SELINGAN UNTUK ANDA SEMUA
ABZARIQ membebel sepanjang perjalanannya pulang ke rumah selepas mengerjakan Solat Maghrib sebentar tadi. Dia sememangnya bengang dengan sikap Adryssa. Sudahlah mengenakannya dengan gaya yang paling ekstrem, bahkan boleh pula dia bertutur dalam bahasa yang agak kasar.
Huh! Memang tidak tahu berlembutkah gadis itu. Satu lagi yang paling membengangkan hatinya adalah pipinya yang masih sakit dengan hadiah yang diberikan Adryssa sebentar tadi. Berbekas...sungguh hatinya dengan tindakan drastik gadis itu. Rungutan demi rungutan Abzariq sekali lagi telah menarik perhatian seisi keluarganya. Dahi Hawadah berkerut semula.
Ni... apa hal pulak ni? Merungut macam tak cukup tanah. Hawadah semakin pelik dengan sikap anak bujangnya yang seorang ini. Macam-macam hal. Nasiblah yang lain-lain tidak mengikut perangai anak bujang tengahnya itu.
“Hah Zariq! Kenapa dengan pipi kau tu? Lebam. Biru. Macam dah nak bengkak.” Hasriq menegur apabila dia melihat pelik sungguh pipi Abzariq.
Abzariq menghantar pandangan kepada bapanya seraya memegang pipinya yang masih sakit.
Memang hantu betul perempuan tu. Sampai bengkak dia tampar pipi aku. Huh! Jagalah kau bila aku jumpa esok. Abzariq memberi sebakul lagi bebelan buat Adryssa.
“Jatuh atas batu, bapak. Licin. Tak nampak lumut,” jelas Abzariq sekadar berbasa basi.
“Haa... itulah. Merayap lagi ke tempat-tempat yang tak tentu hala. Dah kena badilah tu. Adalah yang menolak kau. Tak habis-habis dengan perangai merayap dia. Entah ke mana-manalah dia pergi. Cubalah cari kerja dari merayap tak tentu arah. Masa kami ada lagi ni tak apalah. Bagaimana kalau kami dah tak ada? Siapa pula nak tanggung kau ni, Zariq?”
Radio pemecah alam sudah berkumandang semula membuatkan Abzariq menayangkan wajah katak pisangnya kembali. Dia tidak tahan lagi mendengar rungutan dan bebelan yang hampir serupa setiap hari. Telinganya sudah naik bingit.
Tak reti-reti lenguhkah mulut mak asyik ulang benda yang sama. Baiknya cuma beberapa hari saja. Lepas tu dia dah mula balik. Naik nanah telinga aku mendengarnya. Abzariq melampiaskan rasa tidak puas hati dari dalam sahaja. Tidak berani dia hendak mengeluarkan suara. Silap-silap hari bulan sebelah pipinya lagi yang bakal menjadi lebam. Huh.... tidak sanggup lagi rasanya.
“Masa tu bila sampai nanti, tahulah Zariq uruskan hidup Zariq sendiri mak,” balas Abzariq selamba lalu menghayun langkah ke atas. Dia malas hendak makan bersama pada malam itu lagipun hatinya masih membengkak sama bengkak dengan pipinya. Wajah gadis jelita itu terbayang di ruang mata dengan perasaan geram yang menggebu.
“Tengok... tengok... menjawab saja anak kesayangan abang tu. Entah apa pulak masalahnya kali ni. Baik Wadah pergi tanya dia. Geram betul aku.”
Hawadah baru sahaja hendak melangkah naik ke atas tetapi tidak jadi berbuat begitu apabila dihalang Azlydia. Tepat Hawadah memandang wajah polos Azlydia.
“Kenapa ni Lydia?” tanya Hawadah tidak puas hati apabila dia dihalang sebegitu.
“Biar Lydia saja yang tanya masalah dia. Lydia tahu bagaimana caranya untuk bertanya. Kalau mak tanya, Lydia takut dia tak akan buka mulut. Biar Lydia cuba ya mak.” Lembut sekali Azlydia memujuk dan sekali gus menyejukkan hati Hawadah yang menggelegak panas sebentar tadi.
“Hmm... tapi kau kena janji dengan mak yang kau akan menceritakan apa yang Zariq bagi tau kau. Jangan berkomplot dengan dia nak sembunyikan apa yang mak nak tahu.” Tegas sekali Hawadah memberi pesanan.
Azlydia menyimpul senyuman. Manis. Cukup manis.
“Baiklah mak. Lepas dapat korek rahsia Abang Zariq terus Lydia akan beritahu mak,” janji Azlydia.
Dia tidak mahu Hawadah mengganggu Abzariq di kala ini. Karang apa yang ingin diketahui langsung tidak mahu diberitahu oleh Abzariq. Azlydia yakin ada sesuatu yang berlaku kepada abangnya itu.
Azlydia terus mengetuk pintu bilik Abzariq sebaik sahaja selepas menjamu selera perutnya. Beberapa kali Azlydia mengetuk, barulah Abzariq menuju malas untuk membuka pintu bilik yang dikuncinya sebentar tadi. Jikalau boleh dia tidak mahu diganggu tetapi tidak sampai hati pula apabila mendengar suara mulus Azlydia.
“Hmm... ada apa datang bilik abang ni?” tanya Abzariq dengan nada yang cukup malas sekali.
“Lydia nak bual-bual dengan abang. Boleh kan? Makin bengkaklah pipi abang. Takkan jatuh boleh membengkak macam ni? Kejap ya, Lydia tuam dengan air panas.”
Azlydia berlari turun ke bawah untuk mengambil air panas. Tidak sampai hati dia melihat pipi Abzariq yang sedang membengkak dan membiru. Gerun dia melihatnya. Manakala Abzariq memegang pipinya yang semakin lama semakin pedih.
“Tak guna punya perempuan. Huh!” Sebagaimana bengkaknya pipi Abzariq, begitulah bengkaknya hati jejaka itu.
Seketika kemudian, Azlydia kembali dengan membawa sebesen air panas dan kain di tangannya. Azlydia menuam pipi Abzariq perlahan-lahan. Kadang-kadang Abzariq mengaduh kesakitan apabila Azlydia tertekan dalam.
“Betulkah abang terjatuh atas batu ni? Macam ada kesan lima jari aje?” Azlydia meneruskan kerja-kerja kebajikannya sambil membuka kandang perbualan.
“Nampak sangat ke kesan lima jari tu, Lydia?” Abzariq mulai resah. Dia seboleh-bolehnya tidak mahu bersoal jawab dengan Hawadah. Nanti panjang ceritanya.
“Hmm... dari jauh taklah nampak sangat bang. Tapi kalau dah dekat-dekat memang nampak jelas. Abang ni kena tamparkah?” Azlydia memasang jerat. Abzariq menayang gigi dan gusi lebar-lebar. Kah...kah...kah...kantoi!
“Perempuan tu memang badigol. Selamba saja dia tampar abang. Hee... geramnya.” Akhirnya Abzariq sudah bersedia membuka cerita.
“Takkan dia nak tampar abang saja-saja. Tentu ada sebab. Apa sebabnya? Lydia tak percayalah kalau dia tampar abang saja suka-suka. Tak pernah dibuat orang. Jumpa orang saja tampar. Hanya orang gila saja yang buat macam tu.” Azlydia terus memprovokasi Abzariq untuk terus bercerita.
“Haa ... tu sengih melebar tu... adalah yang abang buatkan? Abang buat apa kat dia sampai dia tampar abang hingga biru pipi?” Azlydia menyambung kembali kata-katanya.
Lagi melebar Abzariq tersengih.
“Mungkin salah abang. Tapi taklah besar mana pun salah abang tu. Yang dia takut-takutkan abang siapa suruh.” Abzariq masih mempertahankan diri.
“Abang buat apa kat dia sebenarnya ni sampai dia balas dendam? Cuba abang berterus-terang pada Lydia. Suka main sembunyi-sembunyi. Tak kuasa tau abang ni.” Azlydia terus menggesa untuk mengetahui kisah yang sebenarnya.
“Kalau abang cakap, Lydia janji tak beritahu mak. Nanti dia bising kat abang. Sekarang pipi bengkak, karang telinga pulak bernanah. Janji ya Lydia.” Abzariq masih keberatan hendak memberitahu Azlydia. Azlydia tersengih.
“Yalah... yalah... Lydia janji takkan beritahu mak tentang kesilapan abang. Jadi, apa ceritanya?” Azlydia memandang tepat ke wajah Abzariq sesudah dia meletakkan besen dengan kain di atas lantai.
Abzariq mula bercerita dari saat pertemuan pertamanya dengan Adryssa sehinggalah sebentar tadi apa yang telah terjadi.
Azlydia menekup mulutnya sebaik sahaja Abzariq menamatkan ceritanya. Matanya masih tidak putus-putus memandang kepada Abzariq dengan rasa tidak percaya.
No comments:
Post a Comment