Thursday, October 31, 2013

KUBUR BERNYAWA: BAB 11: KEMBALI KE KOLEJ


Sedar tidak sedar, cuti semester pertama sudah pun berakhir pada minggu itu. Kini para pelajar Kolej Imansyah telah kembali ke rumah sewa masing-masing sebelum memulakan pengajian mereka semula pada hari Isnin.
Riuh sungguh suara anak-anak bujang yang menginap di rumah yang disewakan kepada mereka. Ketika sesi mengemas bilik dan rumah juga, mulut masing-masing bagaikan murai tercabut ekor. Bermacam-macam cerita yang dilagukan sehingga bingit telinga jiran-jiran yang mendengar. Sebuah rumah mereka hanya menyewa berlima sahaja. Malas hendak membuka tawaran menyewa beramai-ramai kerana takut tiada keserasian. Lagipun, mereka sudah selesa ke mana sahaja berlima.
Apa yang uniknya tinggal menyewa di situ, buah hati masing-masing juga menginap di kawasan perumahan yang sama. Merekalah yang mengajak kaum Hawa untuk menemani mereka di kawasan perumahan itu. Rumah kaum Hawa pula hanya selang beberapa buah rumah dari rumah mereka. Bagus betul perancangan yang telah diaturkan oleh kaum Adam ini. Tidak mahu berenggang langsung dengan buah hati masing-masing. Rindu sangatlah konon kalau berjauhan. Itu semua alasan kaum Adam yang sentiasa ingin berdekatan di sisi kaum Hawa.
Sebagaimana kaum Adam, kaum Hawa juga hanya menyewa berlima sahaja. Mudah hendak bergerak di dalam kumpulan tanpa ada suara-suara sumbang yang akan menyengat halwa telinga mereka. Mereka bahagia dengan aturan perjalanan kehidupan mereka pada saat ini. Siapa yang sanggup berjauhan dengan pakwe sendiri beb. Kan?
“Alhamdulillah. Akhirnya selesai juga kita mengemas rumah, kan?” Syed Dahuri menarik nafas lega melihat rumah sewa mereka kini teratur dan kelihatan begitu sempurna sekali.
“Syukur. Lepas ni bolehlah berjimba-jimba pula. He he he,” Firdee Aqasha menyengih nakal.
“Haa, adalah agenda dia tu,” sampuk Khirulnizan pula.
“Sudah pastilah. Dah penat-penat mengemas siang hari, malam hari mestilah kita nak hiburan untuk melepaskan lelah. Takkan kau orang tak rindu kot. Kerat jari akulah.” Firdee Aqasha masih melencong akal fikirannya.
Mereka hanya menyengih kerana Firdee Aqasha memang bijak membaca fikiran teman-temannya itu. Pantas sahaja jari-jemari Firdee Aqasha menekan nama Era Kasmiran setelah dia mengeluarkan telefon genggamnya dari kocek seluar. Dia menanti seketika sebelum mendengar suara halus lemak merdu menjawab panggilannya di talian sana.
“Assalamualaikum sayang. Buat apa tu?” begitulah nada romantis Firdee Aqasha ketika menelefon Era Kasmiran. Memang dasar buaya tembaga. Tapi senakal-nakal Firdee Aqasha, dia tidak pernah sekali pun menduakan Era Kasmiran. Bagus juga lelaki ini, kan?
“Waalaikumussalam yang. Baru habis mengemaslah. Penat giler,” adu Era Kasmiran.
“Alah, kita orang kat sini pun sama juga situasinya. Haa, apa kata malam ni kita keluar makan nak?” kail Firdee Aqasha.
“Berdua ke?” sengaja mahu mengusik si buah hati. Awal-awal lagi Era Kasmiran sudah tahu, tidak mungkin Firdee Aqasha akan keluar berdua dengannya. Selalunya mereka sering berdating secara berjemaah iaitu dengan empat pasangan lagi. Jadi jumlah keseluruhannya, lima pasangan akan keluar bertemu janji sekaligus.
“Alah, macam tak biasa pula. Lima pasanganlah. Berdua saja mana syok. Tapi kalau dah nikah, berdua barulah syok. Kalau ramai-ramai, nanti kacau angin pula. Kan sayang?” cukup bermakna sekali nada ucapan Firdee Aqasha.
“Gatailah yang ni. Pukul berapa nak keluar malam nanti?” cepat-cepat Era Kasmiran menukar topik perbualan. Bukan boleh dilayan sangat, karang otak warna rasmi Digi pula akan muncul di minda Firdee Aqasha.
Firdee Aqasha ketawa sakan apabila Era Kasmiran menukar topik perbualan. Senak pula perut sesudah dapat menyakat si buah hati. “Macam biasalah, lepas Maghrib.”
“Okey. Nanti sayang bagi tahu mereka yang lain,” janji Era Kasmiran.
“Okey sayang. Jumpa nanti ya. I love you.”
I love you too, yang. Bye.”
Punat telefon genggam terus ditekan off. Mencebik sahaja teman-teman yang mendengar perbualan manja lagi miang Firdee Aqasha. Bermacam-macam ayat mereka mencemuh Firdee Aqasha tetapi jejaka yang berjiwa enteng itu hanya mengeraskan tubuh serta menulikan telinga. Lantaklah, buah hati dia, suka hati dialah hendak layan bagaimana pun. Kan?

Tuesday, October 8, 2013

KUBUR BERNYAWA : BAB 10: Apa Khaitan Jhaznarul Dengan Mamu Arries?


Sebaik sahaja mengerjakan solat Subuh dan bersarapan pagi bersama keluarga tercinta, Jhaznarul terus menghayunkan langkah kakinya menuju ke arah pokok besar yang terletak di hadapan tingkap dapurnya. Jhaznarul memandang ke arah pokok besar itu dengan teliti sambil berfikir hal semalam.

“Aku yakin lelaki yang ada di bawah pokok ni semalam adalah Mamu Arries. Buat apa dia datang rumah aku? Apa yang dia nak sebenarnya?” akal Jhaznarul ligat berputar untuk mencerna sesuatu yang dia sendiri tidak pasti.

“Tapi, bagaimana dia tahu rumah aku? Sedangkan kami baru pertama kali jumpa di motel miliknya. Mustahil dengan semudah itu dia tahu rumah aku di mana?” Jhaznarul tidak mahu mempercayai dengan frasa yang baru sahaja selesai dilakukannya.

“Uwargh!”

“Argh!” Terpelanting Jhaznarul ke belakang dengan sergahan secara tiba-tiba datang menjengah dirinya.

Orang yang menyergahnya pula, kini sedang ketawa geli hati. Jarang sekarang Jhaznarul hendak terperanjat begitu. Sungguh tidak terduga, sesekali Jhaznarul terperanjat, rupanya lebih buruk dari biasa.

“Kurang lemon betul kau ni, Firdee. Dah tak reti nak bagi salam? Nasib baik jantung aku sihat walafiat tau. Kalau tak, aku dah jadi arwah sebentar tadi,” marah sungguh Jhaznarul dengan tingkah laku Firdee Aqasha yang kadang-kala hendak bergurau tidak bertempat. 

Firdee Aqasha masih tidak mahu menghentikan ketawa yang terhambur. Namun, dia tidak pula lokek menghulurkan tangan untuk membantu Jhaznarul berdiri semula.

“Boleh tahan juga kalau kau dah terperanjat ya? Kalah Pak Belang dalam hutan tu. Sekali pandang macam muka cipanzi pun ada juga.” Firdee Aqasha makin besar pula gelak ketawanya

Masam sahaja muka Jhaznarul yang menerima lawak ekstrem daripada temannya itu. Seketika kemudian, Jhaznarul melipat kakinya ke betis Firdee Aqasha sehingga jejaka itu terhempas punggungnya ke tanah. Kali ini giliran Jhaznarul pula yang mengeluarkan ketawanya dari peti simpanan suara.

“Oh, balas dendam ya? Mangkuk punya kawan.” Firdee Aqasha menggosok-gosok punggungnya yang sakit terhentak.

“Muka kau pun ala mawas tadi. Ada hati nak sindir aku. Barulah adil, sama-sama bermuka ala-ala haiwan dari kumpulan tu.” Jhaznarul mengeluarkan sengihannya yang cukup berperisa sinis pada Firdee Aqasha.

“Sudah, sudah. Jangan nak mengata aku pula. Yang kau asyik belek pokok ni sedari tadi apasal? Pokok ni ada ala-ala rupa Risyam ke?” begitulah Firdee Aqasha yang tidak pernah sunyi dari mengusik teman-temannya. Dan yang kerap terkena di musim cuti semester, tidak lain dan tidak bukan Jhaznarullah, siapa lagi?

“Cakap sopan-santun sikit ya. Risyam aku lebih cantik dari semua makhluk ALLAH yang tercipta di sini.” Jhaznarul mempertahankan Husnarisyam. Iyalah, mana boleh kutuk awek orang sesuka hati, kan?

“Okey. Okey. Risyam dia soranglah yang cantik. Miran aku pun lawa jugalah. Tak nak kongsi cerita dengan aku?” Firdee Aqasha tidak mahu membangkitkan soal awek masing-masing sekarang kerana perasaan ingin tahunya lebih tinggi untuk dilunaskan. Semenjak pulang dari perkhemahan mereka, tingkah laku Jhaznarul sedikit berubah. Di atas faktor apa, masih tidak dapat dipastikan lagi.

Sambungan Di Sini: http://ilham.karangkraf.com/karya-detail.aspx?idk=1009&idc=7833

Tuesday, October 1, 2013

KUBUR BENRYAWA : BAB 9: Jhaznarul Mimpi Hantu

Pada malam itu, keluarga Jhaznarul mengajak keluarga Firdee Aqasha untuk menjamu selera di rumah mereka. Jhaznarul hendak melepaskan hajat Firdee Aqasha yang hendak makan kepah. Kuantiti kepah yang dibekalkan terlalu banyak, tidak terhabis oleh mereka sekeluarga.

Manakala keluarga Firdee Aqasha pula menerima pelawaan itu dengan senang hati. Lagipun, keluarga Firdee Aqasha dan keluarga Jhaznarul sudah bagaikan adik-beradik. Kedua ibu bapa mereka telah bersahabat sejak dari zaman muda lagi dan tradisi itu diteruskan pula oleh anak-anak mereka. Bertapa uniknya persahabatan antara dua buah keluarga ini.

“Alhamdulillah rezeki kita dapat makan kepah malam ni. Dah lama tak makan kepah.” Zafarul Zaini yang merupakan bapa kepada Firdee Aqasha mengucap syukur dengan rezeki kurniaan ALLAH swt.

“Kebetulan Jhaz bawa balik banyak, apa salahnya kalau kita saling berkongsikan? Kami sekeluarga tak terhabis kalau nak makan kepah ni,” balas Fizaham pula (bapa kepada Jhaznarul).

“Nasib baik nenek tua tu berikan kau buah tangankan? Kalau tak memang tak merasalah makan kepah malam ni,” galak Firdee Aqasha mengusik Jhaznarul. 
Manakala Jhaznarul pula menjeling tajam pada Firdee Aqasha. Hantu betul. Dalam diam dia kenakan aku. Jhaznarul pura-pura tidak dengar dengan usikan Firdee Aqasha dan meneruskan suapan isi kepahnya yang terlalu manis. Puas dapat makan kepah bersaiz besar malam ini.

“Baik betul nenek tua tu yang berikan kau kepah, Jhaz. Kita patut berterima kasih pada nenek tua tu.” Muzie Azirah ibu kepada Jhaznarul menyokong kata-kata Firdee Aqasha membuatkan sahabatnya itu melukis segaris senyuman di atas bibir.

Haah. Berterima kasih sangatlah. Kalaulah ma dan pa tahu apa yang dah jadi pada kami semua, pasti ma dan pa pun takkan berterima kasih pada nenek tua tu. Hee ... nak kena lunyai juga si Firdee ni. Mulut celopar betul sama dengan perangai hantu dia. Kutuk Jhaznarul di dalam hati.

“Betul tu Jhaz. Kita patut berterima kasih pada dia.” Firdee Aqasha sengaja menyimbah minyak ke dalam api yang sedang menggelegak naik.

“Kau pun patut berterima kasih pada dia juga. Kalau tak, mana mungkin kau dapat makan kepah yang sedap ni,” dalam selamba Jhaznarul memulangkan paku buah keras pada Firdee Aqasha membuatkan jejaka itu menetas senyuman.

Setan punya Jhaz. Senyap-senyap dia kenakan aku. Firdee Aqasha tidak bersuara lagi. Hidangan malam itu terus dinikmati dengan penuh rakus.

Ibu bapa kedua buah keluarga itu, berbual sakan sambil menikmati saki-baki hidangan yang masih banyak. Begitu juga dengan Jhaznarul, Firdee Aqasha serta adik-adik kedua jejaka ini. 

Dalam asyik menikmati hidangan yang jarang-jarang diperolehi, tiba-tiba mata Jhaznarul menangkap satu kelibat manusia yang sedang berdiri tegak di bawah sebatang pokok besar yang berada betul-betul di hadapan tingkap dapur mereka. Kelibat manusia yang berjaya ditangkap oleh mata Jhaznarul sedang memerhatikan ke arah mereka. Tidak berkelip-kelip mata manusia yang berada di sana. Makin lama Jhaznarul perhatikan, makin dalam pula manusia itu membalas balik. Namun, perbuatan Jhaznarul ini tidak diperasan oleh sesiapa pun kecuali dirinya sendiri. Jhaznarul sendiri tidak mahu membuka mulut untuk memberitahu akan hal itu kepada sesiapa jua termasuk keluarganya.

Tiba-tiba sahaja, hati Jhaznarul dilanda ombak tsunami dengan amat kuat sekali. Setelah diteliti betul-betul, Jhaznarul seakan-akan mengenali kelibat bayangan manusia itu. Namun, untuk memberitahu pada Firdee Aqasha, Jhaznarul tidak mempunyai kekuatan kerana apa yang dilihat oleh mata kasarnya, kemungkinan besar tidak benar. Dia tidak mahu tertipu oleh ilusi matanya sendiri.

Tak mungkin dia. Aku yakin bukan dia. Masakan dia mahu datang sebegini jauh semata-mata untuk memerhatikan kami. Untuk apa dia mahu lakukan begitu? Kami tidak ada kaitan langsung dengan dia. Ah, persetankanlah. Mungkin hanya igauan aku saja. Jhaznarul cuba menyedapkan hatinya sendiri.



Sambungan di sini : http://ilham.karangkraf.com/karya-detail.aspx?idk=1009&idc=7832