Saturday, February 23, 2008

Cara Saya Menggali Ilham ....

Bagaimana Anda Mendapat Ilham? Pertanyaan yang sering ditanyakan kepada mereka yang bergelar PENULIS. Here I come ... Begini Caranya Aku Mendapat Ilham. Setiap Penulis Mempunyai Cara Yang Berbeza dan Ini Cara Aku.


Pertama sekali, sebelum aku menghasilkan sebarang karya tiga tahun yang lalu ... aku membuat sedikit kajian tentang novel yang bagaimana akan mendapat sambutan di pasaran. Jadi, aku membeli seberapa banyak novel yang terlaris di beberapa penerbitan yang terdapat di pasaran untuk mengkaji corak penulisan mereka. Setelah mendapat ilham daripada pembacaan novel-novel mereka, aku membaca pula buku-buku yang memberi panduan untuk menulis novel. Setelah yakin dengan kebolehan diri sendiri untuk menghasilkan novel yang pertama ... barulah aku mula mengorak langkah.

Sebelum memulakan sebarang cerita ... pertama yang penting sekali untuk menghasil karya ialah kita mesti tahu temanya yang akan kita persembahkan kelak. Tema adalah ketua kepada sesuatu karya untuk menghasilkan jalan cerita yang sepenuhnya. Setelah mendapat tema, kita mestilah tentukan watak-watak yang akan berlakon dalam novel kita. Berapa banyak watak yang harus ada dan siapakah mereka. Nama kepada watak dan perwatakan ini, anda boleh dapati dengan membuka buku panduan telefon ataupun di mana sahaja yang anda pergi dan melihat nama itu sesuai untuk novel anda. Nama juga adalah penting dalam sesuatu novel untuk menarik perhatian pembaca. Jika dilihat pada setiap novel aku, sudah pasti nama-nama yang aku guna jarang dilihat pada novel-novel orang lain. Jika ada pun nama yang serupa, itu cuma watak sampingan sahaja.

Kemudian, latarbelakang tempat sesuatu cerita yang akan dihasilkan juga penting sama ada di dalam negeri ataupun di luar negeri. Setiap novel, anda haruslah mencari latarbelakang tempat yang baru agar tidak stereotaip. Aku tidak menafikan, novel aku banyak juga berlatarbelakangkan tempat di Pulau Pinang dan Kuala Lumpur. Tetapi Insyaallah ... dalam novel yang akan datang aku akan cuba lari daripada berlatarbelakangkan Pulau Pinang ataupun Kuala Lumpur. Aku memilih tempat-tempat ini adalah kerana aku lebih arif tentang lorong larahnya disebabkan aku berasal dari Pulau Pinang dan pernah belajar di Kuala Lumpur.

Setelah anda tentukan ketiga-tiga subjek di atas, kemudian barulah anda datang kepada intipati jalan cerita yang ingin anda persembahkan. Menghasilkan jalan cerita bukanlah mudah seperti yang disangkakan kerana anda harus meneliti bagaimana ia harus bermula, bagaimana ia mencapai tahap klimaks dan bagaimana ia akan berakhir. Aku juga kadang-kadang menghadapi masalah di bahagian ini kerana bermacam – macam dugaan yang terpaksa aku tempuh sebelum berakhirnya sesuatu cerita novel aku. Apa yang aku buat untuk mendapat jalan cerita keseluruhannya adalah dengan berangan dahulu untuk mencari ilham. Setelah mendapat ilham, aku akan berangan lagi untuk membina bab-babnya. Setelah bab-babnya aku bina, akan aku coretkan setiap bab itu ke dalam sebuah buku nota yang kecil. Kemudian sahaja, aku akan memperpanjangkan bab-bab itu dengan menaipnya di komputer dan juga memasukkan dialog-dialog serta jalan cerita yang telah aku fikirkan. Namun bukan mudah untuk menghabiskan sesebuah novel kerana di bahagian inilah anda akan berhadapan dengan pelbagai cabaran yang akan menguji tahap kesabaran anda. Hehehe ...

Cabaran – cabaran yang akan berhadapan dengan anda ialah kemalasan, kehilangan mood, keletihan ataupun ketandusan idea. Musuh kita yang paling utama yang akan mempengaruhi ketika kita menyiapkan novel adalah kemalasan, kehilangan mood pula akan datang setelah kemalasan menguasai diri kita ataupun jika kita diganggu ketika berkarya. Mood adalah penting untuk kita membina mood watak dan perwatakan kita dalam novel yang sedang disiapkan. Kadang-kadang, kita harus berlakon bersama-sama watak yang telah kita cipta untuk mendapat impak perasaan yang berkesan. Sebab itulah aku suka berkarya di waktu malam kerana pada waktu itu tidak akan ada sebarang gangguan yang akan menghalang aku daripada terus berkarya. Untuk menghadapi dengan kemalasan, kita harus menentangnya daripada menguasai diri agar kita dapat menyiapkan karya yang telah ditetapkan tempohnya. (Lagi pening jika didesak oleh penggemar karya kita yang inginkan buah tangan terbaru daripada kita. Hehehe). Jika kita ketandusan idea ... kita harus berhenti daripada mengadap komputer, dan lebih baik kita masuk tidur. Ketika hendak tidurlah ... kita harus berangan lagi akan jalan cerita yang seterusnya untuk cover balik idea yang hilang pada hari itu. Hanya dengan cara ini, anda boleh meneruskan cerita yang telah anda mulakan.

Selain itu ... jangan abaikan apa yang berlaku di sekeliling anda sama ada ia kisah berat ataupun ringan kerana ia juga boleh menjadi subjek kepada cerita yang sedang anda karang. Kadang-kadang, apa yang kita dengar dan apa yang kita lihat boleh juga menjadi bahan untuk karya kita. Adalah lebih baik jika kita berkarya melalui pena jiwa kita tanpa ada paksaan kerana jika kita terpaksa melakukannya, hasil yang didapati bukanlah sesuatu yang terbaik. Sebaliknya jika kita lahirkan karya itu dengan sepenuh hati dan daripada jiwa kita ... ia akan menjadi satu citra yang terindah. Mungkin anda boleh mulakan karya anda tentang apa yang berlaku disekeliling anda ataupun daripada perasaan anda sendiri. Bukan bertujuan untuk mendedahkan rahsia peribadi tetapi untuk memberi pengajaran kepada mereka yang lain agar mendapat iktibar daripada pengalaman sendiri ataupun kisah yang telah diceritakan kepada anda. Kadang-kadang, kita tak dapat meluahkan perasaan kita melalui mulut dan inilah masanya untuk meluahkan apa yang terbuku di dalam hati melalui tinta. Bakat yang dikurniakan, jangan disia-siakan.

Yang paling penting untuk menghasilkan karya dan menyiapkannya adalah minat. Jika kita minat untuk ke arah itu, tiada siapa boleh menghalang kita walaupun pelbagai dugaan dan cabaran datang menghuni diri. Apa yang orang nak kata ... biarkan, yang penting kita gembira melakukannya. Ingatlah ... memang semua orang boleh menulis tetapi bukan semua orang boleh menjadi penulis ataupun pengarang. Jadi ... tunggu apa lagi? Ayuh! Mulakan langkah pertama anda untuk menghasilkan karya sendiri.

Selamat Berkarya untuk semua! Salamzzz!

4 comments:

♥Pu3ImaŊeisyÆ♥ said...

Yup.. tiap orang pasti punya cara dalam mengorek ilham sebelum terhasilnya sesebuah karya... ada orang korek ilham tengah malam.. dalam bilik ada pulak yang korek ilham tengah hiruk pikuk keadaan sekeliling.. walau apa pun kaedah dan cara, yang penting ilham itu tetap anugerah dari-Nya dan bukan semua boleh memperolehi biarpun dikorek dari kerak bumi sekali pun justeru tiap seorang dari kita dikurniakan sesuatu keistimewaan yang berbeda sesama sendiri.....

ManjLara said...

Boleh ke kita kedekut dgn ilmu? sedangkan itu semua pinjaman Tuhan. Menulis itu sendiri pun salah satu cara menyebarkan ilmu :)

Thanks for sharing, Ebriza yg akak kenal mmg tak kedekut ilmu.

dS said...

Terima kasih, Abby! Info yang sangat bagus n actually, dah lama kak dewi nk minta tips seperti ini.. cuma.. segan aje.. hihihi..

EBRIZA AMINNUDIN said...

Pu3Imanesya - Yup memang betul apa yg hang kata. Aku sokong 100%

Manjlara - Kak, ada jugak yang kedekut ilmu dlm nak sharing cara menulis. Tapi saya tak naklah sebb tak nak ilmu yg saya ada tak berkat.

Dewi - Lehai kak dewi ... saya ni pun baru setahun jagung dlm dunia penulisan. Lain kali kalau nak apa2 khabarkan saja. Jangan segan2 sebab kalau segan sesat jln kak oii .. apa yg boleh kongsi kita kongsi bersama. Ye kak ..