“Kita di mana ni?” suara Era Kasmiran telah mengejutkan teman-temannya yang masih diulit mimpi. Akibat keletihan, mereka semua tidak sedarkan diri.
Aziham juga turut membuka matanya. Kantung matanya masih berbaki sisa mengantuk. Namun, dia tidak mahu terus tidur. Aziham juga melebarkan sayap matanya ke sekeliling dan seketika kemudian dia teruja apabila melihat pantai.
“Eh, kita ada di tepi pantailah. Firdee, bila masa kau berhenti kat sini?” tanya Aziham dengan mata yang bercahaya.
Sementara itu, Husnarisyam, Nisrinah dan Zunika juga sudah bangun dari lena masing-masing. Mereka meregangkan otot seketika sambil melepaskan menguap yang masih bersisa.
“Entahlah. Aku mengantuk sangat semalam. Tak larat lagi nak drive jauh-jauh. Aku tengok pot ni macam okey aje, aku berhentilah. Lagipun, nyawa orang-orang yang aku sayang lebih berharga.” Firdee Aqasha melontarkan kenyitan matanya buat teman-teman yang berada di sisinya.
“Astagfirullahalazim,” tiba-tiba Jhaznarul mengucap panjang. Beberapa kali dia meraup wajahnya.
Teman-teman yang lain sedikit kehairanan melihat tingkah Jhaznarul. Mereka tidak faham kenapa Jhaznarul kelihatan begitu tegang sekali.
“Kau ni kenapa Jhaz? Tegang semacam saja aku tengok? Cer citer ... cer citer ...” Khirulnizan melantunkan lawak jenakanya di awal pagi.
“Cer citer kepala hotak kau. Kita dah terkantoi Subuh ni. Aku rasa macam tak lengkap aje hari aku.” Jhaznarul menggeleng-gelengkan kepalanya. Masih menyesal kerana hanyut dek hasutan syaitan yang menutup kantung mata mereka dari bangun mengerjakan solat Subuh. Ini semua akibat dari rasa mengantuk yang teramat sangat. Jhaznarul menarik nafasnya dalam-dalam.
Bahu Jhaznarul ditumbuk mesra oleh Firdee Aqasha. “Kau ni menakutkan kami sajalah. Ingatkan apalah tadi hal yang besar sangat. Dah darurat, nak buat macam mana. Nanti kita kadho ajelah. Apa susah.” Firdee Aqasha melayangkan sengihan mesranya buat Jhaznarul.
Mencebik Jhaznarul mendengar frasa yang meniti dari bibir Firdee Aqasha.
“Senangnya kau cakap. Perintah ALLAH boleh kau buat main-main ya?” Jhaznarul tidak berapa gemar dengan sikap temannya itu.
“Ooppss. Maaflah aku tak sengaja. Aku ter ...” Firdee Aqasha masih menayang wajah orang yang tidak berdosa.
“Kami nak mandi dulu ni. Kau orang bawa keluar apa-apa yang patut untuk sarapan kita pagi ni.” Era Kasmiran memecahkan suasana yang tegang itu, lalu mengajak teman-teman Hawanya untuk bermandi-manda.
Sebaik sahaja kaum Hawa selesai mandi, mereka mengarahkan kaum Adam pula untuk membersihkan diri. Sementara itu, kaum Hawa telah menyediakan sandwich tuna. Sarapan yang mudah dan ringkas. Malas hendak masak sarapan yang berat-berat. Nanti kalau terjumpa mana-mana warung, mereka akan singgah untuk mengisi perut masing-masing. Air pula, mereka hanya meneguk air mineral yang masih lagi berbaki.
Mereka bersantai-santai sekejap sebelum beredar dari tepi pantai yang indah itu. Jika tidak dapat menikmati percutian mereka di dalam hutan, biarlah mereka menikmati baki percutian yang ada di tepi pantai untuk seketika. Nasib baik pantai ini jauh dari Hutan Simpanan Kaffi. Masing-masing sudah mampu menarik nafas lega.
“Yang kau tertonggeng-tonggeng tu cari apa Azi?” tegur Zunika ketika melihat Aziham sedang mencari sesuatu di dalam van sewa mereka.
“Aku cari beg plastik. Tadi masa mandi, aku tengok kepah besar-besar. Aku teringin nak makanlah. Nanti aku nak suruh ibu aku masak kepah bercili.” Aziham masih mencari beg plastik walaupun mulutnya segera menjawab pertanyaan Zunika. Manakala hatinya pula teruja melihat saiz kepah yang terlalu besar itu. Tidak pernah pun di dalam seumur hidupnya melihat saiz kepah sebesar itu. Di tempat lain tidak mungkin ada.
“Kau ni memang hantu kepahlah.” Zunika menggeleng-gelengkan kepalanya melihat telatah Aziham.
“Dah tahu tanya buat apa?” akhirnya Aziham menemui beg plastik bersaiz besar lalu dia berlari ke tepi pantai semula dengan satu tujuan iaitu mengutip kepah bersaiz besar itu.
“Eh, Azi nak ke mana tu?” tanya Zularman pelik dengan tingkah kekasihnya.
“Dia nak pergi kutip kepah. Kau bukan tak tahu dia tu memang hantu kepah.” Zunika menjawab segala kemusyikilan Zularman membuatkan teman-teman yang lain berada di situ tersengih lucu.
“Hah, kau tak nak kutip kepah Jhaz? Kau pun hantu kepah jugak, kan?” tiba-tiba soalan Nisrinah melorong ke arah Jhaznarul yang seangkatan dengan Aziham. Jika ke mana-mana warung, pasti kepah akan mereka cari dahulu. Entah apalah yang sedapnya kepah itu.
“Malaslah. Aku tak ada mood nak kutip kepah hari ni. Aku masih lagi teringat kejadian semalam.” Jhaznarul meluruskan pandangannya ke arah laut yang biru itu. Terundang sedikit kedamaian di dalam hatinya.
“Jangan ungkitlah peristiwa semalam habib. Orang dah nak lupakan. Cukup ngeri. Pertama kali berhadapan dengan situasi macam tu.” Husnarisyam menegah Jhaznarul dari terus mengungkit apa yang telah mereka alami pada malam semalam. Jhaznarul akhirnya mengalah pada kehendak Husnarisyam. Roman wajah masing-masing masih lagi terpalit dengan kengerian yang mereka alami.
Sambungan Di : http://ilham.karangkraf.com/
No comments:
Post a Comment