Tuesday, September 8, 2015

Selepas Kubur Bernyawa akan muncul pula ATUK


Selepas Kubur Bernyawa mencatat kejayaan yang tertinggi kini saya muncul dengan naskah seram yang terbaru iaitu ATUK (Cover sementara). Saya mengharapkan ATUK dapat mengulangi kejayaan Kubur Bernyawa.

Sedikit Sinopsis ATUK untuk Anda:
Mereka bukan pemburu hantu. Jauh sekali penjejak hantu. Mereka adalah penyiasat paranormal yang memenuhi undangan pelanggan untuk menyiasat sesuatu tempat sama ada benar-benar berhantu ataupun tidak. Namun ketika sedang menjalan tugas yang terpikul di bahu masing-masing, sesuatu yang tidak terduga telah berlaku kepada mereka. Sesuatu yang tidak pernah berlaku selama mereka menjadi penyiasat paranormal. Dapatkah mereka melepaskan diri dari cengkaman roh-roh atuk yang berkeliaran di dalam sebuah bangunan usang yang sedang disiasat oleh mereka?

“ALLAH, kenapa pintu tak boleh buka. Aku tak mahu terperangkap di sini. Aku kena keluar dari sini seberapa segera. Kami kena tinggalkan tempat ni.” Nurhirmawaty

“Hir ... ma ... mu ... lut a.... ku han... cur.” Murazean

“Hirma, tolong aku. Mereka tak nak lepaskan aku. Puas aku merayu suruh mereka berhenti tapi mereka tak mahu. Tolong aku, Hirma. Aku dah tak berdaya lagi.”  Azidi

“Tolong! Jangan seksa aku begini lagi. Aku sakit. Kenapa kamu seksa aku?” Aisy Yumni

“Tidak!!! Ini semua mainan ilusi. Aku tak mungkin berada di lembah berapi.” Sazrin

“Jangan takut nak, atuk datang untuk menamatkan penderitaan anak.” Roh atuk

“Saya tak menderita atuk. Jangan buat saya macam ni!” Edinur


Saturday, September 5, 2015

NOVELET PERTAMA SAYA

PERMAINAN MAUT merupakan sebuah novelet LIMITED EDITON yang menggabungkan 4 orang penulis iaitu saya, Helmi Affendy, Syasay Bellyna dan Aida Adia. Buat peminat genre seram, anda pasti akan teruja dengan kehadiran novelet seram ini. Cepat-cepatlah whatssap di nombor yang tertera di bawah agar anda menjadi orang yang pertama memilikinya.




Selepas Kubur Bernyawa

Assalamualaikum buat semua pengunjung blog saya.
Maaf andai sudah setahun lamanya tidak update apa-apa di dalam blog ini lantaran kekecewaan melanda di hati. Setelah tenang, maka saya kembali berinteraksi dengan anda semua.

Di sini saya ingin mencoretkan ribuan terima kasih kerana sudi menjadikan Kubur Bernyawa satu kenyataan apabila ia memasuki cetakan ketiga. Alhamdulillah dengan berkat doa semua.

Buat semua watak-watak di dalam Kubur Bernyawa, saya mohon maaf andai ada yang tidak suka namanya diabadikan di dalam naskah ini, saya akan belajar sesuatu di dalam Kubur Bernyawa bahawa bukan semua suka namanya diabadikan di dalam naskah ini.

Buat watak utama saya Jhaznarul dan Firdee, watak anda sebaik-baik watak saya lakarkan di dalam Kubur Bernyawa. Maaf andai tidak meminta izin terlebih dahulu. Semoga anda semua terhibur dengan naskah ini. 

Monday, April 7, 2014

Wednesday, January 8, 2014

Tuesday, January 7, 2014

Sunday, January 5, 2014

Kubur Bernyawa : Bab 15 : Jhaznarul dibawa berjumpa Ustaz Shafiee





Sejak kebelakangan ini, kesihatan Jhaznarul agak merosot akibat kerap diganggu oleh roh nenek tua itu dan sering meracau di dalam tidurnya. Kadang-kadang Zularman yang tidur di sebelah Jhaznarul pun kecut perut apabila jejaka ini bertindak di luar kawalan. Seringkali Zularman mengejutkan Jhaznarul dan memintanya untuk solat sunat dan melagukan ayat-ayat suci al-Quran. Tidur Jhaznarul hanya tenang dalam dakapan naskah al-Quran. Dirinya juga bisa lega apabila berada di dalam surau atau masjid. Namun, apabila dia bersendirian, pasti dirinya akan diganggu lagi.

Keadaan Jhaznarul ini cukup merunsingkan teman-temannya. Sudah berbuih mulut mereka menasihati diri Jhaznarul agar melupakan apa yang telah terjadi, namun nasihat mereka bagaikan mencurah air ke daun keladi. Jhaznarul hanya memasukkan nasihat mereka di telinga kanan dan mengeluarkannya selepas itu di telinga kiri.

Husnarisyam kelihatan risau dan resah melihat keadaan Jhaznarul yang sudah mula cengkung ketika mereka semua berbual di hadapan pintu pagar rumah kaum Adam pada malam itu. Husnarisyam sudah tidak sanggup lagi memendam rasa.

“Aku tak sampai hatilah tengok Jhaz macam tu. Keadaannya benar-benar berubah. Sudah tak ceria, mukanya pula pucat macam zombi. Apa kata kalau kita bawa dia jumpa ustaz? Manalah tahu ustaz tu boleh ubatkan Jhaz kalau benar dia tersampuk.” Husnarisyam sudah tidak sanggup lagi melihat keadaan kekasihnya begitu. Dia rindukan keceriaan Jhaznarul yang dahulu. Dia rindukan panggilan manja Jhaznarul. Dia rindukan segala-galanya tentang Jhaznarul ketika jejaka itu sihat.

“Aku rasa betul juga apa yang Risyam cakap. Keadaan dia nampak teruk sekali. Mungkin dengan perubatan secara tradisional Islam dapat mengeluarkan Jhaz dari segala kemurungan.” Zunika bersetuju dengan cadangan Husnarisyam.

“Apa kata kau orang? Kita tak boleh biarkan Jhaz macam ni. Aku tak nak dia kantoi dalam peperiksaan tahun akhir. Aku nak kita semua grad sekali.” Era Kasmiran pula menyatakan pendapatnya.

“Nampaknya, kita kena bawa juga Jhaz untuk jumpa dengan ustaz. Apa kata kalau kita minta tolong Ustaz Shafiee di depan rumah tu. Aku rasa dia mungkin tak ada masalah untuk membantu kita.” Syed Dahuri tidak membantah apa yang dicadangkan oleh kaum Hawa.

Sambungan Di :
http://ilham.karangkraf.com/karya-detail.aspx?idk=1009&idc=8037

Tuesday, December 31, 2013

Tadaa .. Cover Kubur Bernyawa Dah Keluar




RM 19.90
ISBN: 978-967-0535-59-3
~480 hlm

Sinopsis :

Sekumpulan remaja dari Kolej Imanshah telah mengadakan perkhemahan di Hutan Simpan Ka ketika bermulanya cuti semester pertama di tahun yang terakhir itu. Asalnya mereka ingin menenangkan fikiran sebelum menempuhi semester yang terakhir.

Namun apa yang dihajati tidak menjadi kenyataan apabila mereka telah membangkitkan roh yang sudah lama tertanam di situ. Bermula dari situ, mereka terpaksa menempuhi episod baru apabila roh yang telah dibangkitkan itu sering mengganggu mereka semua.

Apakah yang roh itu inginkan daripada mereka? Kenapa roh itu tidak mahu melepaskan mereka?

“Tapi macam mana batu nisan boleh ada kat sini? Takkan kubur sesat kot? Mustahil. Siapa yang pacakkan batu nisan kat tengah-tengah hutan ni. Ke ada orang nak menakutkan pengunjungnya?” - JHAZNARUL

“Cu...buangkan buku tu cu. Tolong nenek cu... Nenek merayu, tolong nenek cu...” - ROH NENEK TUA

“Cepatlah kita duduk keliling kubur sesat ni. Lepas tu kita seru nenek tua tu agar dia boleh berikan kita nombor ekor. Cepat sikit jadi kaya.” - FIRDEE AQASHA

“Hei, siapa yang bawa dia ke sini? Cepat siap! Tercegat apa lagi? Kau orang nak mampus 
ke? Aku masih sayangkan nyawa aku.” - ZUNIKA

Thursday, December 12, 2013

KUBUR BERNYAWA: BAB 14: ROH NENEK TUA EKORI JHAZNARUL

Zularman mencari roh nenek tua yang didakwa oleh Jhaznarul ada di dalam rumah mereka. Begitu juga dengan teman-teman yang lain. Namun, tidak ada seorang pun daripada mereka yang melihat nenek tua itu. Mereka berpandangan sesama sendiri. 

Agaknya Jhaznarul terlalu memikirkan hal nenek tua itu sehingga akalnya dimanipulasikan oleh perasaannya sendiri.

Kini mata teman-teman serumahnya meluruskan tepat ke anak mata Jhaznarul. Jhaznarul pula membalas pandangan mata itu tanpa rasa bersalah. Sememangnya dia ada melihat nenek tua itu, masakan dia mahu menipu di dalam perkara sepenting ini.

“Jhaz, cuba jangan melebihi had kalau hendak menakutkan kami pun. Mana ada nenek tua tu di sini? Kau sajakan nak main-main dengan kami untuk dapat perhatian kami?” Firdee Aqasha mula berang dengan sikap Jhaznarul.

“Aku tak main-mainlah. Memang aku nampak nenek tua tu duduk di sofa. Kau ingat aku suka main-main perkara macam ni? Tak ada kerja.” Jhaznarul juga tega menahankan pendapatnya sendiri.

“Mana nenek tua tu? Mana? Ada kau lihat kat mana-mana sekarang? Tak ada kan? Jangan nak menakutkan kamilah, Jhaz? Aku dah cakap kat kau kan, jangan terlalu memikir sangat hal tu tapi kau degil. Sekarang tengok, apa dah jadi pada diri kau?” Firdee Aqasha menunjukkan penampilan diri Jhaznarul di cermin sejak pulang ke kolej semula. Teruk.

“Kau sedar tak yang kau tu dah tak terurus sekarang ni? Muka selebet, penampilan tak terjaga, cengkung, berkhayal, apa ni Jhaz? Bangun Jhaz, bangun. Jangan seksa diri kau lagi. Nenek tua tu tak wujud di alam nyata tapi kau yang mewujudkannya sehingga ternampak di mata kami semua,” teruk Jhaznarul ditengking dengan Firdee Aqasha pada malam itu. Sebetulnya Firdee Aqasha sudah tidak tahan lagi dengan sikap Jhaznarul yang sering melihat roh nenek tua sejak pulang dari perkhemahan tempoh hari.

“Aku tak tahu mana dia pergi tapi aku memang nampak dia sini. Dia sering ganggu aku. Susah aku nak halau dia. Kau yang bertanggungjawab membawa dia pada kita.” Jhaznarul membalas serangan kata Firdee Aqasha akibat terlalu tertekan dengan situasi yang dialaminya.

“Kau jangan letakkan kesalahan seratus peratus pada aku, Jhaz. Kalau aku yang bertanggungjawab, kenapa dia ganggu kau sorang saja? Kenapa dia tak ganggu aku sekali? Cukuplah Jhaz, kita dah final year tau? Aku tak nak terkandas di tahun akhir.” Firdee Aqasha semakin tegas.

Sambungan Di : 
http://ilham.karangkraf.com/karya-detail.aspx?idk=1009&idc=8005

KUBUR BERNYAWA: BAB 13 - SAKITNYA JIWA

“Alhamdulillah. Sampai juga kita di rumah dengan selamat. Syukur.” Zunika melafazkan rasa syukurnya pada Yang Maha Satu. Barulah rasa selamat tersemat di dalam diri masing-masing.

“Eh, kau orang nak ke mana tu?” Era Kasmiran pantas mengajukan soalan apabila dilihatnya kaum Adam sudah hendak masuk rumah.

“Nak baliklah. Berehat. Penat tadi masih melekat tau,” balas Firdee Aqasha.

“Oh, kau orang aje penat? Habis kami ni jalan dalam ais tadi? Ingat tak penat ke? Jom ke taman dulu. Ada hal sikit nak bincang.” Era Kasmiran telah membuat keputusan buat mereka semua. Antara mahu dengan tidak, terpaksalah mereka membuntuti langkah Era Kasmiran menuju ke taman permainan yang berada betul-betul di hadapan rumah sewa mereka. Rumah sewa mereka ini berbentuk bulatan mengelilingi taman permainan yang terbentang luas di hadapan mata. Unikkan?

“Apa yang sayang nak bincang sangat ni?” tanya Firdee Aqasha dengan rasa malas sekali. Rasa mengantuk sudah pun menyapa tubir mata masing-masing dan meminta mereka untuk terus melakukan aktiviti kuak lentang di atas katil sendiri.

Mata teman-teman yang lain juga terus melorong ke arah Era Kasmiran. Era Kasmiran menarik nafas panjang-panjang sebelum meluahkan sebarang kata. Hal ini akan membabitkan hati dan perasaan orang yang tersayang juga. Era Kasmiran memulakan lafaz bismillah di dalam hati serta menetas senyuman di pinggir bibir.

“Kau orang perasan tak? Setiap kali ada Jhaz dan Firdee, pasti nenek tua tu akan muncul di depan kita. Aku rasa kehadiran nenek tua tu ada kaitanlah dengan mereka berdua ni,” setelah mengumpul kekuatan begitu lama, barulah Era Kasmiran mempunyai keberanian untuk mengeluarkan fakta dan frasa.

“Aku memang dah lama perasan akan hal ni. Tapi aku malaslah nak cakap. Takut ada orang terasa hati pula,” sampuk Nisrinah dengan pantas tanpa sempat kaum Adam membuat pembelaan diri.

“Aku yakin, lepas ni pasti hidup kita akan diganggu oleh kehadiran nenek tua tu. Ini semua Firdee punya pasallah. Kenapa dia bawa nenek tua pada kita.” Zunika tidak melepaskan peluang untuk menuduh Firdee Aqasha yang punya angkara.

Sambungan Di: 
http://ilham.karangkraf.com/karya-detail.aspx?idk=1009&idc=8001

Sunday, December 8, 2013

KUBUR BERNYAWA : BAB 12 - O'oo Dia Dah Sampai Kolej

 “Aku cukup tak sukalah kalau ada kelas malam. Kenapalah pensyarah bahasa Melayu kita tu part time aje. Kan bagus kalau dia full time,” rungut Zunika ketika mereka bersepuluh sedang berjalan di dalam kegelapan malam menuruni bukit kolej untuk menuju ke perhentian bas/tren laju sesudah tamat kelas pada malam itu.

“Tapi aku suka kalau ada kelas malam,” berlainan pula jawapan yang diberikan oleh Era Kasmiran. Empat pasang mata melorong ke arah Era Kasmiran bersama dengan kenyataannya itu.

“Kenapa kau suka jika ada kelas malam?” Aziham ingin tahu. Pelik betul dia dengan sikap Era Kasmiran. Entah apalah yang syoknya kelas malam, dia sendiri pun tidak tahu.

“Sebab, kalau ada kelas malam, bolehlah aku menikmati keindahan sang purnama ketika balik ke rumah. Aku suka sangat dongak ke langit waktu-waktu begini. Cantik hiasan dada malam dengan bintang bergemerlapan selain purnama yang menawan.” Era Kasmiran menjelaskan kepada mereka yang sedang memasang telinga dengan panjang lebar.

“Kalau kau orang tak percaya, cuba kau orang dongak ke atas. Lihat keindahan ciptaan Sang Penciptanya buat seketika. Kau orang akan rasa insaf dengan apa yang terbentang di hadapan mata. Tapi ingat, jangan dongak dengan kaki berjalan. Nanti tak pasal-pasal terus tergolek ke bawah,” sempat lagi Era Kasmiran berpesan sesudah menyambung bicaranya.

Keempat-empat pasang mata kini mendongak ke dada langit untuk menghayati keindahan yang tercipta untuk mereka yang menghuni di bumi tumpangan-NYA. Manakala kaum Adam pula masih setia mengekori pasangan masing-masing dari belakang. Sesekali, bibir mereka tersungging dengan senyuman di kala tercetus gelagat yang lucu daripada buah hati masing-masing. Macam-macam kerenah.

Sedang asyik mendongak memandang bintang dan bulan, tiba-tiba nafas Nisrinah seakan-akan tersekat ketika matanya tertancap pada sebatang pokok besar yang berada betul-betul di hadapan mereka. Seluruh tubuh badan Nisrinah menggeletar sakan bagaikan berada di dalam kawasan salji sahaja lagaknya, sedangkan malam itu tidak dingin langsung. Air liur yang menuruni rongga rengkung Nisrinah bagaikan berbatu. Sukar sekali perjalanannya. Tangan Nisirinah kelihatan menggapai-gapai teman yang berada di sebelahnya. Namun apabila jari-jemarinya tidak memegang sebarang lengan temannya, suara Nisrinah mula mengendur dalam menyeru nama sahabatnya.

“Miran ...” Beberapa kali Nisrinah memanggil nama Era Kasmiran sehingga teman-teman yang lain memandang pelik pada perubahan perlakuan Nisrinah di saat ini.

“Hei, yang kau panggil aku macam tu kenapa? Menakutkan sajalah, Nisrin.” Era Kasmiran menjegilkan matanya pada Nisrinah.

“Miran .... ini kau punya pasal suruh dongak lagi ke atas. Kalau kita balik terus tadikan bagus,” nada suara Nisrinah masih tidak berubah. Lagaknya bagaikan hendak menangis sahaja.

“Sweetie, kenapa ni? Apa yang tak kena?” cuak betul Syed Dahuri mendengar pada nada suara buah hatinya.

Nisrinah memandang Syed Dahuri dengan wajah yang paling cuak pernah dilihatnya. Suaranya seakan-akan hendak membanjirkan air mata.

“Cuba cakap pada darl, kenapa ni?” pujuk Syed Dahuri.

“Terus-terang terang sajalah. Tak payah nak nangis-nangis macam ni.” Zunika mula hilang sabar.



Thursday, October 31, 2013

KUBUR BERNYAWA: BAB 11: KEMBALI KE KOLEJ


Sedar tidak sedar, cuti semester pertama sudah pun berakhir pada minggu itu. Kini para pelajar Kolej Imansyah telah kembali ke rumah sewa masing-masing sebelum memulakan pengajian mereka semula pada hari Isnin.
Riuh sungguh suara anak-anak bujang yang menginap di rumah yang disewakan kepada mereka. Ketika sesi mengemas bilik dan rumah juga, mulut masing-masing bagaikan murai tercabut ekor. Bermacam-macam cerita yang dilagukan sehingga bingit telinga jiran-jiran yang mendengar. Sebuah rumah mereka hanya menyewa berlima sahaja. Malas hendak membuka tawaran menyewa beramai-ramai kerana takut tiada keserasian. Lagipun, mereka sudah selesa ke mana sahaja berlima.
Apa yang uniknya tinggal menyewa di situ, buah hati masing-masing juga menginap di kawasan perumahan yang sama. Merekalah yang mengajak kaum Hawa untuk menemani mereka di kawasan perumahan itu. Rumah kaum Hawa pula hanya selang beberapa buah rumah dari rumah mereka. Bagus betul perancangan yang telah diaturkan oleh kaum Adam ini. Tidak mahu berenggang langsung dengan buah hati masing-masing. Rindu sangatlah konon kalau berjauhan. Itu semua alasan kaum Adam yang sentiasa ingin berdekatan di sisi kaum Hawa.
Sebagaimana kaum Adam, kaum Hawa juga hanya menyewa berlima sahaja. Mudah hendak bergerak di dalam kumpulan tanpa ada suara-suara sumbang yang akan menyengat halwa telinga mereka. Mereka bahagia dengan aturan perjalanan kehidupan mereka pada saat ini. Siapa yang sanggup berjauhan dengan pakwe sendiri beb. Kan?
“Alhamdulillah. Akhirnya selesai juga kita mengemas rumah, kan?” Syed Dahuri menarik nafas lega melihat rumah sewa mereka kini teratur dan kelihatan begitu sempurna sekali.
“Syukur. Lepas ni bolehlah berjimba-jimba pula. He he he,” Firdee Aqasha menyengih nakal.
“Haa, adalah agenda dia tu,” sampuk Khirulnizan pula.
“Sudah pastilah. Dah penat-penat mengemas siang hari, malam hari mestilah kita nak hiburan untuk melepaskan lelah. Takkan kau orang tak rindu kot. Kerat jari akulah.” Firdee Aqasha masih melencong akal fikirannya.
Mereka hanya menyengih kerana Firdee Aqasha memang bijak membaca fikiran teman-temannya itu. Pantas sahaja jari-jemari Firdee Aqasha menekan nama Era Kasmiran setelah dia mengeluarkan telefon genggamnya dari kocek seluar. Dia menanti seketika sebelum mendengar suara halus lemak merdu menjawab panggilannya di talian sana.
“Assalamualaikum sayang. Buat apa tu?” begitulah nada romantis Firdee Aqasha ketika menelefon Era Kasmiran. Memang dasar buaya tembaga. Tapi senakal-nakal Firdee Aqasha, dia tidak pernah sekali pun menduakan Era Kasmiran. Bagus juga lelaki ini, kan?
“Waalaikumussalam yang. Baru habis mengemaslah. Penat giler,” adu Era Kasmiran.
“Alah, kita orang kat sini pun sama juga situasinya. Haa, apa kata malam ni kita keluar makan nak?” kail Firdee Aqasha.
“Berdua ke?” sengaja mahu mengusik si buah hati. Awal-awal lagi Era Kasmiran sudah tahu, tidak mungkin Firdee Aqasha akan keluar berdua dengannya. Selalunya mereka sering berdating secara berjemaah iaitu dengan empat pasangan lagi. Jadi jumlah keseluruhannya, lima pasangan akan keluar bertemu janji sekaligus.
“Alah, macam tak biasa pula. Lima pasanganlah. Berdua saja mana syok. Tapi kalau dah nikah, berdua barulah syok. Kalau ramai-ramai, nanti kacau angin pula. Kan sayang?” cukup bermakna sekali nada ucapan Firdee Aqasha.
“Gatailah yang ni. Pukul berapa nak keluar malam nanti?” cepat-cepat Era Kasmiran menukar topik perbualan. Bukan boleh dilayan sangat, karang otak warna rasmi Digi pula akan muncul di minda Firdee Aqasha.
Firdee Aqasha ketawa sakan apabila Era Kasmiran menukar topik perbualan. Senak pula perut sesudah dapat menyakat si buah hati. “Macam biasalah, lepas Maghrib.”
“Okey. Nanti sayang bagi tahu mereka yang lain,” janji Era Kasmiran.
“Okey sayang. Jumpa nanti ya. I love you.”
“I love you too, yang. Bye.”
Punat telefon genggam terus ditekan off. Mencebik sahaja teman-teman yang mendengar perbualan manja lagi miang Firdee Aqasha. Bermacam-macam ayat mereka mencemuh Firdee Aqasha tetapi jejaka yang berjiwa enteng itu hanya mengeraskan tubuh serta menulikan telinga. Lantaklah, buah hati dia, suka hati dialah hendak layan bagaimana pun. Kan?

Tuesday, October 8, 2013

KUBUR BERNYAWA : BAB 10: Apa Khaitan Jhaznarul Dengan Mamu Arries?


Sebaik sahaja mengerjakan solat Subuh dan bersarapan pagi bersama keluarga tercinta, Jhaznarul terus menghayunkan langkah kakinya menuju ke arah pokok besar yang terletak di hadapan tingkap dapurnya. Jhaznarul memandang ke arah pokok besar itu dengan teliti sambil berfikir hal semalam.

“Aku yakin lelaki yang ada di bawah pokok ni semalam adalah Mamu Arries. Buat apa dia datang rumah aku? Apa yang dia nak sebenarnya?” akal Jhaznarul ligat berputar untuk mencerna sesuatu yang dia sendiri tidak pasti.

“Tapi, bagaimana dia tahu rumah aku? Sedangkan kami baru pertama kali jumpa di motel miliknya. Mustahil dengan semudah itu dia tahu rumah aku di mana?” Jhaznarul tidak mahu mempercayai dengan frasa yang baru sahaja selesai dilakukannya.

“Uwargh!”

“Argh!” Terpelanting Jhaznarul ke belakang dengan sergahan secara tiba-tiba datang menjengah dirinya.

Orang yang menyergahnya pula, kini sedang ketawa geli hati. Jarang sekarang Jhaznarul hendak terperanjat begitu. Sungguh tidak terduga, sesekali Jhaznarul terperanjat, rupanya lebih buruk dari biasa.

“Kurang lemon betul kau ni, Firdee. Dah tak reti nak bagi salam? Nasib baik jantung aku sihat walafiat tau. Kalau tak, aku dah jadi arwah sebentar tadi,” marah sungguh Jhaznarul dengan tingkah laku Firdee Aqasha yang kadang-kala hendak bergurau tidak bertempat. 

Firdee Aqasha masih tidak mahu menghentikan ketawa yang terhambur. Namun, dia tidak pula lokek menghulurkan tangan untuk membantu Jhaznarul berdiri semula.

“Boleh tahan juga kalau kau dah terperanjat ya? Kalah Pak Belang dalam hutan tu. Sekali pandang macam muka cipanzi pun ada juga.” Firdee Aqasha makin besar pula gelak ketawanya

Masam sahaja muka Jhaznarul yang menerima lawak ekstrem daripada temannya itu. Seketika kemudian, Jhaznarul melipat kakinya ke betis Firdee Aqasha sehingga jejaka itu terhempas punggungnya ke tanah. Kali ini giliran Jhaznarul pula yang mengeluarkan ketawanya dari peti simpanan suara.

“Oh, balas dendam ya? Mangkuk punya kawan.” Firdee Aqasha menggosok-gosok punggungnya yang sakit terhentak.

“Muka kau pun ala mawas tadi. Ada hati nak sindir aku. Barulah adil, sama-sama bermuka ala-ala haiwan dari kumpulan tu.” Jhaznarul mengeluarkan sengihannya yang cukup berperisa sinis pada Firdee Aqasha.

“Sudah, sudah. Jangan nak mengata aku pula. Yang kau asyik belek pokok ni sedari tadi apasal? Pokok ni ada ala-ala rupa Risyam ke?” begitulah Firdee Aqasha yang tidak pernah sunyi dari mengusik teman-temannya. Dan yang kerap terkena di musim cuti semester, tidak lain dan tidak bukan Jhaznarullah, siapa lagi?

“Cakap sopan-santun sikit ya. Risyam aku lebih cantik dari semua makhluk ALLAH yang tercipta di sini.” Jhaznarul mempertahankan Husnarisyam. Iyalah, mana boleh kutuk awek orang sesuka hati, kan?

“Okey. Okey. Risyam dia soranglah yang cantik. Miran aku pun lawa jugalah. Tak nak kongsi cerita dengan aku?” Firdee Aqasha tidak mahu membangkitkan soal awek masing-masing sekarang kerana perasaan ingin tahunya lebih tinggi untuk dilunaskan. Semenjak pulang dari perkhemahan mereka, tingkah laku Jhaznarul sedikit berubah. Di atas faktor apa, masih tidak dapat dipastikan lagi.

Sambungan Di Sini: http://ilham.karangkraf.com/karya-detail.aspx?idk=1009&idc=7833

Tuesday, October 1, 2013

KUBUR BENRYAWA : BAB 9: Jhaznarul Mimpi Hantu

Pada malam itu, keluarga Jhaznarul mengajak keluarga Firdee Aqasha untuk menjamu selera di rumah mereka. Jhaznarul hendak melepaskan hajat Firdee Aqasha yang hendak makan kepah. Kuantiti kepah yang dibekalkan terlalu banyak, tidak terhabis oleh mereka sekeluarga.

Manakala keluarga Firdee Aqasha pula menerima pelawaan itu dengan senang hati. Lagipun, keluarga Firdee Aqasha dan keluarga Jhaznarul sudah bagaikan adik-beradik. Kedua ibu bapa mereka telah bersahabat sejak dari zaman muda lagi dan tradisi itu diteruskan pula oleh anak-anak mereka. Bertapa uniknya persahabatan antara dua buah keluarga ini.

“Alhamdulillah rezeki kita dapat makan kepah malam ni. Dah lama tak makan kepah.” Zafarul Zaini yang merupakan bapa kepada Firdee Aqasha mengucap syukur dengan rezeki kurniaan ALLAH swt.

“Kebetulan Jhaz bawa balik banyak, apa salahnya kalau kita saling berkongsikan? Kami sekeluarga tak terhabis kalau nak makan kepah ni,” balas Fizaham pula (bapa kepada Jhaznarul).

“Nasib baik nenek tua tu berikan kau buah tangankan? Kalau tak memang tak merasalah makan kepah malam ni,” galak Firdee Aqasha mengusik Jhaznarul. 
Manakala Jhaznarul pula menjeling tajam pada Firdee Aqasha. Hantu betul. Dalam diam dia kenakan aku. Jhaznarul pura-pura tidak dengar dengan usikan Firdee Aqasha dan meneruskan suapan isi kepahnya yang terlalu manis. Puas dapat makan kepah bersaiz besar malam ini.

“Baik betul nenek tua tu yang berikan kau kepah, Jhaz. Kita patut berterima kasih pada nenek tua tu.” Muzie Azirah ibu kepada Jhaznarul menyokong kata-kata Firdee Aqasha membuatkan sahabatnya itu melukis segaris senyuman di atas bibir.

Haah. Berterima kasih sangatlah. Kalaulah ma dan pa tahu apa yang dah jadi pada kami semua, pasti ma dan pa pun takkan berterima kasih pada nenek tua tu. Hee ... nak kena lunyai juga si Firdee ni. Mulut celopar betul sama dengan perangai hantu dia. Kutuk Jhaznarul di dalam hati.

“Betul tu Jhaz. Kita patut berterima kasih pada dia.” Firdee Aqasha sengaja menyimbah minyak ke dalam api yang sedang menggelegak naik.

“Kau pun patut berterima kasih pada dia juga. Kalau tak, mana mungkin kau dapat makan kepah yang sedap ni,” dalam selamba Jhaznarul memulangkan paku buah keras pada Firdee Aqasha membuatkan jejaka itu menetas senyuman.

Setan punya Jhaz. Senyap-senyap dia kenakan aku. Firdee Aqasha tidak bersuara lagi. Hidangan malam itu terus dinikmati dengan penuh rakus.

Ibu bapa kedua buah keluarga itu, berbual sakan sambil menikmati saki-baki hidangan yang masih banyak. Begitu juga dengan Jhaznarul, Firdee Aqasha serta adik-adik kedua jejaka ini. 

Dalam asyik menikmati hidangan yang jarang-jarang diperolehi, tiba-tiba mata Jhaznarul menangkap satu kelibat manusia yang sedang berdiri tegak di bawah sebatang pokok besar yang berada betul-betul di hadapan tingkap dapur mereka. Kelibat manusia yang berjaya ditangkap oleh mata Jhaznarul sedang memerhatikan ke arah mereka. Tidak berkelip-kelip mata manusia yang berada di sana. Makin lama Jhaznarul perhatikan, makin dalam pula manusia itu membalas balik. Namun, perbuatan Jhaznarul ini tidak diperasan oleh sesiapa pun kecuali dirinya sendiri. Jhaznarul sendiri tidak mahu membuka mulut untuk memberitahu akan hal itu kepada sesiapa jua termasuk keluarganya.

Tiba-tiba sahaja, hati Jhaznarul dilanda ombak tsunami dengan amat kuat sekali. Setelah diteliti betul-betul, Jhaznarul seakan-akan mengenali kelibat bayangan manusia itu. Namun, untuk memberitahu pada Firdee Aqasha, Jhaznarul tidak mempunyai kekuatan kerana apa yang dilihat oleh mata kasarnya, kemungkinan besar tidak benar. Dia tidak mahu tertipu oleh ilusi matanya sendiri.

Tak mungkin dia. Aku yakin bukan dia. Masakan dia mahu datang sebegini jauh semata-mata untuk memerhatikan kami. Untuk apa dia mahu lakukan begitu? Kami tidak ada kaitan langsung dengan dia. Ah, persetankanlah. Mungkin hanya igauan aku saja. Jhaznarul cuba menyedapkan hatinya sendiri.



Sambungan di sini : http://ilham.karangkraf.com/karya-detail.aspx?idk=1009&idc=7832 

Sunday, September 29, 2013

Promo: Hanya Dikau (2007)


KUBUR BERNYAWA: BAB 8: Masing-Masing Tarik Nafas Lega


Masing-masing menarik nafas lega apabila van yang mereka sewa sudah selamat kembali ke tempat asalnya. Riuh-rendah suara mereka dalam melafaskan erti kata yang bermacam-macam intonansi. Di dalam kepala masing-masing kini cuma ada satu tujuan iaitu tidak sabar-sabar untuk kembali ke rumah masing-masing dan mendapatkan rehat yang secukupnya.

Kini kelihatan mereka sedang memunggah turun beg pakaian masing-masing dari terus berada di dalam van. Sementara itu, Syed Dahuri dan Firdee Aqasha telah ke kaunter pembayaran untuk melunaskan wang sewa van mereka itu.

“Hei kau orang, macam mana lima bungkus beg plastik kepah ni ada di sini? Bukan kau orang tak ambik ke dari nenek tua tu?” lontaran vokal yang berupakan pertanyaan dari rongga tekak Nisrinah benar-benar telah memeranjatkan mereka semua.

“Mana ada kita ambik kepah dari nenek tu? Yang ada sebungkus sajalah milik Azi.” Era Kasmiran membetulkan fakta. Mungkin Nisrinah salah melihat.

“Jadi, kau orang cakap aku menipulah ya? Kejap ya.” Nisrinah telah mengeluarkan lima bungkus beg plastik yang mengandungi kepah di dalam setiap beg plastik itu. Penuh-penuh pula tu. Mata mereka sememangnya tidak mampu untuk mempercayai apa yang sedang berlaku. Kehairanan demi kehairanan membelitkan tali pusat akal mereka. Sedikit perasaan galau bercampur baur di dalam diri masing-masing.

“Nampak tak apa yang aku pegang? Macam mana lima bungkus kepah ni boleh ada di sini? Azi, kepah kau mana?” tanya Nisrinah dengan satu pandangan sinis ke arah teman-temannya. Apa lagi, terloponglah mulut masing-masing dengan pemandangan yang di luar alam itu.

“Kepah aku ada di sini.” Aziham menunjukkan kepahnya.

“Habis tu, yang lima bungkus ni siapa punya?” sekali lagi suara Nisrinah berbaur sindiran.

Masing-masing mengangkat bahu tanda tidak tahu. Rasa gerun menyelinap masuk tanpa mereka sedari.

“Sayang betul roh nenek tua tu dengan kau orang yang bertanggungjawab melepaskannya. Sampai membekalkan buah tangan. Bertuah badan.” Nisrinah mengusik sekaligus menyindir sehingga menjentik rasa tidak senang di dalam hati kaum Adam.


Thursday, September 26, 2013

KUBUR BERNYAWA : BAB 7: Pertelagahan Antara Makwe dan Pakwe

“Bagaimana nenek tua tu boleh muncul secara tiba-tiba semalam? Siapa yang bertanggungjawab yang mewujudkan dia dan sekaligus membawa dia ke tempat kita?” Era Kasmiran melontarkan pertanyaan setelah perjalanan mereka jauh dari kawasan itu dan sesudah lama mereka membisu sejuta bahasa. Dia teringin benar hendak tahu, siapakah gerangan yang telah mengejutkan nenek tua itu?

Syed Dahuri menjeling pada Jhaznarul yang duduk di sebelahnya. Jelingan Syed Dahuri sudah jelas memberitahunya, baik kau cerita cepat. Jhaznarul yang seakan mengerti akan jelingan maut Syed Dahuri itu menarik nafas yang agak panjang sebelum mengeluarkan suara berliannya dari peti yang disimpan.

“Panjangnya nafas kau Jhaz? Ada apa-apa yang perlu kami tahu?” Zunika seakan mengerti akan aturan pernafasan yang sebegitu. Sudah pastilah angkara Jhaznarul yang membawa nenek tua itu pada mereka.

“Guys, aku nak minta maaf pada kau orang semua. Aku memang tak sengaja, okey?” Jhaznarul sudah memulakan mukadimah dalam sesi penceritaannya.

“Maksud habib apa?” Roman wajah Husnarisyam ternyata berubah.

“Maafkan habib, habibi. Aku mengaku aku ada merayau dalam hutan selepas kumpulan perempuan masuk tidur. Niat aku hanya satu, ingin menikmati keindahan alam semula jadi saja. Tak lebih dari tu. Tapi mana aku sangka, kaki aku tersepak batu. Dan batu tu pula batu nisan. Lepas itulah, timbul kubur sesat. Asap berkepul-kepul keluar, baru muncul nenek tua tu. Masa aku lari balik, nenek tua tu tak ikut pun. Tapi ....” Jhaznarul sengaja menggantungkan ayatnya sambil membetulkan aturan pernafasannya yang terasa berat tadi.

“Tapi apa?” Era Kasmiran kembali menyoal tegas.

“Aku rasa nenek tua tu ikut kumpulan Firdee.” Jhaznarul melafaskan dengan tenang.

“Kenapa nenek tua tu harus mengikut kumpulan Firdee?” semangat ingin tahu Era Kasmiran semakin meninggi. Pandangan mata gadis itu telah pun ditajamkan menjunam ke wajah Firdee Aqasha. 

Manakala Firdee Aqasha pula mengunci bibirnya. Dia tidak mahu pergelutan bicara bakal tercetus antaranya dengan Era Kasmiran kerana ternyata sah-sah dia yang bersalah di dalam hal ini.

“Sebab Firdee ajak yang lain untuk minta nombor ekor dari nenek tua tu. Dia kata nak cepat kaya,” tanpa rasa berdosa langsung Jhaznarul mengeluarkan fakta yang cukup membunuh. Selamba pula tu. Bengang sahaja kumpulan Firdee Aqasha. Namun suara kumpulan kaum Adam tetap dikunci dengan baik.

“What? Yang, kenapa minta yang bukan-bukan ni? Sekarang tengok, apa dah yang cetuskan? Puas hati yang sekarang? Tempiasnya terkena pada kita semua, tahu tak?” volum suara Era Kasmiran yang meninggi itu membuatkan kumpulan Firdee Aqasha menikus. Tidak berani untuk melantun sebarang suara. Apabila suara Era Kasmiran telah naik satu oktaf, itu memberi amaran, bahawa mereka patut menulikan telinga. Jika tidak, pasti akan meledak bom jangka yang tidak disangka-sangka.

“Memang tak salah tekaan Nisrin semalam. Memang kaulah puncanya, kan Firdee? Suka sangat buat benda-benda yang mengarut. Sekarang bukan faedahnya saja yang kita tak dapat, malahan bala pula yang menimpa. Apalah nak kaya cara macam tu. Tak berkat tahu tak?” Aziham pula menambahkan asam garam agar kesalahan yang telah dilakukan oleh Firdee Aqasha nampak jelas di mata semua. 


Sambungan: 
http://ilham.karangkraf.com/karya-detail.aspx?idk=1009&idc=7696