Friday, April 2, 2010

Vila Amira Syakila - Di Pasaran

PROMO:
Farra Amalina menghampiri komputer ribanya untuk melihat apakah idea yang telah dicurahkannya sebelum dia tertidur tadi. Jari-jemari Farra Amalina mula bermain dengan tetikus dan membelek setiap bab yang sudah siap sepenuhnya. Beberapa saat kemudian, Farra Amalina mengerut dahinya dan fikirannya bekerja keras memikir sesuatu. Nafasnya turun naik turun naik dengan laju serta pantas sekali. Emosinya terganggu seketika.

Kronologi cerita apa yang tertera di skrin aku ni? Ini bukan idea asal aku. Perjalanan ceritanya amat menakutkan. Ada pertumpahan darah di antara penetap asal dan juga tumpangan. Ya Allah ... ini bukan kemuncak cerita yang ingin aku sampaikan. Kenapa karangan kali ini lari daripada idea yang aku garapkan. Bagaimana bab-bab ni boleh siap dalam sekelip mata. Farra Amalina terus berdiskusi dengan dirinya sendiri. Semakin lama dia membaca bab yang telah disiap semakin terundang perasaan takut serta gelabahnya. Manik-manik peluh kecil telah merenik di dahinya lalu meleleh mengalir ke pipinya dan jatuh ke riba. Farra Amalina mengelap peluh yang merenik itu dengan hujung kain baju tidurnya. Semakin lama Farra Amalina membaca semakin menggerunkan dirinya lalu dia bersuara lantang untuk mengetahui idea siapa yang telah mencelah di antara idea asalnya.

“Ini bukan cerita aku. Ia dah lari daripada apa yang aku susun. Karangan ini terlalu menyeramkan dan aku tak yakin bab ini tidak akan disunting oleh penerbit. Jika bab-bab ini dipotong, cerita yang tinggal pasti tidak akan memberi kesan yang mendalam kepada pembaca aku. Siapa yang gatal tangan mencelah antara bab-bab aku ni? Idea siapa ni? Ini bukan idea aku! Tapi jika bukan aku yang mengarangnya, jadi ia hasil karangan daripada siapa? SIAPA?” Farra Amalina melepaskan segala rasa amarahnya yang menyelirat di segenap pelusok tangkai hatinya. Hatinya betul-betul terbakar kerana ada yang mengganggu karangannya yang telah dibentuk dengan molek. Dia tidak dapat menerima campurtangan daripada pihak kedua.

“Kenapa harus ganggu perjalanan cerita aku? Kenapa harus ganggu pengembaraan aku? Siapa yang begitu berani mengganggunya, hah?” Farra Amalina seperti orang yang hilang akal meraung tanpa ada had batasan sedangkan hanya dia seorang sahaja yang berada di vila itu.
Tiba-tiba sahaja pertanyaan Farra Amalina berjawab oleh satu suara garau di cuping telinganya.

“Aku! Aku yang menyelesaikan karangan itu. Hahaha ... Kau ingin menyudahkan karangan yang aku larang, jadi aku juga mempunyai hak untuk menyumbang idea dan tenaga. Perjalanan cerita itu, begitulah sepatutnya ia berlaku. Hahaha ...” Farra Amalina terlompat daripada sofa yang menjadi persinggahannya sebentar tadi setelah suara garau yang nyaring itu menyapa di celah telinganya dengan jarak yang dekat.
Terlopong mulut Farra Amalina memandang wanita hodoh yang berlumuran darah pekat di seluruh tubuhnya. Bau hanyir menyusuk-nyusuk ke dalam lubang hidung Farra Amalina membuatkan gadis itu meloya dan meremang bulu tengkuknya secara tiba-tiba. Wajah Farra Amalina juga sudah bertukar menjadi pucat ketika memandang wanita hodoh yang sedang ketawa dan merenung tajam ke arah dirinya. Ketika wanita itu hendak menghampiri Farra Amalina, dengan pantas gadis itu mengambil tindakan drastik dengan berlari naik ke atas, namun nasib Farra Amalina tetap buruk apabila sekali lagi dia tersalah pijak anak tangga lalu jatuh tergolek ke bawah. Kepalanya terkena bucu perabot yang terdapat di situ dan dia mengaduh kesakitan untuk seketika.

Ketika Farra Amalina membuka matanya semula, dia sekali lagi diserang kehairanan kerana kini dirinya berada di atas katil di dalam bilik yang menjadi tempat penetapannya selama dia berada di situ. Farra Amalina bangun dan berteleku seketika serta cuba mengingati kejadian yang berlaku pada dirinya sebentar tadi. Dia semakin keliru dengan apa yang menimpa dirinya.

“Ya Allah ... tak mungkin aku bermimpi lagi. Takkan aku bermimpi dua kali dalam semalam? Tak pernah ada orang bermimpi sebegitu. Gilakah aku? Tidak! Aku masih siuman! Aku yakin benar bahawa aku tidak bermimpi tetapi kenapa ia harus nampak seperti mimpi? Kegilaan apa yang sedang aku alami ni? Sakit kepala aku memikirkannya.” Farra Amalina memegang kepalanya seketika kerana sudah tidak tertahan dengan apa yang berlaku kepada dirinya.