Tuesday, October 1, 2013

KUBUR BENRYAWA : BAB 9: Jhaznarul Mimpi Hantu

Pada malam itu, keluarga Jhaznarul mengajak keluarga Firdee Aqasha untuk menjamu selera di rumah mereka. Jhaznarul hendak melepaskan hajat Firdee Aqasha yang hendak makan kepah. Kuantiti kepah yang dibekalkan terlalu banyak, tidak terhabis oleh mereka sekeluarga.

Manakala keluarga Firdee Aqasha pula menerima pelawaan itu dengan senang hati. Lagipun, keluarga Firdee Aqasha dan keluarga Jhaznarul sudah bagaikan adik-beradik. Kedua ibu bapa mereka telah bersahabat sejak dari zaman muda lagi dan tradisi itu diteruskan pula oleh anak-anak mereka. Bertapa uniknya persahabatan antara dua buah keluarga ini.

“Alhamdulillah rezeki kita dapat makan kepah malam ni. Dah lama tak makan kepah.” Zafarul Zaini yang merupakan bapa kepada Firdee Aqasha mengucap syukur dengan rezeki kurniaan ALLAH swt.

“Kebetulan Jhaz bawa balik banyak, apa salahnya kalau kita saling berkongsikan? Kami sekeluarga tak terhabis kalau nak makan kepah ni,” balas Fizaham pula (bapa kepada Jhaznarul).

“Nasib baik nenek tua tu berikan kau buah tangankan? Kalau tak memang tak merasalah makan kepah malam ni,” galak Firdee Aqasha mengusik Jhaznarul. 
Manakala Jhaznarul pula menjeling tajam pada Firdee Aqasha. Hantu betul. Dalam diam dia kenakan aku. Jhaznarul pura-pura tidak dengar dengan usikan Firdee Aqasha dan meneruskan suapan isi kepahnya yang terlalu manis. Puas dapat makan kepah bersaiz besar malam ini.

“Baik betul nenek tua tu yang berikan kau kepah, Jhaz. Kita patut berterima kasih pada nenek tua tu.” Muzie Azirah ibu kepada Jhaznarul menyokong kata-kata Firdee Aqasha membuatkan sahabatnya itu melukis segaris senyuman di atas bibir.

Haah. Berterima kasih sangatlah. Kalaulah ma dan pa tahu apa yang dah jadi pada kami semua, pasti ma dan pa pun takkan berterima kasih pada nenek tua tu. Hee ... nak kena lunyai juga si Firdee ni. Mulut celopar betul sama dengan perangai hantu dia. Kutuk Jhaznarul di dalam hati.

“Betul tu Jhaz. Kita patut berterima kasih pada dia.” Firdee Aqasha sengaja menyimbah minyak ke dalam api yang sedang menggelegak naik.

“Kau pun patut berterima kasih pada dia juga. Kalau tak, mana mungkin kau dapat makan kepah yang sedap ni,” dalam selamba Jhaznarul memulangkan paku buah keras pada Firdee Aqasha membuatkan jejaka itu menetas senyuman.

Setan punya Jhaz. Senyap-senyap dia kenakan aku. Firdee Aqasha tidak bersuara lagi. Hidangan malam itu terus dinikmati dengan penuh rakus.

Ibu bapa kedua buah keluarga itu, berbual sakan sambil menikmati saki-baki hidangan yang masih banyak. Begitu juga dengan Jhaznarul, Firdee Aqasha serta adik-adik kedua jejaka ini. 

Dalam asyik menikmati hidangan yang jarang-jarang diperolehi, tiba-tiba mata Jhaznarul menangkap satu kelibat manusia yang sedang berdiri tegak di bawah sebatang pokok besar yang berada betul-betul di hadapan tingkap dapur mereka. Kelibat manusia yang berjaya ditangkap oleh mata Jhaznarul sedang memerhatikan ke arah mereka. Tidak berkelip-kelip mata manusia yang berada di sana. Makin lama Jhaznarul perhatikan, makin dalam pula manusia itu membalas balik. Namun, perbuatan Jhaznarul ini tidak diperasan oleh sesiapa pun kecuali dirinya sendiri. Jhaznarul sendiri tidak mahu membuka mulut untuk memberitahu akan hal itu kepada sesiapa jua termasuk keluarganya.

Tiba-tiba sahaja, hati Jhaznarul dilanda ombak tsunami dengan amat kuat sekali. Setelah diteliti betul-betul, Jhaznarul seakan-akan mengenali kelibat bayangan manusia itu. Namun, untuk memberitahu pada Firdee Aqasha, Jhaznarul tidak mempunyai kekuatan kerana apa yang dilihat oleh mata kasarnya, kemungkinan besar tidak benar. Dia tidak mahu tertipu oleh ilusi matanya sendiri.

Tak mungkin dia. Aku yakin bukan dia. Masakan dia mahu datang sebegini jauh semata-mata untuk memerhatikan kami. Untuk apa dia mahu lakukan begitu? Kami tidak ada kaitan langsung dengan dia. Ah, persetankanlah. Mungkin hanya igauan aku saja. Jhaznarul cuba menyedapkan hatinya sendiri.



Sambungan di sini : http://ilham.karangkraf.com/karya-detail.aspx?idk=1009&idc=7832 

No comments: