Thursday, January 15, 2009

JANGAN KAU TANGISI : FASA KETIGA

“Bas hari ni lambat, dia telefon saya tadi. Jadi lebih baik awak ikut saya balik, sekurang-kurangnya tak lah lewat sampai rumah. Jomlah!” Fizran tidak berputus asa. Namun Haifa Hezzy masih lagi dingin sedingin salji di Tokyo.

‘Buat lawak pulak! Ingat taukeh bas tu dia punya bapakkah? Dah aku tak layan, pergi sajalah tak kan tak faham lagi! Apa kedinginan yang aku tonjolkan tak cukup hebatkah?’ Haifa Hezzy mengomel lagi di dalam hati.

‘Huh! Degilnya budak ni! Aku tak pernah jumpa perempuan sedegil dirinya. Kalau perempuan lain sudah pasti akan terpikat dengan wajah tampan ku. Tapi dia ni lain sikit sebab tu lah aku tertarik dengannya.’ Fizran pula mengomel di dalam hati atas perilaku Haifa Hezzy.

“Abang, taukeh bas tu bapak abangkah? Macam mana abang tau bas hari ni lewat? Betulkah taukeh bas tu ada telefon abang?” Tiba-tiba sahaja seorang budak perempuan dalam lingkungan usia sembilan atau sepuluh tahun bertanya kepada Fizran. Fizran sedikit tersentak mendengar pertanyaan budak perempuan yang sudah lama menanti bas sebagaimana Haifa Hezzy. Insiden ini membuatkan Haifa Hezzy menyimpul senyuman kecil. Lucu pula rasa di hatinya.

‘Alamak, budak ni kacau daun sajalah!’ Fizran memaksa dirinya tersengih.

‘Padan muka! Umpan tak mengena!’ Haifa Hezzy mengejek di dalam hati.

“Sebenarnya abang sendiri pun tak tahu. Abang tengok tak ada satu bas pun yang datang, jadi abang rasa dia lewatlah kot.” Balas Fizran termalu sendiri. Budak perempuan itu tertawa kecil.

“Jadi, abang tipu pada kakak tu lah ya? Abang nak mengurat kakak ya? Hehehe ...” Ketawa budak perempuan itu mendapat cubitan daripada ibunya membuatkan budak itu tidak lagi bersuara. Pandangan Fizran kembali menghala kepada Haifa Hezzy.

“Awak, saya dah lama tunggu ni. Jangan mematung diri lagi. Jomlah cepat.” Kali ini Fizran agak mendesak dengan menguatkan suara dan ngauman motorsikalnya. Haifa Hezzy tetap kaku, tiada tanda-tanda untuk bergerak. Bukan sahaja tidak mahu bersuara malah keadaannya tetap statik sahaja sambil menghala pandangan ke arah lain.

‘Degil ya ... nanti kau!’ Fizran semakin geram dengan kedegilan yang ditonjolkan oleh Haifa Hezzy.

“Cik Temah ... cepatlah sayang oi. Sampai bila awak nak biarkan saya menanti kat sini? Bas yang awak tunggu tu tak tau bila waktunya akan sampai. Apa salahnya terima perlawaan saya, lagipun rumah kita kan sehala saja?” Lantang Fizran bersuara menyentakkan Haifa Hezzy serta membangkitkan lahar amarahnya yang tersimpan rapi tadi. Tambah-tambahan pula semua orang sedang memandang ke arahnya kini dan budak perempuan yang ramah tadi sudah pun mengeluarkan ketawanya yang kuat ketika namanya dipanggil Fizran.

“Mak, nama kakak tu macam nenek kan? Ada lagi orang nama tu zaman sekarang ni ya mak. Hehehe ...”

“Syyhh! Jangan ketawakan orang. Tak baik. Sekurang-kurangnya dia ada nama daripada tak ada nama.” Emak budak perempuan itu mematikan ketawa anak perempuannya yang sedang rancak. Dia tidak mahu Haifa Hezzy tersinggung di atas keceluparan mulut anaknya. Namun apa yang Haifa Hezzy lihat, wanita itu juga sedang menahan ketawa. Malah semua yang berada di situ sedang menyimpan ketawa masing-masing agar tidak terburai daripada peti simpanan, cuma senyuman sahaja yang tersimpul di bibir mereka. Insiden itu betul-betul membuatkan hati Haifa Hezzy terbakar dengan perasaan yang penuh dengan kegeraman.

‘Tak guna punya Fizran! Nanti kau!’ Haifa Hezzy mengecilkan matanya memandang tepat ke wajah jejaka itu. Kini langkah Haifa Hezzy diatur menuju ke arah Fizran yang masih lagi menanti. Fizran menyangkakan Haifa Hezzy sudah bersetuju untuk membonceng motorsikalnya tetapi dia tidak menduga langkah Haifa Hezzy untuk menyembur kata-kata amarah kepadanya.

“Awak ni kalau tak bagi termalu muka saya tak bolehkah? Setiap kali berjumpa dengan awak, setiap kali itulah awak suka bagi termalu muka saya. Kenapalah saya sering ditakdirkan bertemu dengan awak? Kalau saya tak berjumpa dengan awak teruskan lagi bagus. Awak ingat, motor awak canggih saya akan terpikat untuk memboncengnya? Jangan haraplah! Saya lebih rela naik bas daripada membonceng motor dengan awak. Huh!” Haifa Hezzy terus melangkah pergi mencari teksi selepas hatinya puas melontarkan segala kemarahan yang membeku di dada. Sementara Fizran pula terfikir-fikir sendiri apa pula kesalahannya kali ini. Makin pelik Fizran dengan sikap Haifa Hezzy.

‘Ai, ajak balik sama pun dah dikatakan bagi termalu muka dia? Tak kanlah macam tu saja dah memalukan dia? Pelik betullah!’ Fizran menggaru-garu dahinya yang agak berpeluh sedikit. Haifa Hezzy sudah semakin jauh meninggalkannya. Fizran yang baru tersedar, cuba untuk mengekori Haifa Hezzy sebelum gadis itu berjaya mendapatkan teksi.

“Awak ni betul-betul degillah! Saya ikhlas menawarkan pertolongan pun awak tak nak terima. Lagi satu, bila masa pula saya bagi termalu awak?” Fizran mengajak Haifa Hezzy berbual walaupun dalam perjalanan. Haifa Hezzy memandang Fizran dengan wajah yang bengang.

“Saya tak suruh pun awak menawarkan pertolongan pada saya. Jangan nak memberontak pula bila saya tak terima. Fikirlah sendiri apa yang awak dah buat sehingga memalukan saya.” Balas Haifa Hezzy untuk terakhir kali sebelum dirinya ditelan ke dalam perut teksi yang berjaya ditahankannya. Fizran mendengus geram kerana masih gagal menawan sekeping hati Haifa Hezzy.

“Memang degil!” Fizran hanya mampu melihat Haifa Hezzy dibawa teksi sehingga hilang dari layar matanya. Sesudah itu, Fizran memecut motorsikalnya selaju yang mungkin agar tiba di rumah sebelum Haifa Hezzy kerana dia mempunyai rancangan untuk mengajar gadis sedegil Haifa Hezzy.

No comments: