Sunday, January 11, 2009

JANGAN KAU TANGISI : FASA KEDUA

‘Tetap tak berubah, sering tewas dengan tenungan aku!’ Haifa Hezzy berbisik pada dirinya sendiri.

“Abang Huzai ...” Haifa Hezzy kembali memanggil lelaki itu dengan penuh kemanjaan membuatkan Huzaifah terpaksa memandang kepadanya semula.

“Hmm?”

“Abang Huzai, apa pendapat Abang Huzai tentang Kak Anaz?” Gelanggang bicara sudahpun dibuka kembali oleh Haifa Hezzy dan tampak terang Huzaifah kelihatan gelisah apabila nama Shahanaz dibangkitkan.

“Apa maksud Effa? Kenapa tanya abang tentang Kak Anaz pula?” Huzaifah semakin tidak senang. Dahinya mula terpercik dengan manik-manik peluh secara tiba-tiba.

“Kenapa Abang Huzai gelabah? Effa cuma nak tahu pendapat abang tentang Kak Anaz. Itu saja.” Tenungan Haifa Hezzy tidak beralih dari menatap wajah Huzaifah.

“Eh, kenapa abang nak gelabah pula? Effa cuma nak tau pendapat abang saja kan?” Soal Huzaifah minta kepastian.

“Ah-ha.” Haifa Hezzy mengiakannya. Huzaifah cuba mengawal hatinya sendiri untuk menjawab soalan tunangannya itu.

“Bagi abang dia seorang yang manis dan mempunyai perwatakan yang menarik. Dia seorang yang manja, senang bergaul dan senang untuk diajak berbual. Kalau sehari dengan dia pun tidak akan terasa bosan. Sesiapa pun akan terpikat dengan renungannya serta senyumannya yang menggoda. Dia sering membuatkan kita ketawa bila kita dalam kesedihan ataupun dalam angin yang tidak baik. Shahanaz memang bijak menarik perhatian orang yang berada disampingnya. Memang bertuah pada sesiapa yang memilikinya dan memang rugi pada sesiapa yang telah melepaskannya.” Huzaifah mengakhiri pendapatnya tentang Shahanaz. Haifa Hezzy cukup kagum dengan Huzaifah yang boleh memberi gambaran cukup sempurna terhadap Shahanaz dan ini meyakinkan hatinya lagi bahawa di antara mereka sudah pasti mempunyai ikatan yang cukup kuat. Haifa Hezzy menguatkan diri untuk menyoal sesuatu dengan lebih serius lagi.

“Abang Huzai tidak pernah menyintai Kak Anazkah? Tak rugikah Abang Huzai melepaskannya?” Pertanyaan Haifa Hezzy seperti menembak ke jantung Huzaifah membuatkannya berdebar dengan kencang. Jelas kedengaran debaran hati Huzaifah sehingga sampai ke tilinga Haifa Hezzy.

“Apa yang Effa merepekkan ni? Kenapa Effa boleh fikir macam tu? Kita kan dah bertunang? Jangan cakap yang bukan-bukan boleh tak?” Huzaifah cuba berselindung lagi keresahan hatinya yang semakin ketara kelihatan.

“Kita bertunang atas persetujuan keluarga tapi bukan atas persetujuan hati masing-masing. Effa mungkin dapat menerima jodoh yang telah ditetapkan tapi dapatkah Abang Huzai menerima jodoh yang sama? Abang Huzai, kalau Effa bukanlah tuntutan di hati abang tolonglah jangan memaksa diri untuk menerimanya kerana simpati tak kan bertukar menjadi cinta. Masih belum terlambat untuk Abang Huzai mengubahkannya. Tanyalah pada hati Abang Huzai sendiri, pasti jawapan sebenar akan ditemui.” Haifa Hezzy tegas walaupun dalam nada suara yang cukup lembut. Huzaifah semakin terperangkap.

No comments: