Sunday, December 8, 2013

KUBUR BERNYAWA : BAB 12 - O'oo Dia Dah Sampai Kolej

 “Aku cukup tak sukalah kalau ada kelas malam. Kenapalah pensyarah bahasa Melayu kita tu part time aje. Kan bagus kalau dia full time,” rungut Zunika ketika mereka bersepuluh sedang berjalan di dalam kegelapan malam menuruni bukit kolej untuk menuju ke perhentian bas/tren laju sesudah tamat kelas pada malam itu.

“Tapi aku suka kalau ada kelas malam,” berlainan pula jawapan yang diberikan oleh Era Kasmiran. Empat pasang mata melorong ke arah Era Kasmiran bersama dengan kenyataannya itu.

“Kenapa kau suka jika ada kelas malam?” Aziham ingin tahu. Pelik betul dia dengan sikap Era Kasmiran. Entah apalah yang syoknya kelas malam, dia sendiri pun tidak tahu.

“Sebab, kalau ada kelas malam, bolehlah aku menikmati keindahan sang purnama ketika balik ke rumah. Aku suka sangat dongak ke langit waktu-waktu begini. Cantik hiasan dada malam dengan bintang bergemerlapan selain purnama yang menawan.” Era Kasmiran menjelaskan kepada mereka yang sedang memasang telinga dengan panjang lebar.

“Kalau kau orang tak percaya, cuba kau orang dongak ke atas. Lihat keindahan ciptaan Sang Penciptanya buat seketika. Kau orang akan rasa insaf dengan apa yang terbentang di hadapan mata. Tapi ingat, jangan dongak dengan kaki berjalan. Nanti tak pasal-pasal terus tergolek ke bawah,” sempat lagi Era Kasmiran berpesan sesudah menyambung bicaranya.

Keempat-empat pasang mata kini mendongak ke dada langit untuk menghayati keindahan yang tercipta untuk mereka yang menghuni di bumi tumpangan-NYA. Manakala kaum Adam pula masih setia mengekori pasangan masing-masing dari belakang. Sesekali, bibir mereka tersungging dengan senyuman di kala tercetus gelagat yang lucu daripada buah hati masing-masing. Macam-macam kerenah.

Sedang asyik mendongak memandang bintang dan bulan, tiba-tiba nafas Nisrinah seakan-akan tersekat ketika matanya tertancap pada sebatang pokok besar yang berada betul-betul di hadapan mereka. Seluruh tubuh badan Nisrinah menggeletar sakan bagaikan berada di dalam kawasan salji sahaja lagaknya, sedangkan malam itu tidak dingin langsung. Air liur yang menuruni rongga rengkung Nisrinah bagaikan berbatu. Sukar sekali perjalanannya. Tangan Nisirinah kelihatan menggapai-gapai teman yang berada di sebelahnya. Namun apabila jari-jemarinya tidak memegang sebarang lengan temannya, suara Nisrinah mula mengendur dalam menyeru nama sahabatnya.

“Miran ...” Beberapa kali Nisrinah memanggil nama Era Kasmiran sehingga teman-teman yang lain memandang pelik pada perubahan perlakuan Nisrinah di saat ini.

“Hei, yang kau panggil aku macam tu kenapa? Menakutkan sajalah, Nisrin.” Era Kasmiran menjegilkan matanya pada Nisrinah.

“Miran .... ini kau punya pasal suruh dongak lagi ke atas. Kalau kita balik terus tadikan bagus,” nada suara Nisrinah masih tidak berubah. Lagaknya bagaikan hendak menangis sahaja.

“Sweetie, kenapa ni? Apa yang tak kena?” cuak betul Syed Dahuri mendengar pada nada suara buah hatinya.

Nisrinah memandang Syed Dahuri dengan wajah yang paling cuak pernah dilihatnya. Suaranya seakan-akan hendak membanjirkan air mata.

“Cuba cakap pada darl, kenapa ni?” pujuk Syed Dahuri.

“Terus-terang terang sajalah. Tak payah nak nangis-nangis macam ni.” Zunika mula hilang sabar.



No comments: