Monday, February 16, 2009

Sketsa Di Hari Kasih Sayang .... Hehehe

Di sebuah taman permainan terlihat sepasang pasangan kekasih merpati dua sejoli sedang berbual-bual mesra sesama sendiri. Kedua-dua pasangan kekasih itu kelihatan sungguh serasi sekali. Adilla kelihatan malu-malu sesuai dengan gelaran perempuan melayu terakhir, sedangkan Imran kelihatan gagah perkasa. Kadang-kala perlakuan mereka kelihatan begitu menggelikan hati. Sesudah puas bertentangan mata dan berbalas senyuman, akhirnya Adilla membuka bicara.

“Apa pandangan you terhadap I?” Tanya Adilla masih lagi malu-malu.

“I rasa you sungguh jelita dan bertuah I dapat mengenali you.” Imran kelihatan Ikhlas memberi pendapatnya. Adilla tersenyum simpul mendapat pujian seumpama itu.

“Itu saja? Itu dari segi luaran, dari segi dalaman pula macam mana? Tak kan tak ada apa-apa yang you ingin katakan?” Adilla masih ingin menguji Imran untuk memperkatakan sesuatu kepadanya.

“Dari segi dalaman pula, I rasa you ni seorang peramah, kelakar, romantik, penyabar, penyayang dan I selesalah disamping you.” Imran mengupas lagi keselesaannya ketika berada di samping Adilla. Adilla tersipu lagi apabila dipuji sebegitu. Seketika kemudian, kedua-duanya membisu seketika kerana kematian kata-kata. Agak lama juga mereka membisu sebelum kata-kata kembali terungkap di bibir Imran.

“Dilla ...” Imran memanggil Adilla dalam nada yang amat meleret sekali dan Adilla pula sudah biasa mendapat panggilan seumpama itu sejak berkasih dengan Imran.

“Ye. Ada apa-apa ke yang you nak tanya pada I?” Tanya Adilla masih lagi malu-malu kucing.

“I juga nak tahu pendapat you tentang diri I?” Imran juga tidak kecuali inginkan pendapat Adilla.

“Hmm ... I rasa you ni seorang yang romantik, gagah perkasa, bertanggungjawab, penyayang dan boleh diharapkan jika hendak membina rumahtangga kelak. Selain itu, you ni juga seorang yang tampan di mata I.” Adilla membalas dalam nada yang cukup lembut sekali sehingga Imran terbua-buai dengan kata-kata buah hatinya.

“Dilla ... selalunya bila you bangun pagi-pagi, you teringat siapa dulu?” Imran menyoal sambil mendekatkan dirinya dengan Adilla.

“Bila I bangun pagi-pagi, I teringat U. Malam tadi pun I mimpikan U. Tambah-tambah lagi sekarang, I masih teringatkan U. Asyik-asyik I teringatkan U tau. I harap ...” Sebelum sempat Adilla menghabiskan ayatnya, Imran pantas mencelah.

“Ye ke ... you selalu teringatkan I? Bahagianya diri I.” Ujar Imran perlahan-lahan.

“Dengarlah dulu, I belum habis cakap lagilah, kenapa you menyampuk?” Adilla mencubit halus di lengan Imran membuatkan pemuda itu menjerit kecil, ala-ala anak manja. Adilla terus ketawa mendengar jeritan seumpama itu.

“Okey ... Okey ... You boleh sambung semula ayat yang I kerat.” Imran merenungi anak mata Adilla.

“Asyik-asyik teringatkan U saja. I harapkan, esok I akan ingat huruf lain pula seperti V ke, lepas tu W, X Y dan Z.” Balas Adilla selamba sambil tersengih. Imran terkejut besar mendengar kepada jawapan yang diberikan oleh Adilla kepada dirinya.

“Hah? Apa? Selama ni you cakap tentang huruf U ke bukan tentang diri I?” Imran berasa tertipu dengan jawapan Adilla.

“Yelah ... I cakap tentang huruf U dan I bukannya tentang kita. You ingat, Dilla cakap tentang kita ke? Dilla tanya, apa pendapat you tentang huruf I dan Dilla telah mendapat jawapannya. Im pun cakap tentang huruf I dan U kan? Salahkah apa yang Dilla cakap?” Balas Adilla masih lagi selamba.

“Ish, Im ingat mati-mati Dilla cakap tentang kita. Teruk tau Dilla ni. Im tanya pendapat Dilla tentang diri Im lah. Bukannya tentang huruf U dan I.” Imran mula menyinga. Adilla masih dengan muak selambanya.

“Maaflah Im ... Dilla ingat betul-betul Im tanya pendapat Dilla tentang huruf U dan I. Hehehe ...” Adilla tidak dapat mengawal dirinya daripada ketawa kerana dia tahu suatu hari nanti Imran pasti terkena dengan dirinya.

“Sudahlah. Jom balik.” Imran malas lagi hendak bertekak dengan Adilla yang sememang berperwatakan selamba. Adilla tetap mengikut Imran namun hati kecilnya berkata-kata.

‘Padan muka kau, Im. Itulah, selalu sangat suka bahasakan diri I dan you, kan dah terkena. Lepas ni, barulah agaknya dia akan jadi lelaki melayu terakhir idaman malaya.’ Adilla menguntum senyuman sambil melangkah masuk ke dalam kereta Imran.
Kih kih kih ....

No comments: