Wednesday, December 31, 2008

Selamat Tahun Baru Untuk Semua Pengunjung RUANG RINDU

New Year Myspace Comments
MyNiceSpace.com
http://www.mynicespace.com/myspace-newyear.html">New
Year Myspace Comments
New Year Myspace Comments
MyNiceSpace.com
http://www.mynicespace.com/myspace-newyear.html">New Year Myspace Comments
New Year Myspace Comments
MyNiceSpace.com
http://www.mynicespace.com/myspace-newyear.html">New Year Myspace Comments

Monday, December 22, 2008

Terbaru Dari Ku .... ;-D ---> JANGAN KAU TANGISI : Fasa Yang Pertama

‘Kehadapan adindaku Haifa Hezzy,

Sudah lama ingin kekanda meluahkan bicara hati namun tiada kesampaian kerana adinda sering sahaja mengelak daripada bertemu. Apakah menjadi kesalahan jika tali persahabatan ingin kekanda hulurkan buatmu adinda? Tidak sudikah adinda menyambut salam perkenalan ini? Kekanda amat berharap agar adinda sudilah menerima huluran salam perkenalan ini kerana kekanda begitu ikhlas ingin mengenali adinda dengan lebih dekat lagi disebabkan hati kekanda sudah pun terikat pada adinda sejak pertama kali kita bersua wajah. Cuma kekanda tidak tahu bagaimana hendak memulakan perkenalan ini kerana adinda dulunya tidak gemar pada lelaki. Kekanda berharap adinda tidak akan menghampakan hasrat suci di hati kekanda ini.”
Salam Ikhlas : Zahamizal’

Sebaik sahaja ayat terakhir warkah itu dibacanya, lalu satu letusan ketawa yang agak kuat keluar dari rongga tekaknya. Haifa Hezzy ketawa bersungguh-sungguh sehingga berair matanya. Walaupun demikian, Fezra dan Yuzawati tidak turut serta dengan Haifa Hezzy dalam menyemburkan ketawa malah mereka semakin terpinga-pinga.

“Seronok sangat ke dapat surat tu sampai ketawa macam orang sasau?” Yuzawati akhirnya bertanya namun tidak tahu pada siapa soalan itu ditujukan sebab matanya tidak tertuju pada Haifa Hezzy mahupun Fezra.

“Entah! Musyikil aku!” Fezra pula menjawab pertanyaan Yuzawati sedangkan matanya masih terpaku pada Haifa Hezzy.

“Aduii! Ya Allah ya tuhanku! Kelakar gila surat ni. Zahamizal ni tak ada taste baru langsung! Macam ni ke nak pikat aku. Cara pemikatan yang dibuatnya macam orang dulu-dulu tak sesuai dengan zaman teknologi sekarang. Cakap dekat dia, cara dia ni dah lapuk macam zaman bapak aku melamar mak aku. Kalau kau orang nak tahu sebiji macam ni lah gaya bapa aku melamar mak aku sehingga membawanya ke jinjang pelamin. Tapi aku sorrylah tak kan terpikat dengan cara yang macam ni. Cubalah perbaharui sikit cara lamaran tu ... Nah, kau orang bacalah. Entah-entah kau punya idea kot, Yuza?” Haifa Hezzy menggeleng-gelengkan kepalanya sambil mengunjukkan surat Zahamizal kepada Fezra dan Yuzawati. Mereka menyambutnya dengan rasa tidak puas bersarang di sanubari masing-masing. Haifa Hezzy kemudiannya bangun daripada tempat beradu, mencapai tuala hendak menuju ke bilik mandi. Sebelum dia keluar, sempat lagi buah bicara dihulurkan buat teman-temannya itu.

“Lepas kau orang baca, bagi balik surat dan bunga tu pada Mizal. Katakan pada dia, cara dia masih belum kuat untuk menawan hati aku. Teruskan usaha hingga mencapai kejayaan.” Ujar Haifa Hezzy dalam sisa ketawa yang masih melekat. Berpandangan kedua sahabatnya itu seketika sebelum membalas bicara Haifa Hezzy.

“Tak kan kau nak bagi balik surat ni Effa? Kecik hati dia nanti. Simpan ajelah. Kesian dia telah berusaha keras untuk pikat hati kau.” Fezra mula menaruh simpati pada Zahamizal.

“Suka hati kau oranglah. Aku nak pergi mandi ni.” Haifa Hezzy terus menghayun langkah ke destinasi yang terencana di mindanya. Sementara itu, Fezra dan Yuzawati menghabiskan pembacaan surat Zahamizal. Kemudian, mereka juga turut menyemburkan ketawa sebelum perbincangan dibuka semula.

“Patutlah dia gelak macam orang sasau. Gaya penulisan ni rupanya yang digunakan oleh Mizal. Betullah kata Effa, Mizal ni tak ada taste langsung. Buat malu aku saja Si Mizal ni tau. Dahlah ayat jiwang karat! Rosak idea original aku.” Yuzawati menghela keluhan berat.

“Padan dengan muka kau. Lain kali bagi lagi idea yang macam tu. Si Mizal tu, manalah reti karang surat cinta? Surat rasmi tahulah dia. Apa punya mamatlah dia ni. Nak pikat tapi tak reti. Dahlah tu, idea yang orang bagi pun tak tau nak guna.” Fezra juga menggelengkan kepala memikirkan idea kolot Zahamizal. Tiba-tiba Yuzawati bangun daripada tempat duduknya membawa kaki keluar dari bilik Haifa Hezzy. Fezra juga mengikuti langkah Yuzawati dengan teragak-agak.

“Kau nak ke mana Yuza?” Soal Fezra ingin tahu.

“Aku nak fon Mizal. Nak cakap pada dia yang cara dia guna tu langsung tak berkesan untuk mencairkan hati batu Si Effa. Aku nak bagi mulut sikit biar dia terang. Aku yakin, dia tentu tengah tunggu panggilan aku di rumah sewanya untuk mengetahui apa keputusan Effa.” Yuzawati melangkah laju menuju ke destinasi yang terencana di akalnya. Fezra tetap setia membuntuti di belakang Yuzawati kerana dia juga ingin tahu reaksi Zahamizal setelah usahanya tidak dilayan oleh Haifa Hezzy. Gagang diangkat, panggilan dibuat. Seketika kemudian, terdengarlah suara berbalas suara.

“Mizal, apa punya dungulah kau ni! Aku bagi idea sikit punya baik kenapa kau rosakkannya? Hah?” Yuzawati mula hendak membancuh Zahamizal. Pemuda yang sedang melayan panggilan daripada Yuzawati sedikit terpinga-pinga apabila dipanggil dungu.

“Apa pula? Karangan aku tu tak cukup bagus ke? Penat tau aku cari idea untuk karang surat cinta macam tu. Ingat senangkah?” Zahamizal mula melenting di hujung talian.

“Hmmm, kalau cukup bagus aku tak panggil kau dungu!” Yuzawati ketawa buat-buat. Zahamizal semakin pening.

“Kenapa? Dia tak terima ke?”

“Kau nak tahu apa dia cakap?” Jolok Yuzawati lagi untuk membangkitkan rasa ingin tahu Zahamizal.

“Apa dia cakap?” Zahamizal semakin tidak sabar.

“Dia cakap, cara kau memikat dia sama macam cara bapa dia pikat mak dia dulu. Cara kau tu dah lapuk dan tak mampu hendak mencairkan hati dia. Kau ni kan Mizal, tak ada taste langsunglah. Boleh kau tulis adinda kekanda. Hei Mizal, kau ingat kita ni berada di era enam puluhan ke nak guna bahasa macam tu? Rosak idea aku tau! Penat aku bagi!” Yuzawati sudah mula senada dengan Zahamizal. Terkedu Zahamizal disebelah sana.

“Kau baca ke surat aku?” Jika boleh dilihat, wajah Zahamizal sudah pun merona kemerahan menahan malu.

“Bacalah! Kalau tak macam mana aku tahu? Dungu! Lepas baca surat kau, dia gelak terbahak-bahak. Ingatkan ayat power apa kau tulis, rupanya ayat orang dulu-dulu. Tak bolehkah kau perbaharui cara pemikatan mengikut era zaman teknologi terkini? Boleh karang surat cinta macam tu ... Tak kan itu pun aku kena ajar?” Yuzawati semakin menggila membancuh Zahamizal.

“Habis tu macam mana? Tak jalan juga ke aku nak kenal dengan dia? Aku tak retilah nak karang surat-surat cinta ni. Mana pernah aku hantar surat cinta sebelum ni.” Nada Zahamizal nampak begitu kecewa sekali kerana usahanya masih gagal untuk menempatkan diri di hati Haifa Hezzy.

“Haaa, tulah kau ... Lain kali cedok lagi ayat orang dulu-dulu. Kau ingat Si Effa tu lahir di zaman enam puluhan ke? Nantilah aku fikirkan cara apa pula nak guna.” Balas Yuzawati lalu terus meletakkan gagang telefon memandangkan duit syiling yang dibawanya sudah pun habis untuk berbual lama dengan Zahamizal. Fezra melontarkan pertanyaan sebaik sahaja Yuzawati tamat perbualannya dengan Zahamizal.

Thursday, December 18, 2008

Bahasa Dari Dalam ...

Terdengar dari luar esakan tangisan yang amat kuat sekali. Sudah lama tangisan itu bergema namun baru hari itu tergerak jiwa untuk menegurnya. Entah kenapa selama ini, dia boleh menulikan telinga dengan tangisan yang sentiasa bergema seolah-olah tiada penghujungnya.

Jiwa: Hati, kenapa engkau sering saja menangis tanpa mengira waktu. Kadang-kadang aku terdengar engkau ketawa tapi itu hanya untuk sementara waktu sahaja. Ceritalah pada aku, sekurang-kurangnya pedih di dalam engkau akan berkurangan.

Hati terdiam seketika tatkala mendengar suara itu. Dia mengesat air matanya yang tidak mahu berhenti malah terus mengharap walaupun dia tidak pasti dengan apa yang dialaminya. Ya, memang benar kata suara itu, kadang kala dia berasa cukup gembira kerana yakin apa yang dinantikan selama ini hampir menjadi kenyataan. Namun ia tidak semudah itu apabila dirinya diuji dengan pelbagai ujian sebelum bahagia itu menjadi miliknya yang abadi sehingga dia tidak yakin lagi dengan apa yang dirasa.

Hati: Siapa kau? Kenapa tiba-tiba menegur? Kau dapat dengar tangisan aku?

Hati menyoal kembali. Dia mendengar suara itu menarik nafas sedalam yang mungkin.

Jiwa: Aku jiwa. Jiwa yang sepi. Jiwa yang sunyi. Aku juga seperti kau .. kadang kala menangis sendirian namun cuma esakan aku tidak kedengaran kerana aku menangis dari dalam. Ya. Aku dapat dengar dengan jelas tangisan kau hati. Kongsilah dengan aku sekiranya kau sudi mahupun sedia kerana nasib kita sama sahaja.

Hati terdiam seketika. Air mata yang tumpah terus dikesat.

Hati: Aku tidak tahu ... kadang kala aku berasa sedih. Aku sudah lama terkurung di sebalik kamar usang ini. Tiada siapa yang mempedulikan aku. Tiada siapa yang menghiraukan aku. Kadang kala, aku terdengar ketukan dari luar namun tiada siapa yang berjaya masuk disebalik pintu yang berkunci rapat ini. Kenapa mereka hanya singgah saja jiwa? Kenapa kunci yang hilang sejak bertahun dulu masih belum ditemui walaupun aku sudah bersedia untuk berdepan dengan apa jua rintangan, ujian mahupun dugaan. Apakah aku tidak layak untuk dimiliki?

Luahan hati amat menyentuh jiwa. Jiwa terasa kepedihannya.

Jiwa: Siapa kata engkau tidak layak untuk dimiliki? Engkau layak untuk sesiapa jua hati. Mungkin mereka yang tidak layak untuk kau. Mungkin jua rasa itu masih belum betul meresap ke dalam mereka sebab itu mereka hanya singgah namun masih belum berjaya mengeluarkan engkau dari kurungan kamar usang itu. Kadang-kala aku teringin sekali untuk bersatu dengan engkau agar rasa bahagia itu menjadi milik bersama. Namun apakan daya, engkau tetap disebelah sana dan aku tetap disebelah sini. Masa belum mahu menyatukan kita. Sabarlah hati. Mungkin suatu hari nanti ada yang memahami dan dapat mencari kunci yang hilang serta mengeluarkan engkau dari kurungan itu.

Semakin lebat tangisan hati yang lara. Air matanya tidak pernah kering walaupun dia kelihatan ceria di hadapan cermin rindu Rindu itu ada tapi mungkin masih belum wujud untuk dirinya. Dia ingin lari dari terus dipanah rasa rindu namun cermin rindu seakan-akan tidak mahu pecah dari terus menghantuinya. Setiap kali dia melihat cermin rindu yang berada di hadapannya, dia terasa dekat sekali namun hakikatnya terlalu jauh ... sehingga dia tidak sanggup untuk terus terkurung daripada bayangan yang semakin mendakap erat dirinya membuatkan dia resah sepanjang waktu. Dia cuba menyentuh cermin rindu itu tetapi kenapa tangannya tidak tercapai walaupun cermin itu tidak pernah tinggalkan dirinya sendirian. Cermin itu sentiasa ada menemaninya namun cermin itu masih belum boleh menjadi miliknya. Kenapa begitu sukar sekali untuk keluar daripada bayangan yang semakin sebati? Adakah cermin itu sekadar cermin yang hanya merefleksikan dirinya sahaja? Hati tidak pasti kerana cermin itu hanya kaku membisu.

Hati: Maafkan aku jiwa kerana masih membiarkan kau sendirian di luar sana dengan sepi dan laranya. Aku tidak mampu untuk bersatu dengan kau lagi. Aku tidak tahu berapa lama lagi aku harus terkurung di dalam sini tanpa kepastian yang hakiki. Mungkinkah untuk selamanya .... aku tidak tahu. Aku pasrah jiwa, dengan apa yang ditakdirkan untuk ku. Andai aku tidak bisa bersatu dengan engkau untuk selama-lamanya ... maafkanlah aku kerana aku sendiri tidak mampu berdiri untuk terus berharap. Biarlah kuburku di sini sahaja ditemani dengan bayangan cermin cinta yang mampu menceriakan walaupun tak bisa memiliki ...

Jiwa yang mendengar bermuram durja. Itulah hakikat yang terpaksa dirinya terima kerana dia juga tidak mampu berharap lagi akan ada sinar untuk dirinya. Semuanya kelam, semuanya kabur. Sinar yang semakin meneranginya tidak mampu untuk terus mengekalkan cahayanya walaupun mereka sudah bersedia untuk menghadapi sebarang rintangan mahupun kemungkinan.

Jiwa: Tidak mengapalah hati sekiranya engkau tidak mampu bersatu dengan ku... biarlah aku terus menanti agar yang hadir walaupun tidak sempurna, namun cukup membahagiakan. Itu saja yang aku perlu dalam menghabiskan sisa usiaku yang semakin sampai ke penghujungnya. Aku pergi dulu hati ... Aku dah letih ... Aku dah penat untuk terus berharap. Hanya doa yang mampu menyatukan kita walaupun bukan di saat ini, walaupun bukan di sini. Mungkin kita akan jumpa di alam sebelah sana.

Hati yang mendengar terus mengalun irama syahdu yang datang dari dalam.

Itulah bahasa dari dalam yang tidak semua tahu mahupun mengerti .... Bahasa yang tidak sempurna bicara mereka.

Wednesday, December 17, 2008

Bahagia Itu Masih Jauh ....

Kenapa ...
Semakin Kita Menghampiri Kebahagiaan Itu,
Semakin Jauh Ia Meninggalkan Kita.

Kenapa ...
Semakin Kita Mengecapi Kegembiraan Yang Tiba-Tiba Hadir,
Namun Ia Hanyalah Bersifat Sementara.

Kenapa Ia Tidak Boleh Kekal?
Kenapa Taufan Yang Harus Melanda?
Apakah Itu Lumrah Dalam Kehidupan?
Mungkin!
Tiada Siapa Yang Tahu Ketentuannya.

Hanya Kepasrahan Dalam Meniti Hari
Hanya Ketabahan Dalam Mengharungi Dugaan
Hanya Kesabaran Dalam Menempuhi Hari Muka.

Biarlah Takdir Dan Waktu Yang Menentukan
Andai Suatu Hari Nanti,
Kebahagiaan Dan Kegembiraan Itu
Hanya Milikku Untuk Selamanya ....

15.12.2008

Wednesday, December 10, 2008

Feedback Mahakarya Cinta From Clarice


Pertama-tama sekali, saya ingin memanjatkan kesyukuran ke hadrat illahi kerana MAHAKARYA CINTA saya dapat diterima oleh penggemar karya saya. Walaupun semasa proses penyiapannya penuh dengan dugaan dan cabaran, namun akhirnya berbaloi kerana ia digemari oleh pembaca MC. Ini merupakan email yang pertama saya dapat daripada salah seorang penggemar MC (yang lain-lain saya dengar melalui mulut sahaja. Kehkehkeh ...).

Ikutilah komennya ke atas MAHAKARYA CINTA:

Hi kak..slmt pg/ptg/tghmlm/subuh...mana2 yang sesuai la masa akak baca mail ni. pertama-tama tq sbb sudi meluangkan masa membaca mail ni. Tiba2 teringin nak bg komen selepas habis membaca novel terbaru akak..MAHAKARYA CINTA~klu x silap ni judul lagu Faizal Tahir kan. Saya suka membaca novel tapi jarang membeli novel ala2 jiwa2 @ cintan cintun. Saya lebih suka membaca novel berunsur misteri n thriller.

Masa masuk kat KEDAI BUKU POPULAR hari tu saya dok tercongok kat rak novel.. mencari buku yg best.. belek punya belek yang ada somanye novel cinta..ala..baca sinopsisnye saja sy dah fhm benar jalan ceritanya..memang akan sentiasa sama.

Masa tu sedikit hampa kerana x nampak satu buku pun yang best. tetiba nampak novel MAHAKARYA CINTA ni. Masa tu sy tertarik ingin membeli novel ni kerana tebal. bagi sy adalah satu kepuasan membaca novel yang tebal..lagipun harganya berbaloi. So, daripada melangkah keluar dari kedai tu dengan tangan kosong lebih baik sy beli novel ni, tanpa membaca sinopsisnya.

Esoknya lepas beli novel ni baru terbuka hati nak baca. membaca prolog novel ni hati masih x tertarik..tapi masuk saja bab 1 novel ni, ya..saya terhibur..penggunaan ayat dan kata2 yang akak guna spontan jer seolah berada dlm alam realiti. x jiwang dan memang x ada unsur jiwa2 dalam ayat2 penulisan akak. itulah yang menyebabkan sy tertarik sangat untuk menghabiskan pembacaan saya..suami saya d sebelah pun x terlayan kerana asyik dengan membaca novel akak ni. siap tergelak sorang2 lagi..ekekekek..mmg x rugi membeli buku ni. novel akak ni mmg best. saya boleh tergelak n saya boleh menitis kan airmata..

Ya..saya bila membaca akan menghayati cerita yg saya baca..saya akan meletakkan diri saya di tempat watak utama novel tu.. sebab tu sy boleh menghayati novel akak ni. Tahniah dan semoga dapat terus menghasilkan karya yang x membosankan.

Saya ada masuk dlm blog akak..bila tgk novel2 karya akak banyak juga erk.. dan saya x perasan pun yang sy pernah membeli buku akak yg lain iaitu HANYA DIKAU. novel akak yang ini pun memang best..dgn pengolahan ayat yang spontan. klu mcm ni sy nak cuba cari buku akak yang lain..apapun 2 novel akak yg pernah saya baca mmg x memboringkan..

Wish u all da best..teruskan berkarya..

Kepada Clarice: Terima kasih kerana menyokong akak dan novel-novel yang pernah akak hasilkan. Walaupun akak tak dapat memuaskan hati semua pembaca di luar sana, namun kalau akak dapat memuaskan hati 50% daripada pembaca novel, itu sudah cukup memadai.

Karya santai memang menjadi pilihan hati ini kerana bagi saya novel merupakan sebuah unsur hiburan. Namun ada pengajaran dan pendidikan di dalamnya jika anda di luar sana berjaya mengupas apa yang tersirat dan tidak membaca novel saya hanya sebagai sebuah novel sahaja.

Terima kasih kepada semua penggemar MAHAKARYA CINTA!

Tuesday, December 9, 2008

Pemilihan Judul Novel EA

Assalammualaikum ... dan Salam Sejahtera untuk semua yang sudi bertandang ke sini (Hari-hari pun tak pa, lagi saya suka.).

Hmm ... apa pula topik kali ini ... Okeylah, kali ni saya nak utarakan pemilihan judul untuk novel saya. Judul yang bagaimana saya suka dan tidak.

Sebenarnya, saya lebih suka memilih judul yang mampu menjentik perasaan dengan nilai-nilai romantik di dalamnya. Oleh yang demikian, saya lebih gemar menggunakan perkataan RINDU, KASIH, BAYU, dan yang sewaktu dengannya. Oleh itu juga, tajuk lagu-lagu yang ada nilai komersial sering saya ambil untuk dijadikan sebagai judul Novel saya. Jika dilihat dalam novel saya, hanya tiga buah novel saja yang menggunakan perkataan cinta iaitu DI KALA CINTA TERDETIK (Pilihan sendiri ketika mula berkarya),AKU CINTA KAMU (Pilihan penerbit sebenarnya) dan MAHAKARYA CINTA (yang terbaru kerana mengikut kehendak penerbit dan serasi plak dengan jalan citernya). Sebenar-benarnya saya tidak berapa gemar untuk memasukkan perkataan CINTA dalam judul novel saya. Entah ... saya memang tidak suka. Sebabnya:

1. Dah ramai yang memilih perkataan ini untuk dijadikan sebagai judul novel mereka.
2. Sudah terlalu biasa perkataan ini dan tak mampu menarik minat saya untuk dijadikan hiasan judul novel saya.
3. Tidak mempunyai unsur romantik (pendapat sayalah ... tak tahu bagi org lain. Lain orang lain citarasanya. Mana boleh sama ye tak ... haa .. jgn cuba2 nak komplen. Kehkehkeh)
4. Terlalu keras dan saya tidak menyukainya.(boring lerr ... Masih pendapat saya. Pendapat orang lain saya tak tahu.)

Sebab itu juga, apabila ada judul lagu terbaru di pasaran, saya catit dan jika sesuai saya jadikan sebagai judul novel saya. Kadang-kadang, saya punggah galeri kaset saya yang lama-lama kerana kadang-kadang terdapat judul yang menyegat jiwa terselit di dalamnya. Kadang-kadang apabila saya memberitahu judul novel saya, ada yang cakap,

“Eh, macam tajuk lagu saja wak. Betul ke tu novel awak?” Kehkehkeh ... lalu saya menjawab,

“Memang tajuk lagu pun. Saya memang suka ambil tajuk lagu untuk dijadikan judul novel. Memang saya selalu ambil tajuk lagu pun kerana ada nilai komersial di dalamnya.”

Itulah sejarah bagaimana saya memilih judul untuk novel-novel saya. Jadi, jangan terkejut jika ada lagi tajuk lagu yang hitz2 saya jadikan judul novel saya. Kadang-kadang saya ambil aura kejayaan penyanyi itu sendiri agar saya juga akan berjaya seperti mereka walaupun dalam bidang yang sama tetapi genre yang berlainan.

Kadang-kadang juga saya suka mereka sendiri dengan jalinan jiwa yang padat agar sedap orang yang membacanya .... hehehe.

Daaa ....

Wassalam ....

Friday, December 5, 2008

Salam Adiladha Untuk Semua Pengunjung Ruang Rindu

Assalammualaikum dan Salam Sejahtera.

Dikesempatan ini, Abby ingin mengucapkan kepada semua pengunjung Ruang Rindu ....

Semoga Hari Raya Qurban tahun ini akan membawa seribu erti buat kita semua.


Wednesday, December 3, 2008

DAKAPAN KASIH: Kenapa Awak Suka Dengan Bunga Teluki Irene? - Ayreil Eiszacwan


“Saya tanya, kenapa bunga teluki yang menjadi bunga kegemaran awak daripada banyak-banyak bunga yang ada di dunia ni.” Ayreil Eiszacwan terpaksa mengulangi pertanyaannya semula.

“Oh ... saya meminati bunga teluki kerana ia memberi banyak makna kepada saya. Jika awak perhatikan betul-betul, bunga teluki adalah bunga yang menyimpan banyak rahsia sekali. Tahu tak kenapa saya cakap begitu?” Irene Darvinna cuba memeriahkan konti perbualan mereka.
“Tak tahu dan saya ingin sekali mengetahuinya.” Balas Ayreil Eiszacwan sambil merenungi seraut wajah yang cukup menenangkan jiwa.

“Awak lihat saja pada kelopak-kelopak bunga teluki, ia tersusun dengan banyaknya sehingga kita tidak tahu apa yang berada di dalam bunga itu jika kita tidak menguaknya satu persatu. Bunga teluki cuba menggembirakan dan menenangkan mata dan hati manusia yang memandangnya sebab itu ia berkembang dengan cantik walaupun di dalam kembangannya yang rimbun tersembunyi sesuatu yang kita tidak pernah terduga. Begitu jualah dengan diri saya yang suka menggembirakan orang lain tetapi apa yang tersirat di hati saya tiada siapa yang tahu. Biarlah mereka lihat saya tersenyum selalu asalkan mereka bahagia. Sebab itulah bunga teluki menjadi pilihan saya.” Jelas Irene Darvinna mengkagumkan Ayreil Eiszacwan yang mendengar.

“Jadi, awak cuba menjadi lilin untuk menerangi hidup orang lain walaupun diri sendiri yang terbakar?”

“Tidak salahkan membakar diri sendiri asalkan orang yang berada di sekeliling saya sentiasa gembira?” Sayu sekali pandangan Irene Darvinna.

“Tapi itu tidak adil bagi diri awak sendiri, Irene. Sepatutnya kebahagiaan ini dikongsi bersama.” Ayreil Eiszacwan tidak bersetuju dengan pendapat Irene Darvinna.

“Walaupun tidak adil, tapi itulah yang berlaku sekarang dan saya pasrah dengan takdir yang ditentukan-Nya.” Irene Darvinna berkeras mempertahankan pendapatnya.

Dakapan Kasih: Tenungan Maut Itu Masih Lagi Menjadi Milikku Setelah Aku Menjadi Isteri Abahmu? - Irene Darvinna


Ya Allah ... dia buat balik sesudah lama dia tidak menghantar tenungan seperti ini. Tegakanlah hati aku untuk menerima segala bentuk dugaan yang dihulurkan oleh Eiszac ... Irene Darvinna berdoa di dalam hati agar dia tidak tersungkur daripada landasan hidup yang betul

Ayreil Eiszacwan perasan ketisakselesaan Irene Darvinna daripada tenungan yang dihantar, lalu perlahan-lahan Ayreil Eiszacwan mengukir senyuman. Dia suka setiap kali melihat Irene Darvinna gelabah. Ada keunikkan di situ.

“Irene, kenapa awak resah? Seperti tidak selesa berada di sisi saya? Sebagai seorang sahabat yang baik, awak harus menyelesakan diri di samping sahabat awak. Awak tidak boleh resah sepanjang masa ketika berada di sisinya kerana awak akan membuat dia berasa kurang senang dengan tingkah awak. Awak harus menerima sahaja kekurangan dan kelebihan dirinya.” Ayreil Eiszacwan memancing lagi reaksi Irene Darvinna. Irene Darvinna cuba mengawal perasaannya dengan menyimpul senyuman. Dia tidak mahu Ayreil Eiszacwan tahu resah yang bertandang di dalam hatinya kini.

“Awak menduga saya ye? Awak sendiri tahu saya memang tidak selesa dengan tenungan awak tetapi saya akan belajar untuk menerimanya demi sahabat saya.” Akhirnya Irene Darvinna berterus-terang. Senyuman Ayreil Eiszacwan semakin melebar.