Wednesday, June 23, 2010

MENJADI PENULIS BUKU PROLIFIK

Menjadi penulis buku prolifikOleh: JENIRI AMIR
Rencana (Utusan Malaysia Online: 25 Disember 2006)

Di negara kita, Ahadiat Akashah telah menghasilkan lebih daripada 70 tajuk buku, dengan buku pertamanya Budak Setan yang dihasilkan pada 1983 laris sebanyak 160,000 naskhah. Selepas buku itu meledak di pasaran, beliau tidak lagi menoleh ke belakang.

Antara penulis buku di Malaysia yang prolifik ialah Ainon Mohd, Abdullah Hassan, Talib Samat, dan puluhan lagi. Merekalah yang telah menyumbang kepada pembinaan korpus ilmu dan sebahagian daripada 7,000 judul setiap tahun di negara ini.

Enid Blyton (1897-1968) sepanjang hayatnya selama 72 tahun berjaya menghasilkan 700 buah buku kanak-kanak. Bermakna, beliau menulis sekitar 15 buah buku purata setahun. Jumlah buku beliau yang terjual ialah 100 juta naskhah, dan buku beliau terus dibaca sehingga kini.

Namun, dari segi kelarisan, tidak ada yang dapat menewaskan Agatha Christie. Penulis novel jenayah ini telah menyaksikan satu bilion naskhah bukunya dalam bahasa Inggeris dibeli pembaca di seluruh dunia. Manakala satu bilion lagi dalam 45 bahasa lain.

Mengapakah mereka ini begitu prolifik? Sedangkan yang lain hanya menulis sebuah buku sepanjang hayat. Malah, ada yang sekadar mampu membawa angan-angan untuk menjadi penulis ke dalam kubur.

Kadangkala seorang penulis memiliki bakat besar, tetapi tidak memiliki sikap yang betul. Dengan sikap yang betul, anda dapat menulis buku dalam jumlah yang banyak. Yang membezakan penulis prolifik dengan calon penulis yang hanya penuh dengan angan-angan ialah sikap.

Penulis yang berjaya ada matlamat dan visi. Setiap yang anda lakukan hendaklah langkah ke arah mencapai matlamat dan visi anda dalam penulisan.

Anda harus sentiasa memupuk rasa cinta terhadap bidang penulisan. Lakukannya setiap hari.
Rasa cinta yang mendalam itu akan menjadi penggerak kepada usaha anda untuk menghasilkan buku yang terbaik. Anda tidak perlu menjadi seorang genius sebelum dapat menghasilkan buku. Yang penting, anda dapat menyisihkan sebahagian daripada waktu anda untuk membaca, menyelidik, dan menulis.

Tugas dan tanggungjawab utama pengarang adalah menghasilkan manuskrip yang berkualiti dan dikehendaki oleh pembaca. Kualiti diukur dari segi kandungan atau isi buku, gaya pengolahan, dan teknik penyampaian maklumat.

Secara khusus, isi dan kandungan yang baik ialah isi yang segar, unik, baru, mendalam, dan dihujahkan dengan baik. Jika buku anda berkualiti, penerbit mana yang tidak mahu menerbitkannya?

Jika buku anda berkualiti, pembaca sanggup mencarinya. Jarak paling jauh seseorang pergi untuk membeli buku idamannya ialah 3,950 batu. Peristiwa itu berlaku pada bulan Jun 2003 apabila Emeron Spartz, berusia 16 tahun, menaiki pesawat dari Chicago ke London semata-mata untuk membeli senaskhah Harry Potter and Order of the Phoenix karya JK Rowling.

Anda perlu menulis secara konsisten. Jika dapat hasilkan sejumlah buku dalam setahun dengan menetapkan sasaran, katakan tiga atau lima buah dalam setahun. Bayangkan jumlahnya jika anda menulis secara konsisten selama 10 tahun atau 20 tahun.

Jika anda menulis lima buah buku setahun, dalam 20 tahun, anda sudah dapat menghasilkan 100 tajuk buku meskipun jumlahnya tidak dapat melawan Isaac Asimov. Penulis kelahiran Rusia (1920-1992) yang menjadi profesor biokimia di Universiti Boston ini dapat disifatkan sebagai penulis paling prolifik abad ke-20.

Beliau menghasilkan 420 buah buku dalam pelbagai bidang, daripada robot hingga Shakespeare. Tentu ada sesuatu yang dapat dipelajari daripada penulis ini.

Tetapi daripada semua penulis yang pernah lahir, Jose Carlos Ryoki Inoue dari Brazil tidak ada tandingan. Beliau benar-benar prolifik. Betapa tidak, sejumlah 1,070 buku yang menggunakan 39 nama samaran telah dihasilkannya. Beliau dapat menyiapkan novel setebal 195 halaman dalam sehari dan satu bab dalam perjalanan ke bilik mandi.

- JENIRI AMIR ialah pensyarah komunikasi dan mantan Ketua Unit Penerbitan di UniversitiMalaysia Sarawak (UNIMAS).

4 comments:

diari alya said...

wow hebat manusia-manusia ini....
terdesing gak telinga sebab apa yg ditulis mmg tepat kena pundi hati..
mmg sikap yg membuatkan akk melengahkan ms terbaru...
camne nak ubah? sapa nak pelangkong kepala keras ni??

Ebriza Aminnudin said...

Hehehe .. sama la .. sekarang ni mmg busy .. rasa cam tak menang tangan.

Bikash Nur Idris said...

Salam. Wah, bagus entri ni, Abby. Untuk motivasi diri supaya berdisiplin. Terutama sekali daku... Hehehe. TQ!

Selamat berkarya...

Ebriza Aminnudin said...

Salam, hehehehe ... tu la nak share utk motivasi diri. Sekarang ni cam ala2 malas gitu. So bila masukkan n3 ni, rasa semangat. Harap2 berpanjangan. hik3