam mayat.” Syed Dahuri tidak dapat menahan rasa yang mencengkam di dalam hati lalu diluahkan dengan kadar segera. Boleh membusut nanah di kotak mindanya jika diasak membuat spekulasi yang bukan-bukan.
“Hisy, mayat-mayat jangan sebutlah dalam hutan ni. Kau ni Dahuri, mulut macam tong gas yang bocor. Suka hati dia saja nak cakap apa pun. Tak berlapik pula tu.” Zularman menjegilkan matanya buat Syed Dahuri yang bermulut lancang ketika itu.
Syed Dahuri mengangat jari telunjuk dan jari hantunya menandakan ‘peace’ buat Zularman. “Maaf. Aku tak sengaja.” Syed Dahuri segera memohon maaf.
“Tak sengaja konon. Dah memang dasar mulut hampeh tu memang tak boleh nak cover.” Khirulnizan pula menokok usikan agar menjadi lebih menarik lagi untuk mengenakan Syed Dahuri.
“Eh, sudahlah. Kalau kau orang asyik bertengkar, macam mana kita nak tahu masalah Jhaz.” Zunika tidak tahan lagi dengan sikap kaum Adam itu lalu terus mematikan usikan yang semakin berlanjutan.
“Jhaz, ada apa-apa yang kau nak beritahu kami?” tanya Aziham memfokuskan semula pandangannya ke arah Jhaznarul.
Jhaznarul menarik nafasnya dalam-dalam dan panjang-panjang sebelum menghela keluar semula. Beberapa kali juga Jhaznarul berkelakuan begitu sehingga kehairanan di hati teman-temannya membusung dengan agak parah. Entah apalah yang telah Jhaznarul lalui sebentar tadi.
“Habib, kenapa diam aje ni? Cakaplah pada kami, apa yang habib nampak atau apa yang terjadi pada habib?” Husnarisyam semakin menggesa Jhaznarul selagi pertanyaannya tidak berjawab.
“Tak ... tak ada apa-apa. Kau orang masuk tidur dululah.” Jhaznarul cuba mengelak dari terus disoal bertalu-talu begitu. Ukiran senyuman juga cuba dilakarkan walaupun kelihatan seolah-olah seperti terpaksa. Sebentar kemudian, kelihatan Jhaznarul mengambil wuduk dengan air kosong yang masih bersisa di dalam teko. Kemudian, dia masuk ke dalam khemah sambil melagukan ayat-ayat suci al-Quran tanpa menghiraukan rakan-rakannya yang masih tercengang dengan perubahan sikapnya sebentar tadi.
“Peliklah sikap Jhaz, kau orang tak rasa begitu ke?” Era Kasmiran cuba mencernakan fikiran teman-temannya yang lain dengan apa yang terhidang di mata mereka.
“Aku rasa, pasti ada sesuatu yang dah berlaku pada Jhaz. Kalau tak, dia tak mungkin ketakutan macam tu. Tak nampak riak mukanya dia, pucat betul.” Nisrinah bersetuju dengan pendapat teman-temannya yang lain.

No comments: